Skip to main content

Singapura

Raffles Medical Group tawar ujian darah tingkatkan pengesanan awal barah payudara

Payudara wanita Asia lebih cenderung mempunyai banyak tisu kelenjar berbanding tisu berlemak. Dalam hal sedemikian, ketumbuhan mungkin sukar untuk dikesan melalui mamogram rutin sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Raffles Medical Group tawar ujian darah tingkatkan pengesanan awal barah payudara

Mastocheck boleh digunakan sebagai tambahan ke[ada mamogram rutin bagi diagnosis yang lebih tepat. (Gambar: BongkarnThanyakij/iStock)

Diterbitkan : 29 Sep 2022 11:07PM
SINGAPURA: Raffles Medical Group pada Isnin (26 Sep) mengumumkan alat diagnostik baru Mastocheck, untuk mengesan barah payudara.

Penyedia jagaan kesihatan itu yang pertama memasukkan alat diagnostik itu dalam senarai perkhidmatan pemeriksaan kesihatannya.

Dibangunkan oleh syarikat Korea Selatan, Bertis, Mastocheck adalah satu ujian berasaskan darah yang boleh digunakan untuk menambah kepada mamogram rutin bagi meningkatkan peluang mengesan lebih awal tanda-tanda barah payudara.

Ia satu kaedah mudah yang memerlukan "hanya sejumlah kecil darah" bagi diagnosis, menurut Raffles Medical Group dalam satu kenyataan media.

Mastocheck diluluskan buat pertama kali untuk kegunaan manusia oleh Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-ubatan Korea pada 2019.

"Wanita Asia lebih cenderung untuk mempunyai payudara lebih mampat, di mana terdapat lebih banyak tisu kelenjar berbanding tisu berlemak. Dalam hal sedemikian, ketumbuhan mungkin sukar untuk dikesan melalui mamogram rutin.

Lantaran itu, Mastocheck boleh digunakan sebagai tambahan kepada mamogram rutin bagi meningkatkan ketepatan dalam mengesan barah payudara lebih awal, jelas kumpulan perubatan tersebut yang mempunyai 37 cawangan di seluruh Singapura.

"Barah payudara adalah jenis barah yang paling kerap dihidapi kaum hawa di Singapura, dengan lebih 2,000 wanita didiagnos setiap tahun. Usaha mengesan awal barah payudara adalah penting kerana peluang hidup meningkat dengan pengesanan awal," tambah kumpulan tersebut.

Mastocheck "amat disyorkan" bagi wanita yang berisiko lebih tinggi seperti mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap barah payudara.

Wanita yang memerlukan mammogran juga boleh menambah ujian tersebut bagi diagnosis lebih tepat.

“Ramai wanita dengan barah payudara tahap awal tidak mengalami sebarang gejala. Maka itu, pemeriksaan barah payudara secara secara kerap adalah penting terutama bagi mereka yang mempunyai faktor risiko serta yang berusia 40 tahun dan ke atas. Menggunakan satu ujian darah yang mudah untuk menambah kepada program pemeriksaan payudara kami tentu sekali akan membantu dalam pengesanan awal barah payudara," terang Profesor Walter Tan, Pengarah Perubatan Hospital Raffles.

Namun sebelum pesakit menjalani ujian Mastocheck, mereka perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu dan harga konsultasi ialah S$168.
Sumber : CNA/FZ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita