Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Raeesah Khan letak jawatan: Apa berlaku bila AP kosongkan kerusi?

Kini Cik Raeesah sudah meletak jawatan - apa yang akan berlaku kepada kerusi-kerusi lain di GRC Sengkang? Para penganalisis menjelaskan.

Anggaran Waktu Membaca:
Raeesah Khan letak jawatan: Apa berlaku bila AP kosongkan kerusi?

Kain rentang WP dan PAP di Sengkang pada Julai 2020. (Gambar fail: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 02 Dec 2021 08:12AM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 08:19AM

SINGAPURA: Cik Raeesah Khan, yang meletak jawatan daripada Parti Pekerja (WP) pada Selasa (30 Nov) selepas mengaku berbohong kepada Parlimen berhubung satu kes serangan seksual, bukanlah orang pertama yang melepaskan jawatannya sebagai Anggota Parlimen (AP).

Peletakan jawatannya daripada parti itu sekali gus bererti kerusinya di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Sengkang kini dikosongkan.

Beliau, bersama-sama Cik He Ting Ru, Encik Louis Chua dan Profesor Madya Jamus Lim, adalah sebahagian daripada pasukan calon muda yang bertanding untuk GRC empat anggota itu dan memperoleh kemenangan mengejut pada Pilihan Raya Umum tahun lalu, menumpaskan bekas pejawat politik daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Mediacorp menyingkap kembali AP lain yang meletak jawatan pada masa lalu dan apa yang berlaku kepada kerusi mereka.

Presiden Halimah Yacob

Pada Ogos 2017, Puan Halimah Yacob meletak jawatan sebagai Speaker Parlimen dan Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2017, yang dimenanginya tanpa bertanding.

AP GRC Chua Chu Kang Zaqy Mohamad mengambil alih peranan beliau sebagai penasihat kepada GRC Marsiling-Yew Tee selepas pemergiannya.

Walaupun anggota Parti Demokratik Singapura (SDP) Wong Souk Yee memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi supaya pilihan raya kecil diadakan, Mahkamah Rayuan akhirnya memutuskan pada 2019 bahawa tiada kewajipan untuk mengadakannya apabila timbul tempat kosong tunggal dalam GRC.

Dr Wong pernah bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee sebagai anggota SDP pada Pilihan Raya Umum 2015 namun tewas kepada pasukan PAP ketika itu, yang dianggotai Puan Halimah.

Walaupun dinyatakan di bawah Perkara 49 Perlembagaan bahawa apabila kerusi AP kosong atas apa-apa sebab selain daripada Parlimen dibubarkan, ia akan diisi melalui pilihan raya, mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa tafsiran yang betul bagi kerusi ini hanya merujuk kepada kerusi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan bukan GRC.

Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon yang kemudiannya menyampaikan keputusan itu berkata: "Apabila meminda Perlembagaan untuk melaksanakan skim GRC, Parlimen tidak pernah berhasrat bahawa satu kekosongan dalam GRC akan mencetuskan kewajipan ke atas Pemerintah untuk mengadakan pilihan raya kecil."

David Ong

Pada 2016, terdapat peletakan jawatan secara mengejut oleh AP PAP David Ong selepas didedahkan bahawa beliau bermain kayu tiga dengan seorang rakan anggota parti.

Peletakan jawatannya bermakna kerusi yang didudukinya di SMC Bukit Batok menjadi kosong.

Ini menyebabkan pilihan raya kecil diadakan pada tahun itu dan Encik Murali Pillai dari PAP memenangi kerusi tersebut menewaskan setiausaha agung SDP Chee Soon Juan, dengan 61.2 peratus undi.

Michael Palmer 

Sebelum Encik Ong, Encik Michael Palmer, yang ketika itu Speaker Parlimen, meletakkan jawatan pada 2012 daripada PAP selepas didedahkan bahawa beliau mempunyai hubungan sulit.

Kerusinya di SMC Punggol East dikosongkan serta-merta dan pilihan raya kecil diadakan pada Januari 2013.

Ia menyaksikan pertarungan empat penjuru, di mana calon WP Lee Li Lian muncul sebagai pemenang dengan 54.5 peratus undian.

Pada Pilihan Raya Umum 2015, AP veteran Charles Chong merebut kembali kawasan undi itu untuk PAP dengan 51.76 peratus undian.

Kawasan undi itu kemudian digabungkan di bawah GRC Sengkang yang baru dibentuk pada Pilihan Raya Umum 2020.

Yaw Shin Leong

Beberapa bulan sebelum skandal Encik Palmer, WP pada 2012 memecat Encik Yaw Shin Leong, AP SMC Hougang ketika itu, atas dakwaan berselingkuh dengan seorang anggota parti.

Ini memberi laluan kepada pilihan raya kecil di kawasan itu, di mana Encik Png Eng Huat dari WP mengekalkan kerusi Pembangkang, menang dengan 62.08 peratus undi menentang lawannya PAP Desmond Choo.

PILIHAN RAYA KECIL AKAN DIADAKAN?

Walaupun Cik Raeesah meletak jawatan daripada WP, para penganalisis politik yang dihubungi Mediacorp sebulat suara bersetuju bahawa pilihan raya kecil untuk GRC Sengkang mungkin tidak akan diadakan.

Profesor Madya Eugene Tan, yang mengajar undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata bahawa Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya Parlimen tidak memerlukan pilihan raya kecil diadakan memandangkan hanya satu daripada empat kerusi di Sengkang yang kosong.

"Untuk pilihan raya kecil dicetuskan dalam GRC, semua Anggota Parlimen WP di Sengkang perlu meletakkan jawatan mereka," katanya.

Akta Pilihan Raya Parlimen menyatakan bahawa Writ Pilihan Raya akan dikeluarkan hanya jika semua Anggota Parlimen dalam sesebuah GRC mengosongkan kerusi mereka. Jika hanya seorang daripada AP itu mengosongkan kerusinya, keperluan penduduk di GRC akan terus dikendalikan oleh anggota yang tinggal dalam pasukan GRC.

Pada Februari 2017, Parlimen membahaskan perubahan kepada Akta Pilihan Raya Presiden ketika negara bersiap sedia tahun itu untuk Pilihan Raya Presiden, yang dikhaskan untuk masyarakat Melayu.

Encik Chan Chun Sing, yang ketika itu menteri di Pejabat Perdana Menteri, menjawab soalan AP WP Pritam Singh untuk mengatakan bahawa pilihan raya kecil tidak akan diadakan jika calon minoriti mengosongkan kerusi dalam sesebuah GRC.

Dr Gillian Koh, timbalan pengarah penyelidikan di Institut Kajian Dasar (IPS), memberitahu Mediacorp pada Rabu bahawa WP dan Cik Raeesah sendiri mungkin tahu bahawa tidak akan ada kesan yang lebih meluas ke atas pasukan Sengkang walaupun selepas beliau meletakkan jawatan, memandangkan isu sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan untuk sesebuah GRC sudah diuji di mahkamah.

"Tidak akan ada pilihan raya kecil yang dipaksa ke atas mereka melalui apa jua cara undang-undang," tambahnya.

Prof Madya Tan berkata bahawa sebarang kes bagi pilihan raya kecil akan "bersifat politik, bukannya perlembagaan".

“PAP hampir pasti tidak akan membuat gesaan supaya para AP Sengkang yang lain meletak jawatan.”

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan