Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah (MAAC) perluas khidmat kepada 2,000 warga emas di Yishun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak khidmat akan disediakan dengan peralihan Pusat Kegiatan Warga Emas Muhammadiyah Yishun (MSAC) menjadi sebuah Pusat Penuaan Aktif (MAAC) bermula Sabtu (1 April).

Ia juga bagi menyokong lebih ramai warga emas yang menetap di kawasan berhampiran.

Dengan peluasan itu, ia menawarkan khidmat kepada sekurang-kurangnya 2,000 penduduk dalam lingkungan radius dua kilometer dari pusat itu yang terletak di 701B Yishun Avenue 5.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Sebelum ini, hanya sekitar 300 penduduk yang meraih manfaat daripadanya.

"Perubahan pertama adalah ruang lingkup di mana kita akan berkhidmat kepada masyarakat. Buat masa ini, hanya pusat kepada blok ini tetapi selepas bertukar kepada AAC, jangkauan dia lebih luas, radius dua kilometer insya-Allah," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAAC, Cik Roszanah Abdul Salim.

"Aktiviti-aktiviti yang kami laksanakan juga ada yang perlu kami buat secara berlarutan seperti pemantauan tanda-tanda penting di mana sekarang pihak pemerintah menggalakkan kita untuk memerhatikan tanda-tanda penting ini setiap hari," tambah beliau.


Menurutnya lagi, peralihan itu juga adalah sebahagian daripada usaha untuk menggalak penuaan yang lebih sihat dan aktif dalam kalangan warga emas.

"Jika dahulu, ia adalah pusat aktiviti warga emas dan sekarang ditukar kepada Pusat Penuaan Aktif jadi pemerintah ingin mengalakkan gaya hidup sihat dan yang lebih aktif supaya mereka (warga emas) tidak hanya memikirkan tentang kesakitan yang mereka ada, dan keluar daripada kesakitan itu," ujar Cik Roszanah.

Pusat itu juga akan menjalankan saringan kesihatan bagi 1,500 warga emas yang menetap di kawasan Yishun.

"Kami berharap untuk melancarkan lebih banyak program untuk warga tua dari pelbagai kaum bagi menggalakkan penuaan aktif dan sihat. Kami mengajak para sukarelawan untuk menyertai kami dalam usaha ini," kata Cik Roszanah.

WUJUDKAN EKOSISTEM MESRA WARGA EMAS


(Gambar: MHCC)

Turut hadir bagi meraikan detik penting itu ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang juga Anggota Parlimen GRC Nee Soon.

Beliau menekankan betapa pentingnya pertubuhan seperti Muhammadiyah untuk menyokong dan menyediakan khidmat bagi penduduk warga emas.

"Singapura sedang menghadapi satu proses penuaan di kalangan masyarakat kita. Jadi, penting bagi kita menyediakan wadah-wadah untuk menyokong penuaan ini supaya rakyat kita hidup walaupun mereka menua, mendapatkan khidmat-khidmat, sokongan-sokongan dan rasa selesa hidup di peringkat kejiranan dan di tempat yang mereka rasa mereka ada kaitan dengan tempat itu.

"Jadi pertubuhan seperti Muhammadiyah ini penting bagi menyediakan perkhidmatan dan juga menyokong kehidupan mereka bersama. Mereka dapat merasakan mereka ada tempat untuk mengadu, tempat untuk mendapatkan sokongan dan mereka tidak rasa keseorangan dan rasa bahawa mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang sesuai," tambah beliau.


Namun, badan-badan masyarakat, serta masyarakat secara umum juga memainkan peranan yang sama penting menurut Dr Faishal.

"Kita mahu membangunkan satu ekosistem yang mantap di mana ia memberikan ruang kepada semua pihak untuk memainkan peranan kerana proses penuaan ini adalah sesuatu proses yang nyata yang dapat kita lihat bukan sahaja di Singapura tetapi di merata dunia," ujar Dr Faishal.

"Di Singapura ini, kita mahu membangunkan satu ekosistem yang padat, yang boleh memberikan ruang sokongan dan ruang perkhidmatan bagi penduduk-penduduk kita yang menua," tambah beliau.

200 PENDUDUK WARGA EMAS YISHUN TERIMA BARANGAN DAPUR


(Gambar: MHCC) 

Sempena meraikan detik penting itu, pusat itu juga melakukan lawatan rumah dan mengagihkan barangan dapur kepada sekitar 200 penduduk warga emas di Yishun.

Ia juga hasil kerjasama pusat itu bersama rakan-rakan kerja seperti Tab Riders, The Food Bank Singapore dan Khong Guan.

Dr Faishal juga menyertai usaha murni itu bersama para kakitangan dan relawan MAAC yang sama-sama menyingsing lengan menjayakan pengagihan itu.

Antara penerimanya termasuk Cik Zainun Dahlan, 69 tahun dan suaminya, Encik Tahar Sani, 75 tahun.

MAAC KERAP LAKUKAN LAWATAN KE RUMAH WARGA EMAS



Pasangan suami isteri itu amat berterima kasih atas pemberian barangan runcit itu dan melahirkan penghargaan atas usaha MAAC sejauh ini melakukan lawatan rumah ke rumah dengan kerap.

Ini memandangkan Cik Zainun mempunyai masalah semput manakala suaminya pula menghidap angin ahmar dan masalah jantung.

"Mereka bertanggungjawab juga, ketuk rumah dan tanya rumah-rumah ke rumah, dia sihat ke? Atau ada apa yang perlu dipakai, boleh meminta darinya," kongsi Cik Zainun.

"Saya suka dia bertanya dan ambil berat dengan kita. Jadi kita kadang-kadang pergi ke bawah, melakukan kerja tangan, bersenam semua. Jadi kita pun tidak bosan di sini," tambahnya lagi.



Perasaan yang sama juga dikongsi seorang lagi penduduk, Cik Wong Siew Yong, 81 tahun, yang tinggal bersendirian.

"Mereka (kakitangan Muhammadiyah) semua yang datang sangat ramah. Dalam setahun, mereka datang dengan kerap untuk menjaga kita," menurut Cik Wong.

Cik Wong merupakan klien tetap MAAC dan sering mengikuti aktiviti dan program pusat tersebut.

Usaha tersebut juga merupakan sebahagian daripada kempen SG Lebih Sihat bagi menggalakkan penuaan aktif.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan