Qaryah, inisiatif akar umbi, main peranan penting dalam memperkukuh ikatan sosial di SG: Shanmugam
SINGAPURA: Kumpulan Qaryah di Singapura memainkan peranan penting dalam menyediakan ruang komuniti yang selesa serta memperkukuh ikatan sosial dalam masyarakat.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata demikian semasa acara berbuka puasa di Masjid Khalid pada Khamis (6 Mac).
Majlis itu dihadiri 150 tetamu, termasuk Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta wakil-wakil MUIS, masjid, dan 30 kumpulan Qaryah.
MEMUPUK SEMANGAT KAMPUNG DALAM MASYARAKAT
"Ramai daripada anda bekerja tanpa mengenal penat lelah. Semua anda bekerja secara senyap di belakang tabir untuk memastikan penduduk mendapat akses mudah ke ruang solat yang selesa. Anda berhubung dengan masyarakat di belakang masjid, membantu mereka yang memerlukan," kata Encik Shanmugam.
Di sebalik peranan mereka dalam menyokong masjid dan membantu golongan yang memerlukan, kumpulan Qaryah juga meluaskan khidmat mereka kepada masyarakat umum.
"Sebagai contoh, terdapat satu projek di Bukit Panjang yang mempromosikan semangat kesukarelawanan seperti pembaikan rumah dan sokongan komuniti. Para anggota dan sukarelawan bekerjasama dalam mengecat, membaiki paip, membersihkan serta melakukan pembaikan kecil di rumah keluarga yang memerlukan, sama ada Muslim atau bukan Muslim, tanpa mengira kaum," kata Encik Shanmugam.
MEMUPUK SEMANGAT KAMPUNG DALAM MASYARAKAT
Beliau berkongsi bahawa pada bulan Ramadan, para pemimpin masyarakat turun padang untuk bertemu kumpulan Qaryah bagi menghargai usaha mereka dalam membantu masyarakat melalui kerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
"Setiap Ramadan di kawasan undi saya, Dr Faishal dan para anggota parlimen lain, kami melawat kumpulan Qaryah untuk bertemu dengan mereka, untuk berterima kasih atas kerja yang mereka lakukan untuk menjaga kebajikan. Sebenarnya, anda boleh melihat semangat kampung," kata beliau.
KOMITMEN BERTERUSAN UNTUK MENYOKONG INISIATIF AKAR UMBI
Beliau menekankan betapa pentingnya tradisi Qaryah diteruskan, kerana ia merupakan inisiatif dari akar umbi yang memberikan manfaat besar kepada masyarakat.
"Saya fikir amat penting kita teruskan tradisi Qaryah ini. Ia benar-benar satu inisiatif dari bawah, dan kami akan memberikan setiap sokongan yang diperlukan," katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa Pemerintah akan terus menyokong inisiatif yang dijalankan oleh kumpulan Qaryah dan menggalakkan mereka untuk menyuarakan sebarang cabaran yang dihadapi.
"Jika anda menghadapi sebarang cabaran di lapangan, anda boleh membangkitkannya kepada MUIS atau mana-mana pihak berkaitan. Pemerintah sentiasa menyokong inisiatif akar umbi dan akan memberikan sokongan yang sewajarnya. Teruskan usaha membina kepercayaan serta memperkukuh hubungan antara masyarakat dan kumpulan etnik," katanya.
HIMPUNKAN PEMIMPIN QARYAH, RAIKAN DAN IKTIRAF SUMBANGAN MEREKA
Majlis iftar di Masjid Khalid yang dianjurkan buat kali ketiga sejak 2023 itu bertujuan menghimpunkan pemimpin Qaryah bagi mengiktiraf peranan mereka dalam memperkukuh masyarakat.
Ia dimulakan oleh mantan pengerusi Masjid Khalid Allahyarham Haji Alla’udin Mohamed dengan matlamat meraikan sumbangan Qaryah, khususnya dalam membantu masyarakat Islam di Singapura.
Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja, juga menekankan peranan penting Qaryah, terutama sepanjang Ramadan.
"Peranan mereka penting dan terasa (terutama) pada bulan Ramadan. Banyak blok HDB tidak mempunyai ruang solat tambahan. Qaryah membantu generasi tua yang sukar ke masjid dan juga kanak-kanak yang masih bersekolah," jelasnya kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
KERJASAMA MASJID DENGAN KUMPULAN QARYAH
Beliau turut berkongsi bagaimana pihak masjid seperti Masjid Khalid dapat menyokong kumpulan Qaryah.
"Jika mereka memerlukan tempat untuk berbincang tentang (urusan) Qaryah ini, kita tahu mereka tidak ada pejabat jadi kami daripada pihak Masjid Khalid, terbuka untuk memberi Qaryah yang memerlukan tempat untuk berunding dan kita alu-alukan mereka menggunakan Masjid Khalid," ujar beliau.
Pengerusi Kumpulan Qaryah Bricklands, Ustaz Muhammad Faheem Abdul Khalil pula menekankan kepentingan kerjasama antara masjid dan kumpulan Qaryah untuk memperluaskan sokongan kepada masyarakat Islam.
Kumpulan Qaryah itu baru ditubuhkan tahun ini untuk mendekati penduduk-penduduk Islam yang berada di daerah Bricklands di Keat Hong.
"Pada pendapat saya, masjid-masjid harus mempertingkatkan lagi usaha bagaimana untuk mengadakan lebih banyak Qaryah untuk membantu dalam segi peruntukan ruang, tempat-tempat solat dan juga selain daripada itu, Qaryah ini sebagai rangkaian masjid untuk mendampingi masyarakat Melayu," ujar Ustaz Faheem.
Beliau turut berkongsi bahawa model sokongan masjid kepada Qaryah berbeza mengikut keperluan setempat.
Sebagai contoh Qaryah saya di Bricklands, kita mendapat sokongan daripada Masjid Al-Khair di mana kita diberi bantuan dari segi tadbir urus, dari seg imam, bilal, pensyarah-pensyarah dan juga logistik. Jadi di Masjid Al-Khair sendiri, terdapat banyak Qaryah di bawah setiap masjid. Jadi setiap masjid memberi bantuan atau sokongan yang berbeza dari masjid ke masjid," tambahnya.
PENDIDIKAN & KESEDARAN CEGAH GOLONGAN MUDA DARI IDEOLOGI BERBAHAYA
Encik Shanmugam turut menyentuh mengenai ancaman radikalisasi dalam kalangan golongan muda, yang melibatkan beberapa kes individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dengan ideologi ekstremis ISIS serta ancaman ekstremisme sayap kanan.
"Kita mesti terus berwaspada, mendidik golongan muda, dan memberi mereka bimbingan yang betul. Lebih penting, kita perlu mewujudkan ruang selamat untuk dialog dan pemahaman agar mereka tidak mudah terpengaruh," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Singapura masih bernasib baik dan belum mengalami sebarang serangan, ancaman tetap wujud.
"Setakat ini, kita bernasib baik kerana belum mengalami serangan. Namun, saya selalu mengingatkan bahawa ini bukan soal 'jika', tetapi 'bila'. Oleh itu, kita mesti sentiasa berjaga-jaga," ujarnya.
Encik Shanmugam juga menegaskan bahawa majoriti rakyat Singapura hidup dalam keadaan saling menghormati dan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum.
"Rakyat Singapura adalah pencinta keamanan. Kita menghargai satu sama lain sebagai masyarakat majmuk dan sejauh ini, kita berjaya mengekalkan keharmonian. Pemimpin masyarakat juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh persefahaman antara kaum dan agama," katanya.
Beliau juga menggesa usaha berterusan dalam memupuk perpaduan sosial dan menggalakkan dialog antara kaum bagi memastikan keamanan dan kestabilan negara terus terpelihara.
JASA ALLAHYARHAM HAJI ALLA’UDIN DIKENANG
Selain itu, beliau turut mengenang jasa mantan Pengerusi Masjid Khalid Allahyarham Haji Alla'uddin Mohamed.
Pengerusi Masjid Khalid yang baharu, Dr Ariffin Kawaja, mengakui bahawa tanggungjawab yang dipikulnya bukan tugas yang mudah, lebih-lebih lagi menggantikan tempat Allahyarham Haji Alla’udin Mohamed yang banyak berjasa kepada masyarakat.
"Saya tidak berada di bawah sebarang ilusi bahawa peranan sebagai pengerusi ini mudah, terutamanya untuk mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan oleh pengerusi kita yang lalu, Haji Alla’udin," katanya.
Allahyarham Haji Alla’udin sebelum ini memegang jawatan sebagai pengerusi tiga organisasi, Masjid Khalid, Mawar Community Services (MCS) yang membantu bekas pesalah, dan Harmony Circle Geylang Serai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.