Pusat Sukan Queenstown dibuka semula selepas tiga tahun dibangunkan semula
Para penduduk mencuba pelbagai kegiatan sukan di Pusat Sukan Queenstown yang dibuka semula pada Sabtu (8 Ogos) selepas menjalani kerja pembangunan semula selama tiga tahun. (Gambar: Mediacorp)
- Pusat Sukan Queenstown dibuka semula pada 8 Ogos selepas tiga tahun pembangunan semula, disertai karnival Hari Kebangsaan untuk penduduk.
- Kemudahan baharu termasuk padang ragbi bertaraf dunia dan sukan untuk golongan kurang penglihatan diperkenalkan.
- Eric Chua mengumumkan rancangan menambah kemudahan, termasuk hab masyarakat baharu dan peningkatan akses untuk pengguna kerusi roda serta peluang untuk warga emas.
- Penekanan turut diberikan kepada pembangunan "heartware" agar masyarakat lebih prihatin, inklusif dan memahami keperluan golongan kurang upaya dan warga emas.
Pembukaan semula pusat tersebut disambut dengan karnival Hari Kebangsaan yang berlangsung sepanjang hari.
Para penduduk berpeluang mencuba pelbagai kegiatan sukan menggunakan kemudahan baharu yang disediakan, termasuk bola sepak dan ragbi bagi golongan kurang penglihatan.
Pusat sukan yang dibangunkan semula itu turut mempunyai padang ragbi bertaraf dunia.
Anggota Parlimen SMC Queenstwon Eric Chua berkata lebih banyak kemudahan dirancang bagi kawasan Queenstown dalam usaha mewujudkan masyarakat yang lebih mudah diakses dan inklusif.
Antaranya ialah sebuah hab masyarakat baharu di Lengkok Bahru yang akan menyediakan kemudahan sukan dan khidmat sosial lebih dekat kepada penduduk.
TINGKAT AKSES BAGI PENGGUNA KERUSI RODA
Menurut Encik Chua yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (MSF), terdapat juga rancangan untuk menjadikan kawasan kejiranan itu lebih mudah diakses oleh para pengguna kerusi roda.
Golongan warga emas pula bakal diberikan lebih banyak peluang untuk menjadi sukarelawan dan mentor serta mendapatkan pekerjaan.
Namun, Encik Chua menegaskan bahawa prasarana sahaja tidak mencukupi untuk membentuk sebuah masyarakat yang benar-benar inklusif.
Menurut beliau, sesebuah bandar boleh mempunyai kemudahan lebih baharu dan laluan yang lebih lancar, tetapi tahap keterangkuman turut bergantung kepada cara masyarakat melayan satu sama lain.
BUKAN SEKADAR 'HARDWARE', TUMPU JUGA 'HEARTWARE'
Encik Chua berkata usaha pada tahun-tahun mendatang bukan sahaja akan tertumpu kepada pembangunan fizikal Queenstown, tetapi juga kepada aspek kemasyarakatan atau "heartware".
Ini termasuk bagaimana masyarakat dapat menjaga dengan lebih baik warga emas yang tinggal bersendirian.
Perhatian juga akan diberikan kepada cara masyarakat bertindak dengan lebih memahami keperluan individu yang hidup dengan demensia, masalah kesihatan mental atau golongan kurang upaya.
Usaha tersebut bertujuan memastikan pembangunan Queenstown bukan sahaja melibatkan kemudahan fizikal, malah membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.