Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Ujian Rel SG dibuka rasmi, bermatlamat tingkat keandalan MRT

Landasan berbentuk S dan beberapa bahagian landasan yang menaiki bukit adalah antara ciri-ciri Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC), yang dibuka secara rasmi pada Jumaat (28 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Ujian Rel SG dibuka rasmi, bermatlamat tingkat keandalan MRT

Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) dibuka secara rasmi pada 28 Mac 2025. (Gambar: Penguasa Pengangkutan Darat)

Diterbitkan : 28 Mar 2025 02:22PM Dikemas Kini : 28 Mar 2025 02:24PM
SINGAPURA: Landasan berbentuk S dan beberapa bahagian landasan yang menaiki bukit adalah antara ciri-ciri Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC), yang dibuka secara rasmi pada Jumaat (28 Mac).

Terletak di Tuas, kemudahan itu dilengkapi sedemikian rupa untuk menjalankan "ujian dan pentauliahan yang ketat bagi MRT dan sistem rel teras", dan akan menyokong keperluan ujian untuk laluan MRT baharu dan sedia ada, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (28 Mac).

Sebelum membangunkan SRTC, terdapat pergantungan yang besar terhadap ujian MRT dan sistem rel baharu di luar negara sebelum ditempatkan di Singapura, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor semasa berucap di majlis perasmiannya pada Jumaat.

"Walaupun kemudahan ini telah memberi perkhidmatan yang baik kepada kita, ia tidak dapat meniru sepenuhnya keadaan operasi tempatan kita - contohnya, cuaca kita sahaja sangat berbeza daripada vendor utama kami di Eropah atau China," kata Dr Khor.

Selepas menjalani ujian di luar negara ini, MRT baharu masih perlu menjalani ujian menyeluruh pada laluan-laluan operasi di Singapura.

Ini mengambil masa "waktu kejuruteraan yang berharga". Setiap malam hanya ada tempoh singkat kira-kira tiga jam, dari sekitar pukul 1.00 pagi hingga 4.00 pagi, untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan di laluan operasi, memberi tekanan kepada jurutera dan teknisyen, tambahnya.

“Hari ini, dengan siapnya SRTC, Singapura kini mempunyai kemudahan ujian kami yang dibina khas yang akan membantu meringankan tekanan terhadap usaha kami untuk mengembangkan dan mengekalkan rangkaian rel kami,” katanya.

Projek dua fasa itu pertama kali diumumkan pada 2019 oleh Menteri Pengangkutan ketika itu Khaw Boon Wan.

Pembinaan kemudahan tersebut menelan belanja S$800 juta – yang menduduki tapak seluas 50 hektar – bermula pada 2021 dan dijangka siap menjelang 2024, tetapi ia ditangguhkan setahun.

Dr Khor menambah bahawa pembukaan SRTC diumumkan pada "saat penting bagi sektor rel kita".

“Selain daripada usaha untuk memperluaskan rel, kami berkongsi rancangan kami untuk laluan baharu MRT, termasuk Lanjutan Laluan West Coast dan kajian daya maju bagi dua laluan rel baharu – Laluan Seletar dan Laluan Tengah,” katanya.

Beliau menambah bahawa bagi laluan sedia ada, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan ia merancang untuk melabur sehingga lagi S$1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan rangkaian rel kekal selamat, andal dan berdaya tahan.

MENGUJI LANDASAN

SRTC menampilkan tiga trek ujian khas, kata Dr Khor.

Yang pertama ialah trek prestasi dan integrasi sejauh 2.8km, dengan sebahagian landasan tersebut berbentuk S.

Landasan berbentuk S akan menguji keupayaan MRT untuk melakukan perjalanan dengan jayanya di selekoh. Trek prestasi dan integrasi juga boleh menguji sama ada MRT disepadukan dengan baik dengan sistem rel lain.

Terdapat juga trek daya tahan sejauh 3km dengan kecerunan yang menanjak untuk menguji sama ada MRT dapat bertahan lama selepas melakukan perjalanan bagi jarak tertentu.

Sebahagian daripada landasan daya tahan itu juga mempunyai jejambat yang merentasi Kolam Air Tengah.

Landasan ketiga ialah landasan ujian berkelajuan tinggi 2.8km sedia ada yang membolehkan MRT mencapai kelajuan maksimum sehingga 100km sejam untuk ujian cengkaman dan brek.

Ia adalah sebahagian daripada fasa pertama SRTC yang telah siap pada November 2023. Sejak itu, LTA telah menguji MRT baharu bagi Laluan Circle Line di landasan tersebut.

SRTC juga termasuk bangunan tiga tingkat yang menempatkan pusat kawalan operasi, pejabat pentadbiran, bengkel, dan kawasan pemeriksaan dan penyenggaraan untuk menyokong naik taraf MRT.

UJIAN SEPANJANG MASA

Kelebihan utama SRTC ialah ujian kini boleh dilakukan sepanjang masa kerana ia jauh dari kawasan perumahan, kata Dr Khor.

“Ujian juga boleh dijalankan tanpa menjejaskan perkhidmatan sedia ada serta masyarakat yang tinggal berhampiran,” tambahnya.

Dengan SRTC, ujian komprehensif MRT dan sistem rel berdasarkan "keadaan tempatan yang realistik" boleh dijalankan sebelum idigunakan penumpang, sekali gus mengurangkan keperluan untuk menjalankan ujian pada laluan operasi.

Ini akan membolehkan lebih banyak waktu kejuruteraan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala, yang akan membantu memastikan keandalan khidmat yang berterusan, tambah Dr Khor.

Keselamatan dan kecekapan juga akan dipertingkatkan, kerana SRTC menyediakan "persekitaran terkawal untuk penyelesaian masalah dan pengoptimuman prestasi aset rel kita", tambah Dr Khor.

PENYELIDIKAN DAN LATIHAN

Selain menyokong ujian dan kerja-kerja penyenggaraan, terdapat juga rancangan untuk SRTC memainkan peranan strategik dalam membangunkan kepakaran rel Singapura, kata Dr Khor.

Tidak seperti kebanyakan kemudahan ujian di luar negara, yang dimiliki oleh pengeluar MRT swasta untuk kegunaan proprietari, SRTC juga merupakan pusat ujian nasional.

“Ini bermakna ia direka sedemikian rupa agar ia dapat menampung sistem rel yang berbeza daripada pelbagai pengeluar, menyokong semua laluan MRT di seluruh Singapura – sedia ada dan pada masa akan datang,” kata Dr Khor.

Pusat itu boleh digunakan untuk mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja rel Singapura, dengan kemudahan itu berfungsi sebagai tempat latihan untuk jurutera dan pengendali rel, memberikan pengalaman langsung dengan senario dunia sebenar.

Pusat ujian tersebut juga menyediakan platform untuk Penyelidikan & Pengembangan (R&D) untuk pengilang perkakas asal (OEM) yang terkemuka dan para pemain industri.

Mereka juga boleh menggunakan kemudahan itu untuk menguji dan merintis teknologi dan sistem baharu, dan ini membantu untuk "menambah lebih banyak kepakaran di Singapura", tambahnya.

SRTC juga berpotensi untuk berfungsi sebagai pusat serantau bagi ujian rel.

Walaupun keperluan rangkaian rel tempatan akan diutamakan, SRTC berpotensi menyediakan perkhidmatan ujian khusus kepada pengendali serantau, menjalin "kerjasama yang lebih baik dan pertukaran pengetahuan antara jurutera rel tempatan serta rakan-rakan serantau mereka".

"Ini juga boleh membantu kami meningkatkan keupayaan tempatan kami," kata Dr Khor.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan