Pusat satelit ke-5 MENDAKI dan pesta Raikan Ilmu dilancarkan
Pusat satelit Yayasan MENDAKI yang kelima iaitu MENDAKI@Punggol dilancarkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli pada Sabtu (1 Jul).
SINGAPURA: Pusat satelit Yayasan MENDAKI yang kelima iaitu MENDAKI@Punggol dilancarkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli pada Sabtu (1 Jul).
Empat pusat satelit lain yang ditubuhkan sebelum ini adalah di Jurong, Woodlands, Pasir Ris, dan Choa Chu Kang.
Pelancaran pusat di One Punggol itu diadakan serentak dengan acara pembukaan pesta Raikan Ilmu @Heartlands tahun ini.
Pesta tahun ini diadakan di empat kawasan kejiranan iaitu Punggol, Geylang, Jurong East dan Admiralty sepanjang bulan ini.
PUSAT SATELIT DI ONE PUNGGOL PERTINGKAT USAHA MENDAKI UNTUK MENANGANI CABARAN PENDIDIKAN LEBIH KOMPLEKS
Pusat satelit terbaru itu terletak di tingkat empat One Punggol.
Ia akan memberi tumpuan kepada keluarga berpendapatan rendah dan juga golongan pekerja yang menetap di daerah timur laut Singapura.
Di situ, mereka boleh mendapatkan pelbagai bantuan daripada agensi seperti Kelab Masyarakat One Punggol, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dan cawangan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Ia menawarkan ruang yang boleh diubah suai untuk menjalankan beberapa kegiatan pelbagai program secara serentak.
Ini termasuk program sokongan pendidikan, ruang pembelajaran dan aktiviti pengayaan untuk kanak-kanak dan pelajar.
Para penasihat jagaan MENDAKI akan dikerahkan ke pusat satelit itu untuk mendampingi masyarakat, menilai keperluan mereka dan menghubungkan mereka kepada agensi-agensi tertentu untuk mendapatkan bantuan.
Pusat terbaru itu akan meluaskan lagi rangkaian bantuan M³ yang disediakan dan menjadikannya lebih mudah diakses.
"Para penasihat penjagaan M³ bekerja tanpa jemu, mendengar keperluan keluarga, mendapatkan bantuan, dan menghubungkan mereka dengan sumber yang sesuai di peringkat nasional dan masyarakat, termasuk program yang disediakan oleh MENDAKI.
"Pada tahun 2022, penasihat penjagaan kami mengendalikan lebih daripada 17,000 kes melalui portal MyMENDAKI, rujukan, panggilan, dan "walk-ins"; meningkat sebanyak 42 peratus berbanding tahun 2020. Sejak 2021, MENDAKI juga telah mendekati hampir 2,500 keluarga di daerah timur laut, termasuk di Punggol," kata Encik Masagos.
Bersama dengan M³@Pasir Ris Punggol dan Pejabat Khidmat Sosial, para penasihat tersebut akan memberi tumpuan kepada keluarga berpendapatan yang tinggal di blok-blok sewa di Punggol.
"Pada masa depan, cabaran pendidikan akan lebih kompleks, dan ia bukan hanya untuk pendidikan dasar, tetapi pendidikan sepanjang hayat. Ini memerlukan MENDAKI untuk berada di mana para penduduk Melayu/Islam tinggal," kata Encik Masagos.
PUSAT SATELIT RUANG TAMBAHAN UNTUK ADAKAN KELAS MATEMATIKA
Menurut MENDAKI, pusat satelit itu akan dapat menyokong pelbagai jenis program dan kegiatan kemahiran untuk kanak-kanak dan para pelajar seperti Kelas MateMatika (KMM).
KMM sudah membantu hampir 4,000 kanak-kanak, peningkatan ketara berbanding 100 kanak-kanak pada 2018.
Pada tahun lalu, lebih 800 ibu bapa dan 900 kanak-kanak sudah menamatkan program KMM, naik lebih 140 peratus berbanding dua tahun sebelumnya.
Encik Masagos berkata sasaran KMM bagi tahun ini adalah kira-kira 2,500 kanak-kanak.
Menurut beliau, keberkesanan KMM akan dipertingkatkan.
"Tahun ini, MENDAKI akan bekerjasama dengan Institut Kajian Dasar (IPS) bagi menjalankan kajian sepanjang tiga tahun untuk menentukan kesan program KMM. Ini merupakan antara usaha MENDAKI untuk memanfaatkan pendekatan berdasarkan data untuk mempertingkatkan program-program."
Selain itu, MENDAKI akan juga bekerja rapat dengan M³@Bandar untuk mendapatkan tempat di balai rakyat serta di perpustakaan awam untuk menjalankan lebih banyak program KMM," tambah Encik Masagos.
PESTA RAIKAN ILMU DI KAWASAN KEJIRANAN BERTERASKAN BIDANG STEM
Lebih 50 kegiatan menarik bagi setiap lapisan masyarakat diadakan sepanjang hari di One Punggol sempena Pesta Raikan Ilmu@Heartlands.
Acara itu yang dijayakan dengan sokongan 30 rakan kongsi, memberi tumpuan kepada kegiatan-kegiatan berteraskan bidang STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan/Persekitaran, Seni, Matematik).
Kanak-kanak dan remaja berusia 9 hingga 18 tahun pula boleh meneroka, mencipta dan berinovasi menggunakan peralatan sebenar STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Antara aktiviti terbaru adalah peluang untuk mengikuti program perjalanan pembelajaran bersama para Anggota Parlimen (AP) dan karyawan Melayu/Islam daripada pelbagai industri.
Sebagai permulaan, ia akan dijalankan antara 20 Julai sehingga Oktober ini.
Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha berkata, "Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan MENDAKI untuk menganjurkan perjalanan pembelajaran. Kita akan menganjurkan perjalanan pembelajaran ke Rolls Royce pada bulan September untuk golongan belia dan pekerja untuk teroka peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan. Saya harap ini akan dapat menanam minat dalam bidang kejuruteraan dan mendorong mereka untuk menceburi bidang ini."
Mereka yang berminat juga berpeluang untuk mengunjungi Mahkamah Tinggi, syarikat Google serta syarikat kejuruteraan, Micron.
Pesta Raikan Ilmu@Heartlands seterusnya akan berlangsung di Wisma Geylang Serai, di IMM Jurong East dan Kampung Admiralty.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.