Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat vaksinasi pediatrik dibangunkan untuk kanak-kanak terima suntikan vaksin COVID-19, kata Ong Ye Kung

Dalam satu catatan di Facebook, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata salah satu pusat berkenaan mampu memvaksin sekitar 1,000 kanak-kanak sehari.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Dec 2021 06:01PM Dikemas Kini : 17 Dec 2021 11:02PM

SINGAPURA: Pusat-pusat vaksinasi pediatrik sedang dibangunkan bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka.

Dalam satu catatan di Facebook pada Khamis (16 Dis), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata beliau mengunjungi salah satu pusat berkenaan yang sedang "bersiap sedia untuk dibuka pada akhir bulan ini", sambil menambah bahawa ia mampu memvaksin sekitar 1,000 kanak-kanak sehari.

Menurutnya sekitar 300,000 kanak-kanak bakal "meraih manfaat daripada perlindungan lebih baik, setelah percubaan klinikal menunjukkan vaksinasi selamat dan berkesan" bagi mereka.

"Reka bentuk pusat itu dihasilkan dengan perancangan amat teliti untuk mengasingkan dengan jelas laluan bagi kanak-kanak dan orang dewasa. Malah komputer yang digunakan untuk memasukkan rekod kanak-kanak ditandakan secara berbeza, dengan pelekat adiwira yang besar," kongsi Encik Ong.

Ibu bapa akan dibenarkan menemani anak mereka di pusat tersebut, tambahnya.

Kakitangan di pusat-pusat tersebut "dilatih khusus dalam vaksinasi pediatrik" dan pakar pediatrik bersedia memberi sokongan di setiap pusat vaksinasi.

Mediacorp sudah menghubungi Kementerian Kesihatan (MOH) untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai kemudahan itu.

Minggu lalu, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. Vaksin tersebut akan diberikan dalam dua dos, dengan jarak 21 hari, tetapi pada dos yang lebih rendah berbanding dos bagi remaja berumur 12 tahun ke atas.

MOH turut menyatakan perjanjian sudah meterai bagi bekalan baru vaksin Pfizer-BioNTech dan ia menjangkakan penghantaran akan tiba menjelang akhir Disember.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Selasa berkata tempahan bagi jadual vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak akan dibuka secara bertahap-tahap mulai minggu depan jika vaksin "tiba tepat mengikut jadual".
 

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan