Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Penjaja dan Pasar Basah Marsiling Lane ditutup 3 hari selepas kelompok COVID-19 dikesan

Pusat Penjaja dan Pasar Basah Marsiling Lane ditutup bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh pada Selasa (21 Sep) setelah beberapa kes COVID-19 dikesan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Penjaja dan Pasar Basah Marsiling Lane ditutup 3 hari selepas kelompok COVID-19 dikesan

Pusat Penjaja dan Pasar Basah Marsiling Lane. (Gambar: Facebook/Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee)

Diterbitkan : 21 Sep 2021 10:21PM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 10:23PM

SINGAPURA: Pusat Penjaja dan Pasar Basah Marsiling Lane ditutup bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh pada Selasa (21 Sep) setelah beberapa kes COVID-19 dikesan.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia "maklum terdapat kes COVID-19 dalam kalangan pegerai dan individu" yang bekerja di sana.

Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee mula menjalankan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman di pusat itu selepas pukul 3.00 petang pada Selasa.

"Selepas berunding bersama Persatuan Penjaja dan Majlis Bandaran, pusat penjaja itu akan ditutup selama tiga hari akan datang dan akan dibuka semula pada 25 September," menurut NEA.

Dalam satu catatan Facebook, Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee Zaqy Mohamad berkata keutamaan majlis bandaran itu adalah keselamatan penduduk dan pemilik gerai.

Beliau menambah bahawa majlis bandaran itu akan "mengambil semua langkah berjaga-jaga sewajarnya sebelum pembukaan semula premis itu" di Blok 20 dan 21.

Encik Zaqy memberitahu Mediacorp dalam satu kenyataan berasingan bahawa pasukannya sedang bekerjasama dengan majlis bandaran untuk menawarkan rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) selama lebih daripada tujuh hari bagi membantu pemilik gerai sepanjang tempoh penutupan itu.

"Kami juga sedang bekerja rapat dengan Persatuan Peniaga untuk memantau keadaan itu dan melihat jika sebarang pemilik gerai memerlukan bantuan lanjut," katanya.

Encik Zaqy berkata terdapat 52 gerai makanan, 71 gerai menjual daging, 34 gerai menjual sayur-sayuran serta tujuh gerai menjual beraneka barangan di pusat penjaja dan pasar itu.

Majlis Bandaran menyatakan dalam satu catatan Facebook bahawa kedai kopi dan kedai makan berhampiran "akan dibuka seperti biasa".

Ini merupakan pasar dan pusat penjaja ketiga yang ditutup pada minggu ini.

Pusat Makanan Ayer Rajah ditutup pada 19 September bagi kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman selepas beberapa kes COVID-19 dikesan dalam kalangan beberapa pegerai dan pekerja pembersihan. Pusat itu ditutup sehingga Rabu, menurut AP GRC West Coast S Iswaran dalam satu catatan Facebook.

Pasar dan pusat penjaja di Blok 210 Toa Payoh Lorong 8 juga ditutup dari 17 September hingga 19 September setelah beberapa kes COVID-19 dikesan dalam kalangan pemilik gerai dan pekerja.

Pada awal bulan ini, Chinatown Complex ditutup dari 12 September hingga 15 September selepas sebuah kelompok COVID-19 yang besar dikenal pasti. Sebanyak 282 kes, kebanyakannya terdiri daripada pemilik dan pembantu gerai, dikaitkan dengan kelompok itu setakat Isnin.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan