Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Sains baru di Taman Tasik Jurong bakal dibuka pada 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Sains baru di Taman Tasik Jurong bakal dibuka pada 2027

(Gambar: Pusat Sains Singapura)

SINGAPURA: Sebuah Pusat Sains baru akan dibuka di Daerah Tasik Jurong pada tahun 2027.

Ia bertujuan untuk menjadi destinasi sehenti bagi orang ramai mendapatkan akses kepada pendidikan serta pengalaman dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Para pengunjung juga boleh menikmati kemudahan-kemudahan seperti balai cerap baru untuk mempelajari tentang ilmu falak. Terdapat juga makmal fabrikasi digital yang akan menyokong program-program inkubator.

Sasaran pembukaan pada 2027 itu bertepatan dengan ulang tahun ke-50 Pusat Sains.

Demikian menurut kenyataan bersama Pusat Sains dan Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (2 Dis).

Kenyataan tersebut menjelaskan Pusat Sains baru itu akan meneruskan misi sejak penubuhannya pada 1977 iaitu untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan inovasi dalam kalangan generasi kanak-kanak sekolah.

Ini selain memanfaatkan lokasi dan kemudahan baru tersebut untuk meluaskan jangkauannya kepada rakyat Singapura dari semua peringkat umur bagi menghadapi serta menghargai kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan.

Direka oleh Zaha Hadid Architects dengan kerjasama Architects 61, Pusat Sains baru itu diilhamkan daripada landskap semula jadi dan tasik di Taman Tasik Jurong.

Pusat baru itu akan menampilkan beberapa ciri baru yang boleh dinikmati orang awam.

Sebuah galeri kanak-kanak baru, seluas lebih seganda saiz kawasan KidsSTOP sedia ada di Pusat Sains, akan menampilkan kawasan terbuka untuk permainan air interaktif, jejak penerokaan di hutan dan jejak deria di taman bumbung.

Makmal dan bengkel khusus yang menggalakkan pembelajaran amali berhubung konsep-konsep saintifik juga akan disediakan untuk para pelajar yang lebih tua.

Malah, Pusat Sains baru itu bakal melanjutkan waktu operasinya bagi mengendalikan lebih banyak kegiatan pada waktu malam secara berkala, dengan menawarkan pameran dan program STEM yang disusun khas buat para pengunjung dewasa.
Sumber : CNA/LL/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan