Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat penuaan aktif, skim gajikan warga tua antara kemas kini meniti usia senja lebih baik

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat penuaan aktif, skim gajikan warga tua antara kemas kini meniti usia senja lebih baik

(Gambar fail: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 30 Jan 2023 01:57PM Dikemas Kini : 30 Jan 2023 07:09PM

SINGAPURA: Mewujudkan lebih banyak pusat penuaan aktif dan menghulurkan sokongan lebih baik kepada pesakit demensia serta penjaga mereka adalah antara inisiatif yang diumumkan pada Isnin (30 Jan). Semua itu sebahagian daripada pelan induk nasional yang dikemas kini untuk memastikan golongan warga emas di Singapura dapat menua dengan baik. 

Pelan Tindakan Penuaan Berjaya 2023 juga melanjutkan dua skim pengambilan pekerja lanjut usia dan inisiatif-inisiatif lain untuk membolehkan pembelajaran serta penglibatan dalam kerja-kerja sukarela.

Pelan tindakan itu dilancarkan buat pertama kali oleh Jawatankuasa Menteri mengenai Penuaan pada 2015, merangkumi inisiatif-inisiatif seperti dialog kesihatan, program senaman, kelas bersubsidi dan kerja penambahbaikan ke atas prasarana. 

Kemas kini itu bertujuan untuk memenuhi keperluan serta aspirasi golongan warga emas semasa dan akan datang yang berubah-ubah. Ia dibuat menyusuli sesi pendampingan yang dihadiri lebih 5,000 rakyat Singapura antara 2019 hingga 2021. 

Keprihatinan utama berkaitan penuaan yang diutarakan sewaktu sesi-sesi itu termasuk sikap diskriminasi terhadap warga lanjut usia di tempat kerja, kos sara hidup yang semakin meningkat dan mengikuti perkembangan teknologi. Namun, orang ramai juga ingin menyumbang secara bermakna sedang mereka menua, tidak kira sama ada dengan bekerja atau menerusi aktiviti sukarela.

"Mengambil kira maklum balas yang diterima, Pelan Tindakan 2023 akan tertumpu kepada inisiatif-inisiatif kemasyarakatan bagi memperkasa rakyat Singapura untuk bertanggungjawab ke atas perjalanan mereka sendiri dalam meniti hari tua," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media. 

Salah satu daripadanya adalah untuk membantu warga emas mengekalkan dan memperbaiki kesejahteraan fizikal serta mental mereka menerusi kesihatan pencegahan, program penuaan aktif selain khidmat jagaan. 

Berucap di acara pelancarannya, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata penjagaan pencegahan sering dikaitkan dengan khidmat klinikal. Namun, tekan beliau, apa yang "sama penting dan malah mungkin lebih penting" adalah aktiviti-aktiviti seperti pemakanan, latihan fizikal dan mengamalkan gaya hidup aktif secara amnya. 

Oleh itu, rangkaian pusat penuaan aktif yang sedia ada akan ditambah daripada 119 kepada 220 menjelang 2025. Pusat-pusat berkenaan juga harus berubah menjadi pusat bagi penjagaan pencegahan dan untuk berbuat sedemikian, ia "perlu menarik perhatian warga emas untuk keluar dari rumah mereka", kata Encik Ong. 

"Dari situ, pusat penuaan aktif boleh memudahkan interaksi sosial, mendorong kelakuan yang baik demi menjaga kesihatan, menggalakkan aktiviti sukarela dan menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan," tambah beliau. 

Lebih banyak aktiviti di bawah program 'Live Well, Age Well' juga akan dilancarkan di pelbagai tempat di merata Singapura seperti di kelab masyarakat serta pusat jawatankuasa penduduk. Ia merangkumi pelbagai kegiatan penuaan aktif dari senaman fizikal ke kesejahteraan mental, pemakanan dan menimba kemahiran celik digital.

Program tersebut menyasar untuk menjangkaui lebih 550,000 warga emas dalm tempoh lima tahun mendatang. 

Untuk memingkatkan lagi sokongan buat pesakit demensia dan penajga mereka, akan terdapat lebih banyak pasukan pendampingan masyarakat - yang dikenali sebagai Pasukan Sokongan Sumber dan Pelibatan Masyarakat (CREST).

Pasukan itu secara aktif mengenal pasti warga emas yang berisiko mengalami demensia dan merujuk mereka untuk pemeriksaan lanjutan. Sasarannya adalah untuk mempunyai 73 pasukan CREST menjelang Mac 2025, naik berbanding 61 buat masa ini. 

Jumlah pasukan di bawah perintis CREST-Sokongan Pasca Diagnostik, yang menjangkaui keluarga dan menghubungkan mereka dengan sumber-sumber relevan, juga akan ditingkatkan sebanyak tiga kali kepada enam menjelang Mac 2025. 

Memandangkan lebih ramai warga Singapura cenderung untuk menutup usia di rumah masing-masing, MOH menyatakan ia sedang bekerjasama dengan penyedia jagaan masyarakat dan jagaan kesihatan untuk melicinkan proses pesakit dibenarkan pulang dari hospital serta memperhebatkan lagi keupayaan dan kapasiti jagaan paliatif. Ini di samping menyediakan sokongan lebih baik bagi penjaga di rumah. 

Usaha tersebut akan membantu mengurangkan jumlah kematian di hospital daripada 61 peratus kepada 51 peratus menjelang 2027. 

Lebih banyak juga akan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai perancangan jagaan akhir hayat.
Misalnya, Surat Kuasa Berkekalan (LPA), iaitu dokumen perundangan yang membenarkan waris seseorang untuk membuat keputusan penting bagi pihak mereka sekiranya mereka kehilangan keupayaan mental untuk berbuat sedemikian. 

KERJA, JADI SUKARELA & BELAJAR

Inisiatif lain di bawah pelan tindakan bertujuan untuk membolehkan warga emas membuat sumbangan bermakna kepada masyarakat seperti terus bekerja dengan aturan kerja lebih fleksibel dan peluang melakukan aktiviti sukarelawan. 

Sebagai contoh, Kredit Pekerjaan Warga Emas - yang menyediakan pengimbangan gaji kepada majikan yang mengambil pekerja Singapura berusia 60 tahun dan ke atas dan menerima pendapatan sehingga S$4,000 sebulan - akan dilanjutkan ke 2025 dari 2023. 

Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan pula akan dilanjutkan kepada tempoh yang sama. Kriteria kelayakannya dikemas kini bagi mendorong majikan untuk menawarkan aturan kerja fleksibel dan perancangan kerjaya berstruktur bagi pekerja mereka yang lanjut usia. 

Lebih 5,700 pekerja terikat kepada dasar pengambilan bekerja semula secara sambilan di bawah geran berkenaan. Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 45,000 pekerja lanjut usia pada bulan-bulan mendatang, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, sewaktu satu sesi dialog. 

Untuk mengalakkan aktiviti kesukarelawanan, pejabat SG Cares - sebuah unit di bawah naungan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) -  akan bekerjasama dengan RSVP Singapore, sebuah pertubuhan bagi sukarela warga emas, untuk mendampingi 750 syarikat serta pekerja lanjut usia mereka menjelang 2027. 

Akhir sekali, penyediaan lebih banyak prasarana mesra warga emas di tempat dan pengangkutan awam sedang dalam perancangan.  

Lembaga Taman Negara (NParks) sedang berusaha untuk membangunkan 25 taman terapeutik di taman-taman merata negara menjelang 2027, meningkat berbanding sembilan buat masa ini. 

Taman-taman tersebut direka bentuk berteraskan sains untuk memenuhi keperluaan fizikal, psikologi dan sosial pengguna seperti individu mengalami demensia atau pesakit angin ahmar, kata Menteri Pembangunan Negara Encik Desmond Lee, yang turut serta sesi dialog tersebut. 

Menjelang 2025, 50 Zon Warga Emas - skim untuk meningkatkan keselamatan jalan raya bagi warga tua dengan langkah-langkah seperti had kelajuan yang dikurangkan - akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan