Skip to main content

Singapura

QTC & CTC mampu uji status jangkitan COVID-19 dalam 30 minit; jangan bersesak di GP atau A&E

Anggaran Waktu Membaca:
QTC & CTC mampu uji status jangkitan COVID-19 dalam 30 minit; jangan bersesak di GP atau A&E

Kit ujian kendiri ART. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 17 Feb 2022 09:34PM Dikemas Kini : 17 Feb 2022 10:15PM

SINGAPURA: Sedang kes-kes jangkitan COVID-19 di Singapura terus meningkat, begitu juga jumlah individu yang diuji positif berdasarkan ujian pantas antigen (ART) yang dilakukan di rumah, walaupun dengan gejala ringan atau tiada simptom langsung.

Ini akan meletakkan mereka di bawah Protokol 2 aturan pemulihan COVID-19 yang ditetapkan buat masa ini, iaitu para individu yang sihat tetapi diuji positif COVID-19 hendaklah mengasingkan diri di rumah bagi tempoh selama 72 jam dan selepas itu mereka boleh menyambung semula aktiviti seperti biasa apabila mereka diuji negatif berdasarkan ujian ART.

Mereka hanya perlu berjumpa doktor jika mereka berasa tidak sihat.

Sungguhpun demikian, Kementerian Kesihatan (MOH) masih menyaksikan lonjakan pada jumlah pesakit - dengan ramai daripada mereka bergejala ringan atau tanpa simptom sama sekali - di Klinik Doktor Swasta (GP), poliklinik dan juga jabatan kecemasan (A&E).

Sesetengah individu berbuat demikian semata-mata untuk memastikan status mereka terjangkit COVID-19 didokumenkan secara rasmi atas beberapa sebab tertentu. Ini mungkin termasuk mendapatkan surat doktor atas urusan kerja, kembali bekerja di pejabat atau pulang ke sekolah, mendapatkan kit ujian ART secara percuma atau dikecualikan daripada ujian COVID-19 untuk melakukan perjalanan (para pelawat lengkap divaksin yang sudah pulih daripada COVID-19 dalam tempoh tujuh hingga 90 hari mereka berlepas ke Singapura tidak perlu menjalani ujian).

TIDAK PERLU KE GP DAN A&E, PERGI SAJA KE QTC DAN CTC

Dari 16 Feb hingga 15 Mac, para individu yang diuji positif berdasarkan ujian ART di rumah dan bergejala ringan atau tiada simptom jangkitan boleh menempah janji temu untuk menjalani ujian kendiri ART yang diselia di mana-mana Pusat Ujian Gabungan (CTC) atau Pusat Ujian Pantas (QTC) sepanjang tempoh tersebut.

Hasil ujian akan dikemas kini dalam rekod Kementerian Kesihatan (MOH) dan akan dipaparkan dalam profil HealthHub individu berkenaan dalam tempoh 30 minit.

Mereka juga akan dimaklumkan mengenai hasil ujian ART mereka melalui kiriman SMS. Jika diuji positif, mereka akan diletakkan di bawah Protokol 2 dan boleh mengambil tiga kit ujian ART secara percuma daripada mesin-mesin layan diri.

Ujian ini adalah percuma selama empat minggu. Sungguhpun demikian, CTC dan QTC tidak akan mengeluarkan memo pemulihan atau sijil perubatan kerana ia tidak diperlukan untuk kembali bekerja atau sekolah.

Ini tidak diwajibkan jika anda diklasifikasikan di bawah Protokol 2. Sebaliknya, ia sedang dilaksanakan untuk mengurangkan tekanan terhadap Klinik Doktor Swasta (GP), poliklinik dan jabatan kecemasan.

DI MANA QTC DAN CTC DITEMPATKAN?

Buat masa ini sebanyak 48 pusat ujian disediakan di merata negara yang boleh anda mendaftar bagi ujian kendiri ART yang diselia. Sehingga 205 lokasi sedemikian dijangka akan dibangunkan menjelang hujung minggu ini, menurut MOH.

Berikut adalah lokasi-lokasi yang anda boleh kunjungi (setakat 16 Feb):

Sumber: MOH
Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita