Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pustaka Nasional menang Buku Audio Terbaik dari Anugerah Buku S'pura 2020

Syarikat penerbitan buku Pustaka Nasional memenangi anugerah Buku Audio Terbaik bagi 'Penghuni Rumah Tua' dan Sebutan Khas bagi Buku Elektronik Terbaik atas penggunaan teknologi yang mahir dalam mewujudkan sumber-sumber dwibahasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Pustaka Nasional menang Buku Audio Terbaik dari Anugerah Buku S'pura 2020

Pustaka Nasional menang Buku Audio Terbaik menerusi Penghuni Rumah Tua. (Gambar: Facebook/Pustaka Nasional)

SINGAPURA: Syarikat penerbitan buku Pustaka Nasional memenangi anugerah Buku Audio Terbaik bagi 'Penghuni Rumah Tua' dan Sebutan Khas bagi Buku Elektronik Terbaik atas penggunaan teknologi yang mahir dalam mewujudkan sumber-sumber dwibahasa.

Pengumuman itu dibuat pada Khamis (13 Ogos) semasa Anugerah Buku Singapura 2020 yang diadakan secara online, di laman Facebook Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA).

Buku audio Penghuni Rumah Tua berdasarkan penulisan Januarsyah Sutan dan diceritakan oleh Erul Samah.

(Gambar: Pustaka Nasional/Facebook)

Sebutan Khas itu juga diberikan bagi mengiktiraf usaha syarikat tersebut mempamerkan kelebihan format pengedaran elektronik dalam menghidupkan sesebuah buku dwibahasa, yang tidak dapat dilakukan dengan buku yang dicetak.

Usaha Pustaka Nasional itu turut disokong Dana Lee Kuan Yew bagi Kedwibahasaan.

Pengarah syarikat Pustaka Nasional, Syed Ali Semait berkata kesan audio yang dihasilkan dengan baik serta bakat suara atau pencerita yang mewujudkan suasana menggerunkan dan sesuai dengan sekitaran, mungkin mendorong kemenangannya.

(Gambar: Petikan skrin video Facebook/SBPA)

"Kami harap dengan kemenangan ini, kami boleh memberi inspirasi kepada lebih ramai penerbit tempatan bergerak ke format digital dan memancing lebih minat dalam kandungan dalam kalangan rakyat Singapura," kongsi Syed Ali.

Menurut beliau, buku audio Penghuni Rumah Tua boleh didapati di perpustakaan negara atau cawangan buku online Pustaka Nasional, di laman pustaka.com.sg/kedai.

"Kami mempunyai lebih 100 tajuk buku audio yang kebanyakannya dalam bahasa Melayu dan sebahagiannya juga disediakan dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil," kata Syed Ali lagi.

Panel juri bagi kedua-dua kategori itu terdiri daripada Jawatankuasa Anugerah Buku 2020.

LIYANA DHAMIRAH MENANG MELALUI 'HOMELESS'

Penulis buku Cik Liyana Dhamirah pula memenangi kategori Buku Bukan Cereka Terbaik menerusi karya 'Homeless: The Untold Story of a Mother’s Struggle in Crazy Rich Singapore'. Buku tersebut diterbitkan Epigram Books.

Cik Liyana Dhamirah melancarkan buku 'Homeless' bagi berkongsi kisah 'di bawah khemah' semasa hamil 10 tahun lalu.

(Gambar fail: BERITAmediacorp)

'Homeless' mengisahkan perjalanan hidup Cik Liyana yang terpaksa tinggal di bawah khemah selama tiga bulan semasa hamil anak ketiganya, di tengah-tengah kemelut rumah tangga tanpa rumah tetap, 11 tahun lalu.

Selain melahirkan rasa terima kasih beliau kepada SBPA atas anugerah tersebut, Cik Liyana turut meluahkan penghargaannya kepada suaminya, penulis-penulis bersama, Cik Manisha Dalani dan Khai Anwar serta pihak Epigram Books.

"Tanpa mereka, manuskrip 'Homeless' akan tetap terkubur dalam Microsoft Word," ujar Cik Liyana.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih, terutama sekali kepada para pembaca yang membaca 'Homeless' dan berkongsi bait-bait kisah ini yang menyentuh hati anda.

(Gambar: Petikan skrin video Facebook/SBPA)

"Terima kasih juga atas sokongan anda kerana membantu saya mewakili kaum minoriti dan menjadi suara bagi mereka yang kurang terwakili," kata Cik Liyana, yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini di GRC Jurong, di bawah Parti Titik Merah Bersatu (RDU).

BUKU TERBAIK TAHUN INI

Hadiah utama, iaitu Buku Terbaik 2020 dimenangi oleh 'The Way of Kueh: Savouring and Saving Singapore's Heritage Desserts' oleh Christopher Tan.

Buku itu, yang turut diberi Anugerah Buku Bukan Cereka Terbaik yang Diilustrasi, dihasilkan Epigram Books.

"Kesan, kerelevanan dan pentingnya buku ini adalah kepada warisan dan ilmu yang dibawa kepada masyarakat serta dunia masakan," kata panel juri.

Sebutan Kehormat bagi Buku Terbaik Tahun ini ialah 'Loss Adjustment' oleh Linda Collins, yang diterbitkan Ethos Books.

Presiden SBPA, Peter Schoppert, berkata: “Anugerah Buku Singapura mengiktiraf kecemerlangan dalam penerbitan, dan menimbangkan bukan hanya mutu penulisan atau kerja seni, tetapi cara pelbagai elemen disatukan oleh penerbit, dalam reka bentuk buku, mutu penerbitan, penyuntingan serta usaha penerbit dan penulis dalam memasarkan buku, mengumpulkan pembaca bagi setiap buku dan bagi memastikan buku-buku itu mempunyai kesan yang diinginkan."

Para pemenang tahun ini dipilih daripada 46 finalis dalam 10 kategori yang meliputi pelbagai genre termasuk autobiografi, sejarah Singapura dan buku teks.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan