Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pustaka Nasional lancar siri video online, semarakkan dunia Kesusasteraan Melayu S'pura

Orang ramai kini boleh mengikuti perkembangan dan mengetahui lebih lanjut tentang dunia kesusasteraan Melayu Singapura menerusi siri video di wadah YouTube.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai kini boleh mengikuti perkembangan dan mengetahui lebih lanjut tentang dunia kesusasteraan Melayu Singapura menerusi siri video di wadah YouTube.

Siri yang diberi judul 'PN TV' itu merupakan usaha terbaru syarikat penerbitan dan pengedar buku tempatan, Pustaka Nasional untuk meningkatkan kesedaran dan mengembangkan pengetahuan sejagat mengenai kesusasteraan Melayu.

10 video dalam siri itu membincangkan berbagai aspek kesusasteraan Melayu seperti proses penerbitan dan cara-cara memperkayakan pengalaman membaca kanak-kanak.

Perkongsian sedemikian berharap dapat memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Projek tersebut dijayakan Pustaka Nasional dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) menerusi Geran Transformasi Pertubuhan yang bernilai tidak lebih S$30,000.

Pengarah Pustaka Nasional, Syed Ali Semait berkata: "Geran ini membolehkan kami mencuba sesuatu yang kami tidak pernah mencuba dan dengan proses ini, kami menggunakan PN TV ini sebagai percubaan untuk menyemarakkan sastera."

"Sebagai penerbit buku, selalunya kita membuat penjualan buku di tempat-tempat pameran dan di mana ada kegiatan dan kerana COVID, kegiatan di luar dikurangkan. Jadi melalui PN TV ini kami dapat mempromosikan karya-karya kami, lebih ramai orang dapat manfaat daripada rancangan tersebut," tambah Encik Syed Ali.

PN TV SELONGKAR DUNIA KESUSASTERAAN MELAYU

Menerusi kandungan siri 10 episod itu, Pustaka Nasional berharap dapat membawa sastera Melayu lebih dekat lagi dengan masyarakat, menerusi perkongsian para penulis mapan dan baru, ilustrator serta mereka yang terlibat dalam penerbitan kandungan sastera.

Antara yang boleh dijangkakan para penonton adalah penampilan penulis-penulis mapan dan para pemenang Pingat Budaya Encik Suratman Markasan dan Encik Mohamed Latiff Mohamed.

Mereka antaranya akan berkongsi pandangan mengenai landskap sastera Melayu serta bayangan tentang karya-karya mereka akan datang.

Encik Syed Ali berkata: "Kita berharap dapat membuat lebih banyak lagi episod PN TV dan mengetengahkan lebih ramai penulis sastera Singapura untuk masyarakat awam Melayu dapat mengenali mereka dan agar mereka dapat membeli dan menghargai karya sastera Singapura."

Selain menyelongkar pengalaman para penulis mapan, PN TV juga akan menampilkan penulis buku kanak-kanak.

Antara buku-buku yang akan ditampilkan juga adalah buku bertajuk Feri Menjaga Kelestarian Laut, yang ditulis Cik Raudah Alias.

"Saya berkongsi cara-cara untuk menarik minat anak-anak dalam membaca. Dengan itu, mungkin apa yang saya boleh kongsikan di sini adalah cara kita bercerita dan juga kita hendak menarik minat mereka lagi adalah dengan cara santai atau menerusi lagu-lagu," ujar Cik Raudah.

Orang ramai juga boleh menonton episod pertama PN TV di laman Facebook Pustaka Nasional

Episod-episod selanjutnya akan disiarkan di saluran PN TV di YouTube sebelum 31 Mac nanti.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan