Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Pemeriksaan Woodlands, Tuas dijangka terus sesak sehingga hujung bulan Jun

Kesesakan lalu lintas di Pusat-Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas dijangka berterusan sehingga hujung bulan Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Pemeriksaan Woodlands, Tuas dijangka terus sesak sehingga hujung bulan Jun

Keadaan lalu lintas semasa waktu sibuk sebelah pagi di pusat pemeriksaan imigresen Tuas.

Diterbitkan : 22 Jun 2022 01:19PM Dikemas Kini : 22 Jun 2022 01:22PM
SINGAPURA: Kesesakan lalu lintas di Pusat-Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas dijangka berterusan sehingga hujung bulan Jun.

Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (22 Jun) sedang ia sekali lagi menasihati para pelawat supaya menyesuaikan rancangan perjalanan mereka.

Aliran lalu lintas melalui kedua-dua pusat pemerikasaan itu "sesak secara konsisten" sejak permulaan cuti sekolah bulan Jun, dengan jumlah pelawat meningkat kepada 278,000 setiap hari pada hujung minggu lalu antara 17 hingga 19 Jun.

Ini dibandingkan dengan 267,000 pelawat setiap hari semasa hujung minggu antara 10 hingga 12 Jun, 224,000 pelawat setiap hari sewaktu hujung minggu Hari Vesak dan 149,000 pelawat setiap hari tatkala hujung minggu Good Friday.

"Para pelawat boleh menjangkakan kelengahan semasa tempoh ini dan dinasihati supaya menyesuaikan rancangan perjalanan mereka, seberapa boleh, bagi mengelak daripada terkandas dalam kesesakan trafik," menurut pihak berkuasa itu.

Penguasa tersebut juga menasihati para pelawat untuk mengambil kira waktu tambahan bagi pelepasan imigresen dan mengelakkan daripada membuat perjalanan semasa waktu-waktu sibuk seperti berikut:

Bertolak dari Singapura

Sabtu (25 Jun): 6.00 pagi hingga 9.00 pagi, 9.00 malam hingga 11.59 malam

Ahad (26 Jun): 6.00 pagi hingga 8.00 pagi

Tiba di Singapura

Hari biasa (sehingga 24 Jun): 10.00 malam hingga 11.59 malam

Sabtu (25 Jun): 9.00 malam hingga 11.59 malam

Ahad (26 Jun): 6.00 petang hingga 11.59 malam

Selain itu, para pelawat yang bertolak dari Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands juga harus mengambil perhatian tentang kerja-kerja naik taraf di kios-kios imigresen kereta sedang dijalankan di Bangunan Sultan Islandar Malaysia sejak 6 Jun. Semasa tempoh ini, kios-kios yang menjalani kerja naik taraf tidak akan beroperasi.

ICA juga menasihati para pengguna jalan raya supaya memeriksa keadaan lalu lintas di pusat-pusat pemeriksaan darat melalui laman One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau menerusi Sistem Pemantauan dan Makluman Ekspreswe (EMAS), masing-masing dipasang di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Para pemandu juga boleh memeriksa akaun-akaun Facebook dan Twitter ICA untuk mendapatkan kemas kini mengenai keadaan lalu lintas semasa di kedua-dua pusat pemeriksaan darat.

"Bagi mengelak daripada terkandas dalam kesesakan lalu lintas di pusat-pusat pemeriksaan, para pelawat sebaliknya boleh mengambil khidmat bas rentas sempadan yang disediakan para pengendali bas awam dan tidak perlu memandu masuk ke Malaysia menggunakan kereta privet," tambah ICA.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan