Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Raffles Institution (RI) juara Bahas 4PM 2024 peringkat posmenengah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasukan Raffles Institution (RI) berjaya merebut kembali takhta juara Bahas 4PM peringkat posmenengah, yang pernah dijulangnya tiga tahun lalu.

Selaku pihak penyanggah, srikandi RI berjaya menumpaskan mauduk 'Sistem Meritokrasi Berjaya Mengurangkan Ketidaksamaan dalam Masyarakat'.

Ini sekali gus meruntuhkan hujah yang cuba dipertahankan pihak pencadang dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI).

RI BERJAYA RUNTUHKAN HUJAH MWTI

Para pembahas MWTI memberikan beberapa contoh di Singapura yang membuktikan betapa sistem meritokrasi itu dapat mengurangkan jurang antara penduduk.

Namun, pasukan RI mengetengahkan beberapa bukti bahawa terdapat kekurangan dalam sistem tersebut yang tidak mampu berbuat demikian, malah boleh merenggangkan lagi taraf atau perbezaan antara penduduk di negara-negara lain.

Pasukan RI yang terdiri daripada pembahas Haziqah Rafiee, Chin Megan, Grace Abigail Liu dan Cindy Joanne Allbright, tidak menjangkakan kemenangan itu kerana menentang pasukan MWTI yang cukup hebat.

"Kami tidak boleh percaya kerana kami berjaya menewaskan sekolah-sekolah lain yang mempunyai pembahas-pembahas yang sangat baik dan mantap dalam perdebatan dan perbahasan mereka.

"Anugerah ini sangat bermakna buat kami Institusi Raffles kerana anugerah ini menunjukkan kerjasama kami sebagai sepasukan dan kita tidak boleh lupakan kerjasama dari guru-guru kami yang telah meluangkan masa dan berkorban demi menyediakan kami untuk pertandingan bahas ini, " kata pembahas dari RI, Haziqah Rafiee.

a

MAUDUK YANG MENCABAR

Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Kamal Ashraf, berkongsi bahawa pertandingan tahun ini memberi tumpuan untuk mengetengahkan mauduk-mauduk yang mencabar lebih-lebih lagi pada peringkat akhir.

"Kami memilih mauduk ini kerana ia mencabar aspek yang sukar untuk dibincang dan susah untuk dikupas dengan sempurna.

"Tahun ini, mauduk disediakan dengan tujuan untuk mencabar para pembahas untuk membentangkan isi yang lebih kompleks serta kupasan mauduk yang mungkin harus lebih lengkap," kata Encik Kamal.

Beliau juga memuji prestasi kedua-kedua institusi itu.

"Hari ini, kami melihat bahawa kedua-dua pihak dapat mengupaskan mauduk, dapat mementaskan isi yang bernas dan juga menunjukkan fikiran yang sangat matang serta penyampaian hujah dari segi bahasa dan gaya yang sangat menarik, " kata Encik Kamal.

SAQINA QAMILIA DINOBAT PEMBAHAS TERBAIK

Pasukan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong.

Pembahasnya, Saqina Qamilia Suwandi dinobatkan Pembahas Terbaik bagi pusingan itu dan secara keseluruhan pertandingan Bahas 4PM 2024 peringkat posmenengah.

Kemenangan itu lebih manis lagi bagi beliau kerana ia merupakan penantian selama tiga tahun berjuang dalam arena bahas.

aa

"Saya telah pun dikurniakan pembahas terbaik keseluruhan setelah tiga tahun saya berjuang dalam bidang perbahasan, dalam pertandingan Bahas 4PM. Akhirnya terdapat juga hasil daripada usaha-usaha yang telah Madrasah Wak Tanjong letakkan.

"Anugerah ini sangat bermakna untuk saya kerana ia adalah tanda bahawa Madrasah Wak Tanjong mampu untuk melahirkan pembahas yang baik dan saya dapat mengharumkan dan memartabatkan nama Madrasah Wak Tanjong," kata Saqina.

Ditanya apakah rahsia kejayaannya, Saqina berkongsi bahawa kemenangan itu adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka.

"Sejujurnya, saya tidak pernah memasuki gelanggang perbahasan dengan azam untuk memenangi pembahas terbaik dan sebagainya. Saya hanya menginginkan agar nama Madrasah Wak Tanjong itu dimartabatkan untuk membuktikan bahawa pasukan Madrasah Wak Tanjong sememangnya boleh," kata Saqina.

BAHAS 4PM SEDIAKAN PLATFORM BAIK UNTUK BINCANGKAN ISU-ISU SEMASA

Peringkat akhir pertandingan berlangsung di studio Mediacorp diserikan lagi dengan kehadiran tetamu terhormat, Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital, Rahayu Mahzam.

Cik Rahayu yang juga merupakan alumni Bahas 4PM menekankan bahawa peraduan itu menyediakan platform yang baik bagi para pelajar membincangkan isu-isu semasa.

"Bahas 4PM sememangnya telah menjadi satu ruang yang amat penting untuk kita membawa isu-isu semasa kepada anak-anak muda kita dan memberi mereka peluang untuk berfikir tentang keadaan sekeliling mereka, isu-isu semasa dan juga menggunakan bahasa Melayu.

"Saya amat gembira ini adalah satu tradisi yang dapat diteruskan. Saya rasa ini adalah satu medan pertempuran yang menggalakkan dialog yang lebih konstruktif yang amat tinggi nilainya," kata Cik Rahayu.

Beliau berharap Bahas 4PM akan menyaksikan peningkatan dalam jumlah penyertaan dalam tahun-tahun mendatang.

Pasukan RI membawa pulang piala pusingan Hawazi Daipi serta baucar $1,000 dan piala individu.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan