Pusat As-Salaam PPIS semak program sokongan, penilaian keperluan keluarga bercerai
Pusat Sokongan Keluarga As-Salaam kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) - iaitu satu-satunya Agensi Pakar Sokongan Perceraian (DSSA) bagi pasangan Islam yang melalui perceraian, sedang dalam proses menyemak semula program-programnya.
SINGAPURA: Pusat Sokongan Keluarga As-Salaam kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) - iaitu satu-satunya Agensi Pakar Sokongan Perceraian (DSSA) bagi pasangan Islam yang melalui perceraian, sedang dalam proses menyemak semula program-programnya.
Pusat itu juga sedang menjalankan penilaian bagi meninjau bagaimana khidmatnya boleh disesuaikan dengan lebih baik kepada profil klien.
Perkembangan ini dikongsi semasa satu webinar anjuran pusat tersebut pada Jumaat (19 Feb). Acara pertama Pusat Sokongan Keluarga As-Salaam bagi 2021 itu bertajuk "I'm Ok (Am I?) - Children of Divorce and Their Environment" atau "Saya Ok (Betul ke?) - Anak Keluarga Bercerai dan Sekitaran Mereka".
Sesi berkenaan mengemukakan cara-cara yang boleh diambil untuk membantu anak pasangan bercerai menyesuaikan diri kepada kehidupan baru. Lebih 200 peserta mengikuti perbincangan online itu - yang menampilkan penceramah seperti Presiden Kanan Mahkamah Syariah Cik Guy Ghazali dan Presiden Persatuan Muhammadiyah Ustaz Muhammad Azri Azman.
Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman turut hadir untuk merasmikan acara maya tersebut.
"Melalui perceraian bukan sesuatu yang mudah. Cara kita menyokong dan membantu keluarga yang melalui perceraian harus berubah dan memenuhi keperluan profil pasangan yang berubah-ubah," kata Dr Maliki dalam webinar itu.
Maka itu, Dr Maliki memuji langkah terkini yang diambil Pusat As-Salaam PPIS untuk mempertingkat khidmatnya dan berharap ia akan membantu keluarga-keluarga bercerai lebih berdaya tahan dan "bangkit lebih kuat daripada sebelumnya".
Menurut Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, Pusat As-Salaam sememangnya melihat keperluan pasangan bercerai berubah-ubah sepanjang lebih lima tahun beroperasi.
"Kes kini tidak hanya tertumpu kepada isu-isu berkaitan sokongan emosi tetapi lebih luas dan rumit seperti membantu ibu bapa bercerai membesarkan anak bersama (co-parent) mahupun hak penjagaan anak selepas bercerai. Ia diburukkan lagi dengan pelbagai kebimbangan lain berkenaan tempat tinggal dan kesejahteraan psikologi," terang Cik Hazlina.
Namun, tambah beliau, PPIS bertekad untuk menyediakan sokongan terbaik kepada pasangan bercerai, di samping melindungi kepentingan anak-anak mereka.
"(Dan juga) memastikan mereka mempunyai peluang untuk mencapai aspirasi, sama seperti kanak-kanak daripada keluarga yang tidak melalui perceraian. Kami (PPIS) berharap dapat berganding bahu dengan keluarga dan rakan-rakan masyarakat dalam usaha membangunkan keluarga lebih kukuh," katanya lagi.
Sementara itu, antara cara-cara yang dikongsi bersama para peserta dalam webinar pada Jumaat (19 Feb) termasuklah pendekatan positif membesarkan anak secara bersama dan meletakkan fokus kepada anak dalam proses perceraian.
Pusat As-Salaam PPIS buat masa ini bekerjasama dengan Mahkamah Syariah dan Keluarga serta rakan-rakan masyarakat lain, untuk menyediakan sokongan psikososial yang diperlukan keluarga-keluarga tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.