Skip to main content

Singapura

Pusat Penjaja & Pasar Blok 216 Bedok selamat dikunjungi di tengah kes TB: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 May 2026 01:26PM Dikemas Kini : 14 May 2026 01:24PM
SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung memberi jaminan kepada orang ramai bahawa menjamu selera di Pusat Penjaja & Pasar Blok 216 Bedok Centre tetap selamat, selepas pusat penjaja itu dikenal pasti sebagai salah satu lokasi utama yang dikaitkan dengan beberapa kes batuk kering atau tuberkulosis (TB).

Pusat penjaja tersebut adalah salah satu daripada tiga lokasi di Bedok Central yang dikaitkan dengan 13 kes TB yang dikesan antara Januari 2023 hingga Februari tahun ini. Dua lagi lokasi ialah Heartbeat@Bedok dan cawangan Singapore Pools di Bedok.

Pihak berkuasa menyatakan beberapa kes mempunyai corak aktiviti yang bertindih di ketiga-tiga lokasi tersebut, yang menunjukkan kemungkinan berlaku jangkitan akibat lawatan berulang atau pendedahan bagi tempoh yang lama.

Bercakap kepada media selepas melawat pusat penjaja dan pusat saringan TB di Heartbeat@Bedok, Encik Ong menjelaskan bahawa penyakit ini tidak mudah berjangkit melalui kontak kasual.

“Penyakit batuk kering tidak berjangkit melalui satu, dua atau tiga pertemuan, atau berkongsi pinggan, mahupun bersalaman. Ia memerlukan pendedahan secara dekat yang sangat lama,” katanya.

“Oleh itu, sila langgani pusat penjaja dan menjamu selera di sini adalah sangat selamat.”

Komen beliau dikeluarkan ketika pihak berkuasa menjalankan saringan TB wajib untuk kira-kira 700 penyewa dan pekerja di tiga lokasi tersebut. Saringan secara sukarela juga ditawarkan kepada orang awam yang meluangkan masa yang lama di sana.

Disebabkan oleh sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) mengumumkan bahawa saringan di Heartbeat@Bedok akan dilanjutkan sehari lagi sehingga 8 Mei, bagi membolehkan lagi 500 orang diperiksa.

PERNIAGAAN MEROSOT DEK KEBIMBANGAN ORANG RAMAI

Walaupun diberi jaminan, para pegerai di pusat penjaja tersebut melaporkan perniagaan mereka terjejas teruk.

Tinjauan mendapati kira-kira 31 daripada 80 gerai ditutup pada pagi Selasa (5 Mei). Encik Augustine Kuah, 37 tahun, pemilik gerai karipap, menganggarkan jumlah pelanggan merosot sehingga hampir 70 peratus semalam.

“Keadaan agak buruk sejak pengumuman dibuat. Semakin berkurangan pelanggan yang datang ke sini kerana mereka takut,” katanya. Beliau bercadang untuk menutup gerainya pada Rabu dan Khamis kerana tidak berbaloi untuk dibuka jika tiada pelanggan dan makanan yang disediakan tidak terjual.

Penjaja lain turut melaporkan kemerosotan antara 50 hingga 70 peratus sejak berita itu tersebar.

Bagi membantu meringankan beban mereka, Menteri Negara Kanan Kesihatan Tan Kiat How mengumumkan bahawa penjaja yang terjejas akan mendapat pengecualian sewa setengah bulan dan bayaran lain untuk bulan ini.

Encik Ong menyatakan bahawa kadar jangkitan TB aktif di Singapura adalah "agak rendah" dengan kurang daripada 1,000 kes tahun ini. Jumlah kes aktif baharu dalam kalangan penduduk Singapura juga merosot kepada 1,019 tahun lalu berbanding 1,156 pada 2024.

Beliau berharap rakyat Singapura memahami bahawa langkah saringan ini adalah langkah berjaga-jaga untuk membendung penyakit itu dan kehidupan seharian harus diteruskan seperti biasa.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita