Pusat penjaja dan pasar basah baru di Jurong di buka secara rasmi hari ini
Sebuah pusat penjaja serta pasar basah yang baru di Jurong sudah dibuka secara rasmi hari ini (1 Jan), bagi menggantikan bangunan lama yang terbakar dua tahun lalu.
SINGAPURA: Sebuah pusat penjaja serta pasar basah yang baru di Jurong sudah dibuka secara rasmi hari ini (1 Jan), bagi menggantikan bangunan lama yang terbakar dua tahun lalu.
Para peniaga yang ditemui berkata perniagaan mereka kini lebih baik.
Ramai penduduk Jurong datang untuk menyaksikan acara perasmian pusat penjaja dan pasar basah ini.
Dibina dengan belanja S$6.2 juta, bangunan itu 30 peratus lebih besar daripada pusat penjaja dan pasar yang lama.
Bangunan Jurong Central Plaza ini turut dilengkapi dengan sistem aliran udara yang lebih baik dan mempunyai kemudahan mesra warga emas seperti hab penuaan aktif yang terletak di tingkat dua. Hab itu akan beroperasi pada suku kedua tahun ini.
Pasar dan kedai kopinya yang lama sudah dirobohkan setelah terbakar pada 2016.
Mereka yang berniaga di pasar basahnya kemudian dipindahkan ke pasar sementara yang dibangunkan enam minggu selepas kebakaran itu.
Tidak lama lagi tempat pasar sementara itu akan kembali menjadi sebuah gelanggang bola keranjang.
Beberapa pegerai yang ditemui berkata perniagaan mereka lebih baik daripada sebelumnya, dengan Anggota Parlimen GRC Jurong, Ang Wei Neng, berkata beliau turut melihat peningkatan terhadap jumlah pelanggan.
Beliau menambah harga sewa bagi setiap meter persegi kekal sama, dan langkah tambahan diambil bagi memperbaiki keselamatan kebakaran.
"Kini ia mempunyai laluan jalan yang lebih luas dan lebih banyak ruang. Pemilik gerai boleh menyusun barang-barang serta makan dengan lebih baik. Mereka turut dinasihati untuk tidak meletakkan barang mudah terbakar, dan di situ turut terdapat alat pemadam api dan langkah-langkah keselamatan kebakaran dengan kod keselamatan kebakaran yang baru," Encik Ang.
Kompleks baru itu dibuka secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tharman Shanmugaratnam.
"Projek ini bermula apabila kita berdepan dengan masalah besar. Namun projek ini membuktikan bahawa... tiada masalah yang terlalu besar bagi Singapura jika kita kekal bersama dan bekerjasama dengan satu hati," kata Encik Tharman.
Seramai sekitar 3,000 penduduk hadir di majlis pelancaran tadi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.