Skip to main content

Singapura

Pusat tajaka pasangan Melayu/Islam ini diiktiraf sebagai 50 Syarikat Terbaik di peringkat global

Pusat Tajaka Ilham, milik pasangan Melayu/Islam menjadi yang pertama di Singapura untuk menerima Anugerah 50 Syarikat Terbaik dalam Pendidikan di Forum Pendidikan dan Pembelajaran Global (GFEL) yang berlangsung di Dubai.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Dec 2019 09:07PM Dikemas Kini : 31 Dec 2019 11:35AM

SINGAPURA: Pusat Tajaka Ilham, milik pasangan Melayu/Islam menjadi yang pertama di Singapura untuk menerima Anugerah 50 Syarikat Terbaik dalam Pendidikan di Forum Pendidikan dan Pembelajaran Global (GFEL) yang berlangsung di Dubai.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf institusi-institusi pendidikan atas komitmen mereka menyediakan khidmat pendidikan bermutu selain menambah nilai kepada sektor pendidikan sejagat.

Pusat Tajaka Ilham sudah bertahan dalam pasaran selama lebih enam tahun walaupun industri jagaan kanak-kanak boleh dikatakan agak kompetitif. Ia kini mempunyai hampir 150 murid di dua cawangannya yang terletak di Ubi dan Boon Lay. Pendapatan syarikat itu pula mencecah jutaan dolar.

Related article image

(Gambar: Pusat Tajaka Ilham)

MENGAPA PUSAT TAJAKA ILHAM DIIKTIRAF?

Semasa ditemui BERITAmediacorp, pengasas Pusat Tajaka Ilham, Encik Shaik Mohamed Basrawi dan Cik Shahidah Angullia berkata mereka percaya usaha menyediakan khidmat secara inklusif melayakkan mereka untuk menerima pengiktirafan berprestij itu.

GFEL adalah wadah bagi mereka dalam sektor pendidikan membina keupayaan untuk menghuraikan isu-isu berkaitan pendidikan merata dunia.

Bagi anugerah GFEL, para calon dinilai berdasarkan lima ukur tara termasuk memenuhi pelbagai tuntutan pasaran, semangat berinovasi dan kesediaan untuk masa depan.

Related article image

Untuk menerima anugerah itu, calon perlu mendapat sekurang-kurangnya 75 mata bagi setiap kriteria. Pusat Tajaka Ilham mendapat skor agregat 86.8 peratus keseluruhannya sehingga diberi Anugerah 50 Syarikat Terbaik GFEL.

TUBUHKAN DANA BAGI PELAJAR KURANG MAMPU

Di Pusat Tajaka Ilham, satu program dinamakan 'Your Child Never Walks Alone' diadakan. Di bawah program tersebut, lapan kelas pengayaan diadakan tanpa memerlukan ibu bapa membayar kos tambahan.

Kelas persediaan juga disediakan bagi murid-murid tadika yang akan melangkah ke sekolah rendah atau madrasah.

Namun ternyata, yang menyerlahkan pusat tajaka ini adalah, ia memperuntukkan dana bagi keluarga-keluarga kurang bernasib baik atau kurang berkemampuan.

Related article image

"Kita adakan Dana Cahaya Ilham untuk membantu ibu bapa tunggal, mereka yang mempunyai anak-anak istimewa dan keluarga berpendapatan rendah," kata Cik Shahidah selaku Pengarah Pusat Tajaka Ilham.

"Dana itu bagi membantu mengurangkan kos bayaran bulanan dan juga kos pendaftaran."

BERITAmediacorp difahamkan, lebih $600,000 sudah dilaburkan di bawah Dana Cahaya Ilham. Sumber dana tersebut adalah hasil daripada wang zakat harta mereka.

SUNTIK NAFAS BARU DALAM KELAS SETIAP TAHUN

Seperkara lagi yang menarik tentang Pusat Tajaka Ilham adalah, ruang belajarnya disuntik nafas baru setiap tahun.

Tempatnya yang luas diubah mengikut tema-tema disaran Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak.

Related article image

"Mereka tidak berasa bosan kerana sekolah tidak berubah. Selepas setahun, pada tahun baru, setiap sudut akan kelihatan seperti baru. Mereka akan lebih bersemangat untuk pergi ke sekolah," jelas Pengarah Urusan Pusat Tajaka Ilham, Encik Shaik.

Diminta mengulas jika ada daya inovasi lain yang akan dijalankan, Encik Shaik menekankan bahawa strategi utama pusat jagaannya adalah memastikan ibu bapa berasa "selamat" untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Related article image

Ini memerlukan pihaknya terus memastikan hanya guru-guru bertauliah diambil bekerja di Pusat Tajaka Ilham.

"Guru bekerja dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam. Mereka bekerja berterusan sehingga anak murid itu diambil semula. Jadi tanggungjawab guru sebenarnya sangat berat," tambah Encik Shaik.

Maka itu, menurutnya, inovasi akan dijalankan sambil melihat apa yang perlu diperbaiki. Bagaimanapun, tenaga kerjanya tidak akan diganti.

Related article image

"Kita pernah ingin berkecimpung dalam bidang i-robots sebagai guru tetapi sentuhan manusia itu hilang. Sentuhan seorang guru. Ia amat sangat penting bagi saya. Saya berada dekat sini juga atas dasar dorongan dan galakan guru-guru saya," tambahnya lagi.

CIK SHAHIDAH TURUT TERIMA PENGIKTIRAFAN PERSENDIRIAN

Cik Shahidah juga mendapat pengiktirafan sebagai 100 Pemimpin Terbaik GFEL.

Ibu empat orang anak yang sudah berpengalaman selama 16 tahun dalam sektor pendidikan itu bahkan diundang menjadi anggota panel perbincangan GFEL.

Related article image

Perbincangan itu tertumpu kepada topik betapa tuntutan sektor pendidikan pesat berubah. Ia mengajak para peserta untuk sama-sama berfikir tentang apa yang boleh institusi-institusi pendidikan lakukan untuk mengatasi cabaran ini.

"Saya berkongsi tentang peri pentingnya kemahiran insani pada masa akan datang. Kita akan mempunyai banyak teknologi baru. Jadi penting untuk menyemai kanak-kanak dengan nilai-nilai murni sejak kecil lagi," kata Cik Shahidah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita