Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Penjaja Geylang Serai kembali 'sesak' pada hujung minggu pertama VDS

Keadaan di Pusat Penjaja Pasar Geylang Serai kembali sesak pada hujung minggu pertama sejak kelonggaran untuk membenarkan sehingga lima orang lengkap divaksin duduk makan semeja dilaksanakan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Keadaan di Pusat Penjaja Pasar Geylang Serai kembali sesak pada hujung minggu pertama sejak kelonggaran untuk membenarkan sehingga lima orang lengkap divaksin duduk makan semeja dilaksanakan.

Hampir kesemua meja makan di pusat penjaja itu penuh dengan para pelanggan yang tidak sabar-sabar untuk menjamu selera dan berkumpul semula dengan handai taulan dan sanak saudara.

Sebagai antara 14 pusat penjaja yang melaksanakan Langkah Pengurusan Selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS), para pelanggan dibenarkan untuk duduk sehingga lima orang semeja jika mereka sudah lengkap divaksin.

PELANGGAN GEMBIRA DAPAT BERKUMPUL SEMULA

Antara pelanggan yang sangat gembira dengan kelonggaran itu ialah Cik Roszana. Dia yang datang berbelanja di pasar itu hampir setiap minggu lega dapat duduk bersama teman-teman.

"Kumpulan kami dipanggil geng 'mengopi'. Jadi kami selalu datang awal, duduk dan berbincang yang mana perlu. Alhamdulillah saya dapat berkumpul dengan kawan saya, kita berbual beramah tamah tapi walau apa pun, kami menjaga 'SOP' (langkah-langkah keselamatan)", kata Cik Roszana.

Perasaan gembira itu turut sama dirasakan Encik Mohd Safaie Mohd Hussin kerana dia sudah tidak perlu lagi 'menguatkan suara' apabila mahu berbicara dengan kenalan di meja lain.

"Selama ini kami selalu makan suami isteri dua orang. Kalau datang dengan kawan pun berlainan meja tapi sekarang kami dapat sekurang-kurangnya satu meja empat atau lima orang jadi kita punya cara perbualan itu pun tak payah terpekik-pekik," kata Encik Safaie.

Semasa kunjungan BERITAmediacorp, kami difahamkan orang ramai tidak henti-henti beratur untuk masuk ke kawasan pusat penjaja seawal 6 pagi lagi.

Sungguhpun begitu, prosesnya agak lancar kerana orang ramai faham dengan syarat-syarat untuk masuk di samping kehadiran para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang sedia membantu.

Namun, tempat makan itu mempunyai kapasiti sehingga 300 orang sahaja dan sekiranya jumlah atau kuota itu sudah penuh, para pengunjung yang selebihnya perlu menunggu dan beratur sebentar sebelum dibenarkan masuk.

RAMAI ORANG TIDAK BERMAKNA UNTUNG LEBIH...

Kedatangan orang ramai yang tidak putus-putus ke pusat makanan popular itu turut membawa ganjaran kepada peniaga seperti 'Otak-Otak Kampung' yang melihat peningkatan antara 15 peratus hingga 20 peratus hasil penjualannya.

"Kami dapat nampak peningkatan perniagaan keseluruhannya amat bagus. Kami juga optimistik dengan apa yang akan datang untuk beberapa minggu yang akan datang kerana cuti sekolah pun sudah bermula," kata pemiliknya, Encik Normanshah Mohd Sah.

Walau bagaimanapun, Encik Normanshah tidak terburu-buru untuk menambahkan stok otak-otaknya dan memilih untuk mengambil langkah 'tunggu dan lihat' sebelum mengatur strategi seterusnya.

Namun, ada peniaga seperti Cik Azizah Mohamed yang tidak menjangkakan keuntungan lumayan kerana masih ada langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.

Pemilik gerai 'Goreng Pisang & Kueh Mueh' yang sudah berniaga hampir 20 tahun itu berkata: "Hasil penjualan kita tak ada kenaikannya. Tetap menurun. Dulu kalau macam hari biasa saya boleh dapat dalam lebih S$300 lebih tapi sekarang S$100 saja. Itu saja penjualan saya. Mahu tampung kos sewa pun susah."

PENIAGA PUSAT PENJAJA HAIG ROAD ALU-ALUKAN PELAKSANAAN VDS DI SANA

Di Pusat Penjaja Haig Road pula yang akan hanya melaksanakan VDS mulai Isnin (29 Nov), suasana hujung minggu tidak banyak berbeza seperti minggu-minggu sebelumnya.

Para peniaga yang ditemui berharap keadaan akan lebih teratur apabila VDS dilaksanakan dan tambahan jumlah pelanggan.

"Mudah-mudahan orang sudah ramai sikit. Itu sajalah kita berniaga pun senang sikitlah. Jadi kita (pelanggan) boleh duduk ramai-ramai empat, lima orang sekurang-kurangnya senang sikit kita tak kelam-kabut sangat," kata Encik Afandi Ahmad, pemilik gerai Afandi Hawa & Family yang menjual hidangan seperti Mee Rebus, Mee Soto dan Gado-Gado.

Mulai Isnin juga, sejumlah 32 pusat penjaja dan 49 kedai kopi merata negara akan membenarkan orang ramai yang sudah divaksin sepenuhnya untuk duduk makan sehingga lima orang semeja.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan