Skip to main content

Singapura

Rahat RRG ke-20: Semakin ramai wanita jadi radikal, sebar ideologi ekstrem secara aktif

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jun 2025 10:17PM Dikemas Kini : 24 Jun 2025 10:51PM
SINGAPURA: Profil individu yang terjerumus dalam radikalisasi kini semakin meluas, melibatkan bukan sahaja belia, tetapi juga semakin ramai wanita.

Mereka bukan lagi sekadar penyokong atau penyebar ideologi ekstrem, tetapi turut menjadi penyumbang aktif dalam agenda radikal.

Dalam ucapannya sempena Rahat Tahunan RRG ke-20 pada Selasa (24 Jun), Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata: "Profil individu yang terjerumus dalam radikalisasi kini turut merangkumi golongan wanita dan semakin ramai belia. Pada Februari tahun ini, seorang remaja perempuan 15 tahun, yang pertama dalam kalangan belia perempuan dikenakan tindakan di bawah ISA. Dia berhasrat menjadi isteri pejuang ISIS, membina keluarga pro-ISIS, dan sanggup berjuang di Syria."

Acara rahat kali ini bertemakan ‘Peranan Wanita dalam menangani ekstremisme ganas (CVE): Menghargai 20 Tahun Khidmat Ikhlas oleh Ustazah RRG’.
Related article image
Sekitar 30 kaunselor dan asatizah RRG, termasuk para ustazah, menghadiri Rahat RRG ke-20 dari 23-26 Jun di Mandai Rainforest Resort. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Turut hadir sebagai tetamu khas ialah Penasihat Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean.

Sejak sedekad lalu, 17 belia telah ditangani di bawah ISA, dua pertiga daripadanya dalam lima tahun kebelakangan ini.

Walaupun muda, ancaman yang dibawa tidak kurang serius berbanding individu dewasa.

Sembilan daripada mereka bercadang melakukan serangan di Singapura, kebanyakannya menggunakan senjata seperti pisau.

Dr Faishal turut menekankan bahawa proses radikalisasi kini dipercepat oleh bahan ekstremis dalam talian serta penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI).

Dalam konteks ini, Dr Faishal menegaskan pentingnya peranan ustazah RRG.

"Mereka menyediakan intervensi yang lebih halus serta pemahaman unik terhadap faktor-faktor kompleks yang mendorong fenomena radikalisasi dalam kalangan wanita dan belia, sekali gus membantu menangkis tarikan fahaman ekstremisme."

Dr Faishal juga mengingatkan bahawa masyarakat Islam di Singapura perlu kekal bijaksana dalam menangani isu-isu kompleks seperti konflik luar negara, perubahan budaya dan perdebatan mengenai kebebasan beragama yang boleh memecah-belah dan menimbulkan ketidakpuasan hati.

Menurutnya, ini berpotensi untuk membawa masyarakat kepada ekstremisme dan keganasan jika tidak ditangani dengan bijak.

"Para asatizah kita memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan kepada masyarakat. Masyarakat Islam Singapura sentiasa menunjukkan ketabahan dalam mengharungi pelbagai cabaran, dan para sukarelawan RRG adalah contoh yang terbaik.

"Usaha anda semua mencerminkan semangat gotong-royong dan menggambarkan keunggulan Singapura sebagai sebuah negara di mana rakyat daripada pelbagai latar belakang, bekerjasama dengan Pemerintah untuk memperteguhkan dan melindungi cara hidup kita bersama. Ini membuktikan sejauh mana Singapura dan masyarakat kita khususnya, telah maju dalam cara pandang kita sejak 60 tahun lalu," jelas Dr Faishal.

SUMBANGAN USTAZAH RRG SEMAKIN SIGNIFIKAN TANGANI RADIKALISASI WANITA

Peranan ustazah RRG semakin penting sejajar dengan peningkatan kes melibatkan wanita dalam ekstremisme dan radikalisasi, kata Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali.

Memberi gambaran evolusi peranan itu, beliau berkata kumpulan pertama kaunselor wanita atau ustazah RRG direkrut pada 2005 bagi mendekati isteri dan anak-anak tahanan Jemaah Islamiyah (JI).

"Pada awal-awal tahun RRG ditubuhkan, usaha mereka adalah untuk mendekati isteri para tahanan, kerana kami dapati isteri para tahanan pun perlu diberikan penjelasan tentang apa yang difahami oleh suami-suami mereka. Dalam waktu yang sama, kaunselor wanita juga mendekati anak-anak. Ini penting sebab kita mendapati bahawa kalau ini tidak dilakukan, bermakna anak-anak itu mungkin akan membesar dalam keadaan yang mana mereka itu boleh mendapat satu stigma yang negatif dalam masyarakat. Dan paling teruk, boleh ada potensi untuk menjadi radikal juga," kata beliau.

Kini, sumbangan ustazah RRG semakin signifikan apabila lebih ramai wanita dikesan terlibat dalam kegiatan radikal.

"Peranan ustazah ini penting pada hari ini, di mana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak pemerintah telah menahan beberapa individu wanita. Dan untuk menjalankan rehabilitasi keagamaan, kita perlu ustazah kita untuk membimbing mereka. Dan juga membetulkan salah faham," ujarnya.

Sekitar 30 asatizah menyertai seminar tertutup bertemakan ‘Peranan Wanita dalam Menangani Ekstremisme Ganas (CVE): Menyambut 20 Tahun Khidmat Tulus dari Ustazah RRG’ bagi membincangkan amalan terbaik dan pandangan terkini daripada pakar.

Antara yang berkongsi pandangan termasuk Ustazah Nur Irfani dari RRG yang menyentuh cabaran membina kepercayaan dan keperluan kekal tangkas dalam mendepani perubahan sosial.
Related article image
Presiden PPIS, Dr Razwana Begum Abdul Rahim (2 dari kiri) berkongsi pandangan terkini dan amalan terbaik tentang peranan wanita dalam menangani ekstremisme ganas. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Seorang lagi adalah Dr Razwana Begum Abdul Rahim, Presiden PPIS, yang juga Pensyarah Kanan, Program Keselamatan & Keselamatan Awam di SUSS.

“Salah satu perkara penting adalah melihat wanita bukan hanya sebagai mangsa, tetapi pemangkin keamanan. Mereka bukan sahaja mangsa. Tetapi mereka boleh membantu ahli keluarga dan pihak berkuasa, misalnya memaklumkan jika berlaku perubahan ketara dalam tingkah laku anak atau suami,” ujar Dr Razwana.

Ustaz Dr Mohamed berkata, pemerintah dan rakan kongsi masyarakat telah membina ekosistem yang mengamalkan pendekatan menyeluruh dalam menangani ancaman ekstremisme dan radikalisasi yang semakin kompleks.

Usaha ini, katanya, akan terus diperkukuh bagi memperteguh ketahanan masyarakat dan negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita