Skip to main content

Singapura

Pusat warisan baharu dilancarkan di Masjid Abdul Gafoor

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masjid Abdul Gafoor kini memiliki sebuah pusat warisan baharu yang mengabadikan sejarah panjang masjid yang dibina pada tahun 1859 itu.

Pusat warisan itu dilancarkan oleh Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir pada Jumaat (14 Feb).

Masjid Abdul Gafoor, yang telah diwartakan sebagai Monumen Negara pada tahun 1979, diiktiraf dengan Anugerah Warisan Seni Bina oleh Lembaga Pembangunan Bandar (URA) sebagai penghargaan terhadap usaha pemulihan dan pemeliharaan yang inovatif.

Pemulihan itu menggabungkan elemen-elemen seni bina tradisional dan moden.

Masjid itu turut menjalani kerja-kerja pemulihan lanjut pada tahun 2019, yang siap sepenuhnya pada tahun 2021.
(Gambar: Masjid Abdul Gafoor)
Seni bina masjid tersebut merupakan gabungan pengaruh India Selatan, Mughal, dan Eropah, memberikan sentuhan unik pada struktur dan reka bentuknya.

Pusat Warisan yang terletak di dalam kawasan masjid telah dibangunkan untuk menyediakan ruang yang selamat bagi pengunjung.

Ia dibahagikan kepada empat bahagian utama, yang masing-masing mengisahkan pelbagai aspek penting mengenai Masjid Abdul Gafoor dan agama Islam.

Pameran "Buku yang Kami Hidupi", misalnya, memaparkan replika salah satu manuskrip Al-Quran tertua di dunia, bersama dengan penyajian unik koleksi Hadith utama dalam format jadual berkala.

"Kami cuba menjawab soalan-soalan ini tanpa 'berdakwah', tanpa cuba berbunyi seperti guru, tetapi lebih kepada menyampaikan mesej Islam melalui empat soalan ini, jawapan kepada empat soalan ini dengan cara yang mudah, jelas, dan mudah difahami," kata Encik Mohd Idris Kamal, Kurator Galeri Pusat Warisan Masjid Abdul Gafoor. 
(Gambar: Masjid Abdul Gafoor)
Encik Faheem Ahamed, Pegawai Bahagian Belia Masjid Abdul Gafoor, pula berkata, "Inisiatif ini akan membantu meruntuhkan stereotaip dan menggalakkan perbualan positif di kalangan masyarakat agama yang berbeza dengan berkongsi prinsip-prinsip asas ini. Kami berharap dapat memupuk persefahaman antara agama dan memberi perspektif yang lebih mendalam tentang dakwah sekaligus mempromosikan perpaduan dan hormat di kalangan rakyat Singapura."

Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, berharap pusat warisan itu akan memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang sejarah masjid serta menggalakkan dialog positif antara masyarakat pelbagai agama.

"Pusat warisan ini telah memberikan satu pengenalan yang begitu baik sekali mengenai sejarah masjid, tentang asas-asas agama, kepercayaan kita, tentang Rasulullah S.A.W dan juga tentang Al-Quran dan sunah Nabi S.A.W dengan cara yang begitu menarik dan boleh membantu menjawab beberapa soalan yang ada pada pelawat-pelawat, khususnya dari luar negara," ujar Dr Nazirudin.

Beliau menambah, "Ini akan memberi gambaran yang begitu baik tentang agama kita dan juga kehidupan masyarakat Islam kita di Singapura, yang meraikan situasi di Singapura yang pelbagai agama dan bangsa."

Pusat Warisan di Masjid Abdul Gafoor dibuka setiap Khamis hingga Ahad pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.00 petang.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita