Pustaka Nasional lancar 4 buku kanak-kanak sempena ulang tahun ke-60 dalam penerbitan
Syarikat penerbitan Pustaka Nasional melancarkan empat buku kanak-kanak sempena ulang tahunnya yang ke-60.
(Gambar: Pustaka Nasional)
SINGAPURA: Syarikat penerbitan Pustaka Nasional melancarkan empat buku kanak-kanak sempena ulang tahunnya yang ke-60.
Demikian menurut Pustaka Nasional dalam kenyataan media hari ini (8 Mac).
Kesemua buku itu dilancarkan dalam majlis jubli intan syarikat itu yang diadakan di bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Ahad (5 Mac).
Acara itu turut dihadiri oleh para penulis terbitan Pustaka Nasional, penerbit serta penggiat bahasa dan sastera Melayu setempat.
Empat buku kanak-kanak yang dilancarkan adalah:
1. E-buku bertajuk 'Pengembaraan Raja Suran ke Bumi Rika' (versi buku cetak yang sudah disunting oleh Abdullah Basmeh dan diterbitkan pada 1963)
2. E-buku berjudul 'Hang Nadim Pahlawan Kecil' (versi buku cetak disunting oleh Abdul Jalil Haji Noor dan diterbitkan pada 1964)
Menurut Pustaka Nasional, kedua-dua buku itu merupakan cerita yang diambil daripada Sejarah Melayu.
3. Buku audio berjudul 'Siri Feri' yang mengandungi lima cerita:
- Feri Si Kapal Pesiar oleh Hasna Nelfia
- Feri Menjaga Kelestarian Laut oleh Raudhah Alias
- Kayan Perlu Bantuan oleh Raudhah Alias
- Perlumbaan ke Bali oleh Mahani Ahmad
- Feri Mencari Kawan Lama oleh Roslinda Mohd Solihin
Menurut Pustaka Nasional, kisah-kisah tersebut membawa para pembaca berlayar dengan menaiki feri di perairan nusantara. Tema-tema yang terkandung dalam kisah-kisah berkenaan termasuk keprihatinan terhadap alam sekitar, sifat sabar dan persahabatan.
4. Buku cetak berjudul 'Fikri Menaiki Bas' oleh Farah Adibah Johari dan Syafiqah Khan.
Apabila ia mula ditubuhkan pada 1963, Pustaka Nasional bermula dengan penerbitan, pengedaran dan penterjemahan buku agama dan Bahasa Arab bagi memenuhi keperluan madrasah dan pengajian Islam.
Selepas itu, ia mula berkembang kepada buku-buku sastera.
Antara barisan perintis penulis PN termasuk tokoh-tokoh seperti Ahmad Sonhadji Muhammad, Abdullah Hussain, Abdul Samad Ismail, Khadijah Hashim, Matlob, Muhammad Ariff Ahmad dan Hamka.
Pengarah Urusan PN Syed Ali Ahmad Semait berkata demi memenuhi matlamat mendidik, memberi maklumat dan menghiburkan pembaca, Pustaka Nasional kini menerbitkan karya-karya dalam bentuk buku audio, e-buku dan buku cetak.
Malah usahanya untuk menggalak minat membaca dan berkarya dalam Bahasa Melayu juga menjangkau media digital seperti memulakan siri audio siar (podcast) Radio PN pada 2008 dan baru-baru ini, siri PN TV di wadah YouTube pada 2022.
Menurutnya lagi, Pustaka Nasional akan terus menjalin kerjasama dengan pertubuhan, syarikat swasta serta institusi pendidikan dan Pemerintah bagi meluaskan khazanah ilmu dan satera Singapura.
Sebagai meraikan sokongan khalayak pembaca kepada Pustaka Nasional, beberapa acara seperti jualan promosi akan diadakan sepanjang 2023 dan akan dimaklumkan melalui media sosial PN di Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.