Raeesah Khan masih belum beri respons berkaitan dakwaan polis salah tangani kes rogol
Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (20 Okt) menyatakan bahawa Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan belum menjawab permintaan untuk menemu bual beliau bagi memperoleh perincian tentang kes serangan seksual yang didakwa ditangani secara salah oleh para pegawai.
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (20 Okt) menyatakan bahawa Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan belum menjawab permintaan untuk menemu bual beliau bagi memperoleh perincian tentang kes serangan seksual yang didakwa ditangani secara salah oleh para pegawai.
Polis menyatakan dalam satu kenyataan bahawa pihaknya sudahpun "membuat pencarian meluas" tetapi "tidak dapat mengesan kes sedemikian mahupun para pegawai yang didakwa terbabit seperti yang disebut oleh Cik Raeesah di Parlimen".
Cik Raeesah mengemukakan kes tersebut di Parlimen pada 3 Ogos ketika Parti Buruh (WP) membentangkan usulan tentang pemerkasaan wanita.
Cik Raeesah berkata bahawa beliau menemani seorang wanita berusia 25 tahun untuk membuat aduan polis tiga tahun lalu dan mangsa menangis selepas keluar dari balai kerana seorang pegawai polis didakwa membuat komen tentang cara beliau berpakaian dan hakikat bahawa beliau minum minuman keras.
Awal bulan ini, dalam satu kenyataan menteri, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam meminta Cik Raeesah memberi lebih banyak maklumat untuk membantu polis menyiasat kes tersebut, termasuk butiran seperti balai polis yang dimaksudkan dan bulan semasa aduan itu difailkan. Namun, Cik Raeesah berkali-kali menolak mendedahkan maklumat, sambil merujuk kepada isu kerahsiaan.
Cik Raeesah juga memberitahu Menteri Negara bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Desmond Tan, dalam responsnya kepada permintaan bagi perincian insiden, bahawa beliau tidak mahu mangsa mengalami trauma sekali lagi dan beliau tidak berjaya menghubungi wanita itu sejak insiden tersebut berlaku.
EMEL PERINGATAN SUDAH DIHANTAR
"Cabang Jenayah Serius Keganasan Seks Jabatan Siasatan Jenayah, yang menyiasat kesalahan merogol, mengirimkan emel kepada Cik Raeesah pada 7 Oktober untuk meminta beliau menghubungi polis sebelum 14 Oktober bagi mengaturkan sebuah sesi temu bual," menurut polis pada Rabu.
"Polis memerlukan beliau memberi perincian kes itu. Beliau diberi jaminan bahawa polis akan melakukan apa sahaja untuk melindungi identiti mangsa daripada terdedah kepada orang ramai."
Polis sudahpun menghantar emel peringatan kepada Cik Raeesah pada 15 Oktober untuk meminta beliau menghubungi pihaknya sebelum 18 Oktober.
"Polis masih belum dihubungi Cik Raeesah," jelas polis."Cik Raeesah sejauh ini belum lagi mengesahkan dakwaan yang dibuat terhadap para pegawai polis dengan memberi maklumat lanjut tentang kes berkenaan.
"Pencarian meluas yang dilakukan oleh polis tidak menunjukkan sebarang insiden seperti yang disebutkan oleh Cik Raeesah dan kami tidak dapat mengesahkan bahawa insiden sedemikian sebenar-benarnya berlaku."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.