Skip to main content

Singapura

RADM Aaron Beng bakal jadi Panglima Tentera Laut pertama dilantik sebagai Panglima Pasukan Pertahanan SG

Anggaran Waktu Membaca:
RADM Aaron Beng bakal jadi Panglima Tentera Laut pertama dilantik sebagai Panglima Pasukan Pertahanan SG

Laksamana Muda (RADM) Aaron Beng Yao Cheng (kiri) akan mengambil alih tugas Leftenan Jeneral Melvyn Ong Su Kiat sebagai Panglima Pasukan Pertahanan (CDF). (Gambar: MINDEF, CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 22 Feb 2023 08:44PM Dikemas Kini : 22 Feb 2023 08:46PM
SINGAPURA: Laksamana Muda (RADM) Aaron Beng Yao Cheng akan mengambil alih tugas Leftenan Jeneral Melvyn Ong Su Kiat sebagai Panglima Pasukan Pertahanan (CDF) pada 24 Mac nanti, sekali gus menjadi Panglima Tentera Laut pertama untuk menggalas jawatan tertinggi itu.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan pada Rabu (22 Feb) bahawa RADM Sean Wat Jianwen, Panglima Armada Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) akan mengambil alih sebagai Panglima Tentera Laut pada 10 Mac.

Perubahan ini, menurut MINDEF, adalah sebahagian daripada "proses pembaharuan pucuk kepimpinan yang berterusan" dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

RADM Beng, 41 tahun, menyertai SAF pada 2000. Sebelum pelantikannya sebagai Panglima Tentera Laut pada Mac 2020, beliau memegang beberapa jawatan lain di MINDEF dan SAF. Ini termasuk sebagai Pegawai Pemerintah frigat kelas Formidable RSS Interprid, Pegawai Pemerintah Skuadron Frigat, Pengarah Pejabat Dasar Pertahanan, Panglima Armada dan Ketua Turus - Staf Tentera Laut).

Di bawah kepimpinannya, Angkatan Laut melaksanakan perubahan organisasi dan pembangunan keupayaan untuk membuat persiapan bagi masa depan, menurut MINDEF.

Beliau terlibat dalam pengendalian sistem Pemerintah sepenuhnya bagi memperbaiki penyelarasan keselamatan silang agensi di laut serta menerajui Kumpulan Pengurusan Krisis yang menangani risiko keselamatan seperti ancaman pengganas.

RADM Beng juga menyelia operasi keselamatan maritim semasa acara kebangsaan utama seperti sambutan Hari Kebangsaan dan Retreat Pemimpin Singapura-Indonesia 2022 di Bintan.

Beliau mengemudi Angkatan Laut mengharungi pandemik COVID-19, sementara terus melindungi kedaulatan dan keselamatan Singapura, nyata Kementerian Pertahanan.

RADM Wat, 39 tahun, yang bakal menggalas jawatan sebagai Panglima Tentera Laut, menyertai SAF pada 2002.

Beliau sudah menyandang pelbagai jawatan termasuk Pegawai Pemerintah frigat kelas Formidable RSS Supreme, Timbalan Panglima Pasukan Bertindak Keselamatan Maritim/Markas Keselamatan Maritim, Pengarah Pejabat Dasar Pertahanan serta Panglima Armada.

"KEPIMPINAN CEMERLANG"

MINDEF menzahirkan "penghargannya yang mendalam" kepada LG Ong di atas "kepimpinannya yang cemerlang dan sumbangannya yang luar biasa" kepada SAF. Beliau akan terus berkhidmat dalam perkhidmatan awam selepas beliau mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.

LG Ong mengambil alih sebagai CDF pada 23 Mac 2018. Sepanjang khidmatnya menggalas peranan tertinggi itu, beliau memimpin SAF dalam operasi keselamatan utama berperingkat tinggi, termasuk Persidangan Korea Utara-Amerika Syarikat Singapura dan Sidang ASEAN ke-33 pada 2018.

Semasa pandemik COVID-19, LG Ong memimpin respons pandemik SAF, termasuk pembentukan pelbagai pasukan bertindak bagi menyokong operasi COVID-19 Pemerintah.

Di bawah kepimpinan LG Ong, SAF meningkatkan rentak usaha transformasinya dan membuat kemajuan yang ketara dalam beberapa bidang, menurut MINDEF. Ia turut menarik perhatian kepada "anjakan struktural utama" yang dimulakan bagi membolehkan SAF untuk beroperasi dalam persekitaran operasi yang pantas berubah.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita