Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat pertukaran bas Jurong East dipindahkan mulai 6 Dis

Pusat pertukaran bas Jurong East akan dipindahkan ke tempat baru dari 6 Dis, bagi mempermudahkan pembinaan Laluan Daerah Jurong dan Hab Pengangkutan Bersepadu Jurong East, menurut Penguasa Pengangkutan Darat pada Rabu (11 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat pertukaran bas Jurong East dipindahkan mulai 6 Dis

Pusat pertukaran bas Jurong East. (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 11 Nov 2020 04:33PM Dikemas Kini : 11 Nov 2020 04:42PM

SINGAPURA: Pusat pertukaran bas Jurong East akan dipindahkan ke tempat baru dari 6 Dis, bagi mempermudahkan pembinaan Laluan Daerah Jurong dan Hab Pengangkutan Bersepadu Jurong East, menurut Penguasa Pengangkutan Darat pada Rabu (11 Nov).

Pusat pertukaran baru itu terletak di jalan bertentangan pusat sekarang - di Jurong Gateway Road, antara persimpangan dengan Jurong East Street 12 dan Jurong East Central 1. Ia akan beroperasi sehingga sekitar 2027, apabila Hab Pengangkutan Bersepadu Jurong East dijangka siap.

(Gambar-gambar: LTA)

LTA sudah membina jejantas yang melintasi Jurong Gateway Road. Ia dilengkapi dengan lif dan tangga bergerak, bagi memudahkan para penumpang untuk berjalan di bawah laluan penghubung berteduh, antara stesen MRT Jurong East dengan pusat pertukaran yang baru.

KEMUDAHAN SERBA INKLUSIF

Sebagai sebahagian daripada langkah itu, sebuah perhentian bas baru akan dibina berdekatan pusat beli-belah Jem di Jurong Gateway Road, bagi menyediakan satu lagi pilihan untuk para penumpang turun daripada bas pada jarak lebih dekat dengan stesen MRT.

Dua perhentian bas sedia ada di Jurong Gateway Road, di luar Blok 131 dan sebelum stesen MRT Jurong East, juga diluaskan untuk menampung lebih ramai penumpang dan bas.

Lorong bagi laluan bas akan beroperasi sepanjang hari di Jurong Gateway Road bagi mempermudahkan operasi bas di kawasan berkenaan.

"Pusat pertukaran bas yang ditempatkan semula itu dipertingkat dan ini akan memudahkan para penumpang dan para pekerja pengangkutan awam," menurut LTA dalam kenyataan medianya. "Ini termasuk tempat menaiki bas yang lebih luas di setiap daripada tujuh tempat letak bas dan bebendul tanjakan bagi membantu para penumpang berkerusi roda menaiki bas."

"Terdapat juga lebih banyak kemudahan untuk memenuhi keperluan warga emas, mereka yang sukar bergerak dan keluarga-keluarga dengan anak kecil, termasuk empat kawasan menaiki bas yang bebas penghadang, zon beratur untuk golongan diutamakan dengan tempat duduk, bilik menyusu dan tandas-tandas bebas hadangan."

Kipas-kipas besar turut dipasang di dataran pusat pertukaran untuk peredaran udara lebih baik. 64 tempat letak basikal juga akan disediakan.

Sementara itu, para pekerja pengangkutan awam boleh menantikan kantin kakitangan berhawa dingin dan bilik rehat kakitangan di tapak baru.

Meskipun pusat tersebut lebih kecil berbanding pusat sedia ada, sebuah sistem pemberitahuan tempat letak bas akan dimanfaatkan untuk mengelakkan kesesakan di kawasan tersebut.

PERUBAHAN LALUAN BAS

Kebanyakan khidmat bas akan beroperasi seperti biasa dari pusat pertukaran yang baru. Sungguhpun begitu, tempat-tempat perhentian bagi khidmat-khidmat bas tertentu akan diubah untuk mengurangkan waktu perjalanan dan kesesakan.

Khidmat bas 97, 97E dan 197 akan memasuki pusat pertukaran menerusi Jurong East Street 12 dan Jurong Gateway Road, sementara khidmat bas 333 akan masuk menerusi Boon Lay Way dan Jurong Gateway Road.

Selain itu, empat khidmat bas akan memulakan dan mengakhiri perjalanan di luar pusat pertukaran.

Khidmat 78 akan bermula di Blok 131 dan berakhir di perhentian sebelum stesen MRT Jurong East manakala khidmat bas 79 pula boleh dinaiki di luar Blok 131 atau Perpustakaan Daerah Jurong.

Apabila khidmat Rentas Sempadan 3 dan 4 kembali beroperasi, tempat mengambil dan menurunkan penumpang adalah di Venture Avenue.

"Kami meminta pemahaman para penumpang sedang para pengendali bas kami cuba menyesuaikan diri dengan sekitaran baru itu," menurut LTA sambil menambah, pihaknya akan memantau keadaan dengan teliti dan membuat penyesuaian sekiranya perlu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan