Pusat pertukaran bas perketat langkah COVID-19 bagi kakitangan
Pusat-pusat pertukaran bas mengasingkan tempat rehat dan makan pekerja sebagai sebahagian daripada langkah-langkah dipertingkat selepas beberapa kelompok COVID-19 dikesan.
SINGAPURA: Pusat-pusat pertukaran bas mengasingkan tempat rehat dan makan pekerja sebagai sebahagian daripada langkah-langkah dipertingkat selepas beberapa kelompok COVID-19 dikesan.
Seramai 284 petugas barisan hadapan di pusat pertukaran bas diuji positif bagi koronavirus dari Julai hingga 1 Sep, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media pada Khamis (2 Sep).
"Jumlah itu kurang tiga peratus daripada 11,000 kakitangan barisan hadapan kami dalam sektor khidmat bas,"tambahnya. "Pengendali pengangkutan awam kami sudah mengambil pendekatan "vaksinasi, ujian dan jejak kontak" bagi memastikan keselamatan pekerja barisan hadapan mereka."
55 peratus kes dikesan menerusi ujian aktif dan tidak mengalami simptom manakala yang lain melaporkan kurang sihat atau diuji positif semasa menjalani perintah kuarantin.
Langkah-langkah lain yang dilaksanakan termasuk memperkenalkan tempat duduk sendirian di tempat makan, serta memasang pembahagi fizikal di kawasan merokok yang ditetapkan.
Kerja-kerja pembersihan di "tempat yang kerap disentuh" di tempat pekerja akan dipergiat sekurang-kurangnya sekali setiap jam, menurut LTA.
Ini bertujuan mengurangkan kemungkinan berlaku "penularan lanjut di tempat kerja", menurut LTA, yang bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam dan Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) bagi mempertingkatkan langkah pengurusan selamat.
Ia dilaksanakan secara berperingkat selama beberapa minggu lalu.
Setakat 1 Sep, sebanyak 314 kes COVID-19 dikaitkan dengan kelompok di lapan pusat pertukaran bas - di Tampines, Boon Lay, Jurong East, Toa Payoh, Bishan, Punggol, Clementi dan Sengkang.
Pusat pertukaran bas Sengkang dan Bishan merupakan kelompok jangkitan pertama yang dikenal pasti pada 14 Ogos disusuli dengan pusat pertukaran bas Toa Payoh, Punggol, Clementi, Jurong East dan Boon Lay yang diumumkan sebagai kelompok jangkitan pada 26 Ogos hingga 29 Ogos.
Pusat pertukaran bas Tampines pula dinamakan sebagai kelompok COVID-19 pada 30 Ogos.
LTA menyatakan lebih 99 peratus pekerja pengangkutan awam barisan hadapan sudah menerima satu dos vaksin dengan lebih 95 peratus sudah divaksin sepenuhnya.
Sejak Julai, pengendali pengangkutan awam melaksanakan ujian kerap bagi pekerja yang bekerja dekat dengan kelompok COVID-19 sedia ada, supaya kes positif dapat diasingkan dan dikesan lebih awal, menurut LTA.
"Rejim ujian proaktif, berserta ujian pemantauan masyarakat oleh Kementerian Kesihatan, telah membantu untuk mengesan dan mengasingkan hampir separuh daripada kapten bas yang baru-baru ini diuji positif COVID-19 di pusat-pusat pertukaran bas," menurut LTA.
"Pekerja yang dijangkiti sebahagian besar tidak mengalami simptom atau hanya menunjukkan simptom ringan. Tidak ada seorang pun yang mengalami sakit teruk."
LTA menekankan "tidak ada kesan besar" terhadap operasi bas sejauh ini akibat kelompok di lapan pusat tukaran bas itu.
"Namun, LTA bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk menghasilkan pelan kecemasan yang boleh segera dilaksanakan bagi mengurangkan kesan terhadap penumpang seandainya lebih banyak kes dikesan daripada ujian pemantauan masyarakat yang sedang dijalankan,"tambahnya.
Menurut LTA lagi sebarang kelengahan terhadap khidmat bas akan berlaku secara "bertahap-tahap", bermula dengan khidmat bas yang mempunyai permintaan rendah bagi mengurangkan kesan terhadap penumpang.
"Pekerja pengangkutan awam kita bekerja keras untuk memastikan pengangkutan awam dapat beroperasi secara lancar sepanjang 18 bulan lalu," menurut LTA.
"Kami ingin merakam penghargaan kami terhadap segala pengorbanan mereka dan kerjasama berterusan, serta sokongan daripada rakan-rakan kongsi tiga pihak kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.