Skip to main content

Singapura

Ragbi Kerusi Roda beri makna kehidupan baharu kepada bekas pesalah dadah, penghidap gangguan saraf

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Oct 2025 08:24PM Dikemas Kini : 24 Oct 2025 02:23PM
SINGAPURA: Dari kegelapan masa lalu menuju cahaya harapan, perjalanan hidup Azhar Samsuddin menjadi bukti bahawa perubahan itu tidak mustahil.

Pernah terjebak dalam kancah dadah sejak berumur 18 tahun, beliau terjerumus dalam penyalahgunaan dadah heroin sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada kaki kirinya akibat gangren.

"Selalunya kalau kita gunakan jarum di tangan dan lengan tetapi apabila urat dah tak ada, kita akan menggunakan urat yang di kaki dan peha. Pada satu kali, tiba-tiba kaki saya menjadi hitam. Jadi saya pergi ke hospital dan doktor mengatakan harus dibedah," kongsi Encik Azhar.

"Memang pada mulanya saya tidak mahu dibedah tetapi diberitahu oleh jururawat jika tidak dibedah, ia akan naik ke jantung dan akhirnya saya akan meninggal. Jadi saya redha," tambahnya lagi.

Walaupun sudah beberapa kali berjanji untuk berubah, Encik Azhar terus terjebak dalam kancah dadah meskipun kakinya sudah dibedah.

Namun, segalanya berubah apabila seorang demi seorang daripada rakan-rakannya ditangkap — saat itu beliau mula sedar bahawa jalan yang dilaluinya tidak membawa kepada kebaikan.
Related article image
(Gambar: Singlife)

Pada tahun 2018, ketika melayari internet di rumah, secara tidak sengaja beliau menemui sukan Ragbi Kerusi Roda, dan dari situlah bermulanya langkah pertama menuju kehidupan yang lebih bermakna.

"Ketika saya sedang duduk di rumah dan saya sedang melayari internet, saya terjumpa Ragbi Kerusi Roda. Rasa terpanggil juga dan saya terasa untuk mencuba," kata Encik Azhar.

"Apabila saya cuba, saya mendapati ia memang sesuai dengan saya. Dan Alhamdulillah, dari sini saya sudah tidak memikirkan lagi tentang dadah langsung. Ia seperti gaya kehidupan yang baharu untuk saya. Saya betul-betul suka sukan ini," tambahnya lagi.

Bagi Encik Azhar, yang kini juga merupakan seorang guru muzik, Ragbi Kerusi Roda bukan sekadar sukan, tetapi jalan menuju kehidupan baharu yang penuh makna.



SUKAN RAGBI KERUSI RODA BERI SEMANGAT DAN TUJUAN BAHARU

Seorang lagi pemain Ragbi Kerusi Roda, Nur Sabrina Suhaimi, turut mempunyai kisah inspirasi tersendiri.

Beliau merupakan penghidap Charcot-Marie-Tooth, penyakit yang menyebabkan kerosakan saraf yang disahkan ketika beliau berusia 17 tahun.

Nur Sabrina mula berjinak-jinak dengan sukan ini selepas mengalami keretakan pada buku lalinya.

"Pada tahun lepas, saya terjatuh dan mengalami keretakan pada buku lali saya. Sejak itu saya tidak boleh jalan untuk beberapa bulan dan bergantung pada kerusi roda," kongsi Nur Sabrina.

"Ketika menjalani terapi air, jurulatih renang saya juga merupakan bekas jurulatih bagi pasukan ragbi kerusi roda ini dan dari situ, beliau telah memperkenalkan saya kepada Ragbi Kerusi Roda," tambahnya lagi.

Related article image
(Gambar: Singlife)
Kini, beliau tidak lagi merasakan dirinya terpinggir kerana dapat kembali melakukan sukan berpasukan, sesuatu yang dahulu kelihatan mustahil melihat kepada keadaannya.

"Dengan Ragbi Kerusi Roda, saya boleh bermain sukan berpasukan lagi kerana sejak dari sekolah menengah, saya tidak mempunyai peluang untuk main sukan berpasukan seperti ini," kata Nur Sabrina.

"Biasanya saya akan keluar dengan orang biasa jadi bila saya melihat mereka bermain sukan bersama, saya akan rasa terpinggir kerana saya hanya boleh melihat sahaja," tambahnya lagi.

Bagi dirinya, pengalaman ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mencabar dan mendorongnya untuk terus memperbaiki diri.

Tahun ini, syarikat insurans Singlife bekerjasama dengan Persatuan Ragbi Kerusi Roda Singapura (WRAS) bagi menyokong usaha membina sebuah pasukan yang berdaya saing menjelang Sukan Para ASEAN 2029, yang akan dianjurkan di Singapura.

Sebagai sebahagian daripada penajaan ini, WRAS telah menganjurkan Cabaran Korporat Ragbi Berkerusi Roda Singlife pada 27 September.

Enam pasukan korporat telah menyertai pertandingan tersebut sebagai tanda sokongan mereka dalam meningkatkan kesedaran tentang sukan tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita