Skip to main content

Singapura

Pusat pertukaran bas baru Choa Chu Kang dibuka pertengahan Disember

Pusat pertukaran bas Choa Chu Kang yang ada sekarang akan berpindah ke lokasi baru di persimpangan Choa Chu Kang Loop dengan Choa Chu Kang Drive mulai 16 Disember.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat pertukaran bas baru Choa Chu Kang dibuka pertengahan Disember

Gambar fail pusat pertukaran bas Choa Chu Kang. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 19 Nov 2018 01:45PM Dikemas Kini : 19 Nov 2018 01:48PM

SINGAPURA: Pusat pertukaran bas Choa Chu Kang yang ada sekarang akan berpindah ke lokasi baru di persimpangan Choa Chu Kang Loop dengan Choa Chu Kang Drive mulai 16 Disember.

Pemindahan pusat pertukaran bas itu itu bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan Laluan MRT Daerah Jurong, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin (19 Nov).

Kesemua 13 khidmat bas yang beroperasi dari pusat pertukaran bas Choa Chu Kang yang ada sekarang akan mula beroperasi dari pusat pertukaran yang baru, dengan operasi pusat pertukaran sedia ada dihentikan pada hari yang sama.

Laluan khidmat bas 925 dan 927 akan diubah untuk keluar masuk pusat pertukaran bas baru berkenaan melalui Choa Chu Kang Loop dengan Choa Chu Kang Drive. Dengan perubahan itu, dua khidmat bas tersebut tidak akan melalui kawasan Choa Chu Kang Avenue 4.

Pusat pertukaran bas baru Choa Chu Kang akan dilengkapi dengan kawasan bebas hadangan untuk menaiki dan turun bas yang berteduh, serta laluan yang menghubungkannyadengan stesen MRT dan LRT Choa Chu Kang.

Hampir 100 tempat letak basikal akan disediakan bagi "memudahkan pergerakan aktif dan ketersambungan," menurut LTA.

Ia juga akan menampilkan "kemudahan-kemudahan yang mengutamakan penumpang seperti zon keutamaan beratur, bilik menyusu bayi, dan tandas-tandas bebas hadangan bagi memenuhi keperluan warga tua dengan lebih baik serta golongan kurang upaya dan keluarga yang mempunyai anak kecil."

Sebuah lobi elektronik dan ruang menunggu dengan tempat duduk untuk para penumpang berkomunikasi dengan penasihat khidmat TransitLink juga akan disediakan sebagai sebahagian daripada Pusat Khidmat Sehenti - iaitu yang pertama disediakan di pusat pertukaran bas.

Pusat pertukaran bas itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang dipertingkatkan bagi kapten-kapten bas dan para kakitangan lain. Ini seperti sebuah kantin kakitangan yang berhawa dingin, serta tandas dan bilik istirahat khas untuk mereka.

Maklumat mengenai laluan-laluan bas akan disediakan di perhentian-perhentian bas, terminal bas dan khidmat bas yang terjejas, menurut LTA. Para penumpang juga boleh mendapatkan lebih banyak maklumat menerusi laman dan media sosial LTA.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita