Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

QuranSG 2024 berjaya pikat lebih 16,700 peserta

Anggaran Waktu Membaca:
QuranSG 2024 berjaya pikat lebih 16,700 peserta

(Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 13 Nov 2024 12:07AM Dikemas Kini : 13 Nov 2024 12:18AM
SINGAPURA: QuranSG 2024 sampai ke kemuncaknya dengan seminar yang julung-julung kali diadakan pada Sabtu (9 Nov).

Kira-kira 520 peserta menghadiri seminar tersebut yang bertujuan untuk mempromosikan wacana al-Quran, menggalakkan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam, serta menerapkan ajarannya dalam setiap aspek kehidupan melalui tadabbur.

Secara keseluruhan, musim QuranSG, yang berlangsung dari Jun hingga November 2024, berjaya melibatkan lebih 16,700 peserta termasuk lebih 48,000 tontonan online melalui pelbagai program.

Ini termasuk QuranSG Roadshows, QuranSG Festival @ Districts, Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) dan program baharu seperti Siri dan Pertandingan Ceramah Tadabbur QuranSG, serta Seminar QuranSG.

Demikian menurut kenyataan media Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Selasa (12 Nov).

SEMINAR QURANSG

Seminar QuranSG membentangkan tiga segmen, yang menampilkan dua penceramah Ustaz Dr Yusri Yubhi Yusoff dan Ustaz Faheem Abdul Khalil dari Darul Tafsir (Hab Tafsir) di Masjid Al-Khair.

Perkara utama yang disampaikan semasa seminar itu termasuk definisi tadabbur dan peranannya, serta kepentingannya dalam masyarakat kontemporari, khususnya dalam menangani cabaran masa kini.

Sebuah panel dialog turut diadakan, yang meneroka konsep tadabbur dan tafsir yang dapat diamalkan secara mendalam, yang mengetengahkan bagaimana al-Quran memberi bimbingan untuk hidup beretika dan berinteraksi dalam masyarakat pelbagai budaya.

Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir memberi ucapan, di mana beliau berkongsi bahawa al-Quran mudah diakses dengan teknologi, namun cabaran sebenarnya terletak kepada mengamalkan ajarannya.

Dr Nazirudin menekankan keperluan untuk memperdalam hubungan dengan al-Quran melebihi bacaan (tilawah) dan hafalan (tahfiz).

Segmen pada sebelah petang pula
menumpukan kepada golongan belia.

Pada sesi tersebut, Dr Nazirudin memberi ucapan kepada lebih 100 peserta belia mengenai pengamalan agama dalam kehidupan moden, untuk berjaya dalam kedua-dua urusan dunia dan akhirat.

Beliau juga menekankan peranan al-Quran dalam membantu individu memberi tumpuan kepada keperluan hidup.

Mufti menasihatkan untuk melihat melangkaui hukum untuk memahami nilai teras dan prinsip al-Quran, dan menggalakkan mereka bersikap kritis dan belajar bagaimana untuk menyesuaikannya apabila menghadapi cabaran kontemporari.

ACARA MALAM MUSLIMAH

Acara Malam Muslimah, disertai lebih 250 peserta wanita yang mendengar ceramah bertajuk ‘Muslimah Sejati, Peribadi Qur’ani’, yang disampaikan Ustazah Dr Sharifah Hayaati, Ustazah Dr Sakinah Sabtu, Ustazah Shameem Sultanah dan Ustazah Nur Hidayah Azman.

Para peserta juga mendapat tip dan pandangan berharga dalam membentuk keperibadian muslimah tercontoh melalui penghayatan nilai-nilai al-Quran.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan