Putera Mahkota Brunei kunjungi Masjid Sultan, Taman Warisan Melayu
Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah (tengah) mengunjungi Masjid Sultan, diiringi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Pertahanan, Encik Zaqy Mohamad (kiri). (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)
SINGAPURA: Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah mengunjungi Masjid Sultan dan Taman Warisan Melayu di Kampong Gelam dalam rangka lawatannya ke Singapura pada Khamis (1 Okt).
Beliau diiringi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Pertahanan, Encik Zaqy Mohamad.
Di Masjid Sultan, beliau diberi penerangan mengenai sejarah masjid itu serta pelbagai program yang dianjurkannya.
Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah dan Encik Zaqy turut menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid.
Beliau menerima buku berjudul 'The Grand Mosque of Singapore: Two Centuries in the History of Masjid Sultan', yang merakam sejarah lebih dua abad masjid itu serta menyingkap asal usul, kepimpinan dan legasinya.
Antaranya ialah Congkak Petalawati, sebuah congkak berukuran hampir dua meter yang merupakan artifak terbesar dipamerkan di situ dan menampilkan unsur kesenian tradisional Kelantan.
Congkak Petalawati merupakan salah satu daripada hampir 280 artifak baharu yang dipamerkan di Taman Warisan Melayu yang dibuka semula April lalu selepas ditutup selama lebih tiga tahun bagi menjalani kerja-kerja naik taraf.
Kunjungan ke kedua-dua lokasi itu merupakan antara kegiatan dalam lawatan lima hari Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah ke Singapura dari 28 September hingga 2 Oktober.
Beliau berada di Singapura bagi Program Pemimpin Muda Singapura-Brunei ke-12, yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri Lawrence Wong.
SG-BRUNEI BOLEH TEROKA LEBIH BANYAK KERJASAMA KESIHATAN
Sebelum itu, beliau melawat Institut Perubatan Biodiversiti SingHealth Duke-NUS bersama Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Menurut Encik Ong, Singapura dan Brunei boleh meneroka lebih banyak kerjasama dalam bidang jagaan kesihatan, di samping kerjasama sedia ada dalam penyelidikan dan pembangunan tenaga manusia.
Semasa lawatan itu, Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah diberi penerangan mengenai projek-projek perubatan biodiversiti SingHealth serta kerjasama institut tersebut dengan Brunei.
Beliau turut melawat kemudahan penyelidikan di Pusat Barah Nasional Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.