Skip to main content

Singapura

Pusat penipuan Kemboja yang sasarkan rakyat SG: Tiada ikat jamin untuk saudara lelaki dan teman wanita ketua sindiket yang disyaki

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat penipuan Kemboja yang sasarkan rakyat SG: Tiada ikat jamin untuk saudara lelaki dan teman wanita ketua sindiket yang disyaki

Sindiket tersebut didakwa menipu mangsa di Singapura melibatkan wang berjumlah puluhan juta dolar serta pengubahan wang haram di Malaysia menggunakan mata wang kripto.

SINGAPURA: Sebuah Mahkamah Daerah pada Khamis (2 Okt) tidak membenarkan ikat jamin bagi saudara lelaki dan teman wanita seorang lelaki yang dipercayai ketua sebuah sindiket berpangkalan di Kemboja, yang menyasarkan warga Singapura dalam skim penipuan dan pengubahan wang haram di Malaysia.

Kerugian daripada penipuan tersebut berjumlah puluhan juta dolar, kata seorang pendakwa raya kepada mahkamah dalam memastikan ikat jamin tidak dibenarkan untuk pasangan tersebut.

Ng Wei Kang, 33 tahun, dan Christy Neo Wei En, 29 tahun, kedua-duanya warga Singapura, ditahan reman sejak 11 Sep.

Mereka masing-masing menghadapi satu pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah tersusun tempatan pada sekitar 9 Sep, bersama sekurang-kurangnya 11 orang lain.

Menurut pertuduhan, Ng tahu bahawa salah satu tujuan kumpulan itu adalah untuk meraih hasil kewangan melalui perbuatan jenayah oleh anggota kumpulan itu di Singapura.

Pertuduhan terhadap Neo pula menyatakan bahawa dia tahu anggota kumpulan itu melakukan kesalahan penipuan di Singapura.

DPP BERHUJAH UNTUK TIDAK DIBENARKAN IKAT JAMIN

Timbalan Pendakwa Raya Cheah Wenjie memberitahu mahkamah bahawa pasangan itu, bersama dengan tertuduh ketiga Lester Ng Jing Hai, ada hubungan rapat dengan ketua sindiket yang masih bebas.

Terdapat risiko berlakunya persekongkolan atau gangguan terhadap saksi sekiranya tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Kedua, sindiket itu bergantung pada mata wang kripto untuk menjalankan transaksi dan mengedarkan hasil jenayah mereka, dan mata wang sedemikian sukar dikesan lebih awal, kata Encik Cheah.

Ini akan membolehkan sindiket tersebut secara rahsia menyalurkan dana untuk tertuduh, untuk membantu mereka melarikan diri jika mereka dibenarkan ikat jamin, katanya.

Ng adalah saudara kepada ketua sindiket yang disyaki, yang masih bebas.

Beliau berkata sindiket di Kemboja menyasarkan mangsa-mangsa Singapura dan wang tersebut kemudian dihantar ke akaun bank atau dompet kripto yang diperoleh di Malaysia.

Menurut pihak pendakwa raya, Ng terlibat dengan kedua-dua pihak tersebut.

Bagi Neo pula, dia adalah teman wanita kepada ketua sindiket yang disyaki itu dan menerima "wang belanja yang lumayan daripadanya secara langsung, termasuk perbelanjaan harian serta pemandu atau pengawal peribadi yang diupah untuknya", menurut pendakwa raya.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan bahawa Neo terlibat dalam operasi sindiket dengan merekrut pemanggil untuk skim penipuan melalui panggilan telefon bagi sindiket tersebut dan juga terlibat dalam menggerakkan mata wang kripto ketua sindiket berkenaan.

Ketiga-tiga mereka ditangkap sebagai sebahagian daripada operasi bersama antara pihak berkuasa Singapura dan polis Kemboja.

Menurut kenyataan polis bulan pada lalu, Pasukan Polis Singapura(SPF) dan Polis Kebangsaan Kemboja menggugat sindiket jenayah yang melakukan penipuan melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai pemerintah Singapura.

Lapan lelaki Singapura, seorang wanita Singapura, dua lelaki Malaysia dan seorang wanita Filipina - yang dipercayai ahli sindiket - ditangkap di Singapura.

Penipuan sedemikian dilaporkan sejak Disember 2024, di mana mangsa Singapura ditipu dan kehilangan wang yang banyak apabila pemanggil menyamar sebagai kakitangan bank dan mengalihkan panggilan mereka kepada penipu lain yang menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai dari Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Jika disabitkan kesalahan sebagai ahli kumpulan jenayah tersusun, Ng dan Neo boleh dipenjarakan sehingga lima tahun, didenda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya.

Mereka akan hadir untuk sebutan lanjut kes tersebut pada akhir bulan ini.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita