Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Sains, Snow City dibuka semula dari 17 Jul

Pusat Sains Singapura dan kumpulan daya tarikannya, KidSTOP dan Snow City, akan dibuka semula secara bertahap-tahap mulai Jumaat (17 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Sains, Snow City dibuka semula dari 17 Jul

Pintu masuk Pusat Sains Singapura. (Gambar: Pusat Sains Singapura/Facebook)

Diterbitkan : 16 Jul 2020 08:24PM Dikemas Kini : 16 Jul 2020 08:26PM

SINGAPORE: Pusat Sains Singapura dan kumpulan daya tarikannya, KidSTOP dan Snow City, akan dibuka semula secara bertahap-tahap mulai Jumaat (17 Jul).

Kesemua tarikan tersebut ditutup sejak 6 April iaitu sehari sebelum permulaan tempoh pemutus rantaian jangkitan untuk membendung penularan COVID-19. Singapura kini dalam Fasa 2 pembukaan semula dengan lebih banyak perniagaan menyambung semula operasi secara berperingkat-peringkat.

Kesemua tiga daya tarikan itu akan melaksanakan kemasukan berjadual dan mengawal jumlah kemasukan pengunjung, menurt Pusat Sains dalam kenyataan medianya. Ini bagi mengelakkan orang ramai daripada berkumpul dan berada dalam jarak dekat buat tempoh waktu yang lama.

Pusat Sains dan KidSTOP akan dibuka setiap hari sepanjang cuti penggal sekolah dari 17 Jul hingga 26 Jul dengan waktu pembukaan dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Tiket-tiket akan disediakan bagi dua sesi berjadual iaitu dari 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 5.00 petang setiap hari. Setiap sesi boleh menampung tidak lebih daripada 500 pengunjung di Pusat Sains dan 100 pelawat di KidSTOP.

Kedua-dua daya tarikan itu akan beralih untuk beroperasi tiga hari seminggu dari 31 Julai, iaitu dari Jumaat hingga Ahad, sehingga makluman lanjut.

Snow City akan beroperasi dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari sehingga 26 Jul, dengan tiket-tiket disediakan setiap satu atau dua jam. Tidak lebih 50 pengunjung dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

Ia akan beralih untuk beroperasi lima hari seminggu mulai 29 Jul, dari Rabu hingga Ahad sehingga makluman lanjut.

Ketiga-tiga daya tarikan itu akan ditutup bagi kerja membasmi kuman dari 1.00 tengah hari hingga 2 petang pada hari-hari ia dibuka.

LANGKAH BERJAGA-JAGA

Tiket masuk boleh dibeli terlebih dahulu secara online dan tidak akan dijual di Pusat Sains.

Setibanya pengunjung di daya tarikan itu, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu badan yang diwajibkan serta pengesanan kontak melalui sistem SafeEntry.

Para pengunjung harus menyediakan e-tiket atau baucar penebusan mereka untuk imbasan tanpa sentuhan di pintu masuk.

Semua pengunjung mesti memakai pelitup dan megekalkan jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter antara kumpulan dan kakitangan mereka serta orang lain yang berhampiran dengan mereka.

Pusat Sains juga amat menggalak para pelawat supaya mengekalkan "tahap kebersihan diri yang tinggi" sepanjang kunjungan mereka seperti kerap membasuh tangan serta menggunakan pembersih tangan.

Pembersih tangan akan disediakan di semua pintu utama. Sarung tangan juga akan disediakan atas permintaan. Lapisan pembasmi kuman "jangka panjang" juga sudahpun disalutkan pada permukaan yang kerap disentuh.

Tempat mengisi air bagaimanapun tidak disediakan sejajar dengan peraturan keselamatan dan para pengunjung digalak supaya membawa botol air mereka sendiri.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan