Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat pertukaran bas Tengah dibuka pada 21 Julai

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Jul 2024 06:02PM Dikemas Kini : 05 Jul 2024 08:57PM
SINGAPURA: Pusat pertukaran bas baharu di Tengah akan dibuka pada 21 Julai. Ia adalah salah satu kemudahan baharu yang dapat digunakan para penduduk.

Pusat pertukaran bas tersebut dibuka menyusuli pasar raya dan medan selera pertama di Tengah. Pasar raya Giant dan medan selera Koufu itu dibuka pada 28 Jun, yang menawarkan pelbagai pilihan runcit dan kedai makan kepada para penduduk.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (5 Jul), pusat pertukaran bas tersebut yang terletak di Tengah Boulevard "direka dengan mengambil kira aspek inklusif, dengan memenuhi keperluan kanak-kanak, warga emas serta mereka yang kurang upaya.

Pintu masuk tanpa penghadang, zon beratur dan tempat duduk khas di kesemua tempat menunggu bas merupakan antara ciri mesra penumpang yang disediakan.

Selain tandas yang boleh diakses pengguna berkerusi roda, bilik menukar pakaian dan bilik menyusu bayi disediakan dengan pintu gelongsor dan lampu tanpa sentuh.

Para penumpang juga boleh menggunakan bilik jagaan yang "disediakan untuk mereka yang mungkin memerlukan ruang yang senyap dan menenangkan," tambah LTA.

Pusat pertukaran bas itu juga mempunyai kemudahan buat kakitangannya seperti kantin, tandas khas, bilik dan ruang pekerja pembersihan, serta ciri-ciri penjimatan tenaga seperti paip air automatik dan lampu tanpa sentuh.

KETERSAMBUNGAN DIPERTINGKAT BAGI PENDUDUK TENGAH

Penduduk di Tengah juga akan mempunyai akses kepada khidmat bas baharu, sementara dua khidmat sedia ada akan dilanjutkan.

Khidmat bas baharu, 871, akan menghubungkan Tengah dengan Bukit Batok West, Bukit Gombak dan Beauty World.

Ia akan menghubungkan penumpang dengan Laluan Utara-Selatan di stesen MRT Bukit Gombak dengan Laluan Downtown di stesen Beauty World, dedah LTA.

Ia juga akan melalui pusat-pusat kejiranan di Bukit Gombak dan Bukit Batok, serta Stadium Bukit Gombak.

Khidmat bas 992 akan dilanjutkan ke Tengah Garden Walk, Tengah Drive dan Tengah Boulevard sebelum menamatkan khidmatnya di pusat pertukaran bas tersebut, tambah LTA.

Khidmat bas 870 juga akan dilanjutkan ke pusat pertukaran bas Tengah melalui Tengah Boulevard. Ia akan menghubungkan penumpang ke kemudahan utama di pusat bandar Jurong East.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan