Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat sukan air, galeri NS antara daya tarikan Pentas Terapung Marina Bay apabila siap dibina semula jelang 2025

Pentas Terapung Marina Bay yang dibangunkan semula akan menampilkan pelbagai elemen baru, termasuk pusat sukan air, kolam renang dan galeri yang bertemakan Perkhidmatan Negara apabila ia siap menjelang 2025.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jul 2020 03:23PM Dikemas Kini : 15 Jul 2020 09:10PM

SINGAPURA: Pentas Terapung Marina Bay yang dibangunkan semula akan menampilkan pelbagai elemen baru, termasuk pusat sukan air, kolam renang dan galeri yang bertemakan Perkhidmatan Negara apabila ia siap menjelang 2025.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Rabu (15 Jul) mengumumkan bahawa kedua-dua kementerian itu sudah memberikan tender runding cara reka bentuk bagi pembangunan semula The Float @ Marina Bay kepada pasukan yang diterajui oleh WOHA Architects.

Kerja-kerja pembangunan semula dijadual bermula pada Mac 2022 dan dijangka siap sebelum hujung 2025 meskipun skop projek dan garis masanya mungkin diubah suai disebabkan oleh COVID-19.

Saranan yang dikemukakan oleh WOHA Architects, dengan kerjasama Populous Pte Ltd, "memenuhi matlamat dengan cara yang terbaik untuk mewujudkan ruang masyarakat yang menarik dan mudah diakses di tengah-tengah bandar", menurut kedua-dua kementerian dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada Rabu (15 Jul).

Apabila siap kelak, pentas terapung itu akan bertukar wajah untuk menampung pelbagai acara khas mengikut skala dan jenis acara yang berbeza-beza.

Tapak tersebut juga akan menempatkan kemudahan-kemudahan sukan masyarakat, seperti kolam renang dan pusat sukan air serta sebuah sisiran tepian air (waterfront promenade).

Khidmat makanan dan minuman (F&B) serta tawaran-tawaran runcit juga sedang ditimbangkan, selaras dengan maklum balas yang diterima daripada orang ramai mengenai usaha untuk mempertingkatkan kemudahan-kemudahan di lokasi tersebut.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pada 2017 bahawa The Float @ Marina Bay akan dibangunkan semula menjadi sebuah tapak tetap dan dinamakan Dataran NS yang akan dijadikan sebagai tapak utama bagi Perbarisan Hari Kebangsaan.

Selain menampung Perbarisan Hari Kebangsaan, tapak yang dibangunkan semula itu juga boleh digunakan untuk menganjurkan acara-acara peringkat masyarakat dan nasional seperti River Hongbao dan Kiraan Detik Tahun Baru Marina Bay, menurut kedua-dua kementerian itu.

KISAH ANGGOTA NS, ASKAR KERAHAN

Tapak baru itu juga akan menempatkan sebuah galeri yang bertemakan Perkhidmatan Negara (NS) bagi mempamerkan kisah NS dan pertahanan negara di samping mengiktiraf sumbangan berbilang generasi anggota NS.

Galeri itu akan dilengkapi dengan ruang terbuka dan tertutup di samping memaparkan kisah dan perjalanan para anggota NS dan kakitangan kerahan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team melalui pelbagai platform berbilang media dan pameran.

Pentas Terapung Marina Bay dibina pada 2007 sebagai sebuah tapak sementara sedang Stadium Negara dibina semula.

Pada awalnya ia dipilih sebagai lokasi bagi Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini tetapi skala sambutan NDP2020 sudah dikecilkan selaras dengan garis panduan COVID-19.

Pemerintah menerima sebanyak 25 bidaan bagi tender runding cara reka bentuk The Float @ Marina Bay. Lima pasukan disenarai pendek dan dipelawa untuk menyerahkan saranan reka bentuk bagi konsep yang diusulkan.

Sumber : CNA/AW/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa