Pusat ujian pantas bolehkan ART diselia, rekod jangkitan dikemas kini dalam 30 minit
Kit ujian kendiri ART. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Untuk meringankan beban kes di klinik, orang ramai boleh mengambil ujian pantas antigen (ART) yang diselia di pusat-pusat ujian pantas dan rekod positif COVID-19 mereka dimuat naik ke aplikasi HealthHub dalam masa 30 minit.
Demikian kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (15 Feb).
Mereka juga boleh mendapatkan kit ART di pusat ujian pantas, tambahnya.
"Jadi dengan cara itu saya harap kita dapat mengalihkan banyak kes yang sangat ringan daripada klinik biasa (GP) ke pusat ujian pantas (QTC). Kami mempunyai kira-kira 200 QTC sekarang, di merata tempat, termasuk di pusat beli-belah. Kami akan mulakan dengan kira-kira satu perempat daripada mereka," kata Encik Ong di Parlimen.
Tempahan bagi temu janji untuk menjalani ujian melalui ART akan dibuka pada hujung hari ini, tambahnya.
Encik Ong mengakui bahawa GP berdepan "sedikit tekanan", dengan pesakit-pesakit beratur di luar klinik mereka.
"Kita perlu membantu GP," katanya.
"Ramai pesakit yang pergi ke GP dan maklum balas GP kepada kami, pesakit mengalami gejala ringan ataupun tidak bergejala, tetapi mereka melakukan sendiri ujian dan mendapati diri mereka positif, (kemudian) membuat keputusan - lebih baik saya berjumpa GP," katanya.
Mereka berbuat demikian untuk mendapatkan sijil perubatan, mendapatkan kit ART atau disebabkan pertimbangan untuk melakukan perjalanan (ke luar negara).
“Ramai daripada mereka sebenarnya bimbang tentang perjalanan (ke luar negara). Jika mereka perlu melalui ujian PCR…mereka mahu menunjukkan bahawa sebenarnya saya dijangkiti COVID-19 dan saya seorang yang sedang melepaskan sisa-sisa virus dan saya sudah pulih’,” kata Encik Ong.
Menteri Kesihatan itu menjawab Ahli Parlimen (AP) Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) yang bertanya bagaimana petugas jagaan kesihatan dan sistem jagaan kesihatan mengatasi kenaikan jumlah kes jangkitan akibat gelombang Omicron.
Jumlah kes adalah dalam jangkaan Pemerintah, tekan Encik Ong. Apa yang penting sekarang bukanlah jumlah jangkitan secara keseluruhannya tetapi berapa banyak daripada jumlah itu yang disifatkan sebagai memudaratkan dan kesannya terhadap kapasiti jagaan kesihatan, katanya.
Jumlah kes harian COVID-19 Singapura sudah mencecah lima angka pada beberapa hari. Ia melaporkan 9,082 kes baru jangkitan setakat tengah hari Isnin (14 Feb).
"Secara keseluruhannya, sistem jagaan kesihatan dapat menanganinya dengan baik," kata Encik Ong, merujuk kepada angka tersebut.
Semasa kemuncak gelombang Delta, 171 katil diisi di unit rawatan rapi (ICU) berbanding jumlah terkini - iaitu 23 - walaupun mencatatkan 10,000 kes sehari.
Tekanan itu bukan pada bahagian klinikal jagaan kesihatan, tetapi pada bahagian operasi, kata Encik Ong.
Tambahnya, jumlah panggilan telefon ke talian hotline juga semakin meningkat, dan dengan bantuan agensi awam lain, lebih 90 peratus panggilan telefon dijawab tanpa digugurkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.