Skip to main content

Singapura

Pusat Pemeriksaan Woodlands & Tuas dijangka sesak sepanjang bulan Jun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kesesakan lalu lintas di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas dijangka berterusan sepanjang bulan Jun.

Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (15 Jun).

Para pelawat boleh menjangkakan kelengahan sepanjang tempoh ini dan dinasihatkan supaya membuat penyesuaian pada rancangan perjalanan mereka, selagi boleh, bagi mengelak daripada terkandas dalam kesesakan lalu lintas," menurut penguasa itu.

Keadaan lalu lintas 'kekal padat secara konsisten' sejak bermulanya cuti sekolah bulan Jun, tambah ICA.

Jumlah pelawat pada hujung minggu antara 10 hingga 12 Jun lalu meningkat kepada 267,000 sehari berbanding 262,000 sehari pada hujung minggu sebelumnya.

ICA sebelum ini menyatakan bahawa hujung minggu pertama Jun menyaksikan jumlah tertinggi pelawat yang merentasi pusat-pusat pemeriksaan darat sejak sempadan darat dibuka semula pada 1 April.
Pihak berkuasa menasihatkan para pelawat supaya
mengambil kira masa tambahan bagi pelepasan imigresen dan untuk mengelakkan waktu sibuk berikut:

BERTOLAK DARI SINGAPURA

Jumaat (17 & 24 Jun) antara pukul 6.00 petang hingga 11.59 malam

Sabtu (18 & 25 Jun) antara pukul 6.00 pagi dengan 9.00 pagi & pukul 9.00 malam hingga 11.59 malam

Ahad (19 & 26 Jun) antara pukul 6.00 pagi dengan 9.00 pagi

TIBA DI SINGAPURA

Hari biasa sehingga 24 Jun antara pukul 10.00 malam hingga 11.59 malam

Sabtu (18 & 25 Jun) antara pukul 9.00 malam dengan 11.59 malam

Ahad (19 & 26 Jun) antara pukul 6.00 petang dengan 11.59 malam

Para pelawat yang melakukan perjalanan melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands perlu mengambil perhatian tentang kerja-kerja naik taraf di kios-kios imigresen kereta di Bangunan Sultan Iskandar yang bermula sejak 6 Jun.

Sepanjang tempoh ini, kios-kios imigresen yang sedang dinaik taraf tidak akan beroperasi.

ICA juga menasihatkan para pemandu supaya memantau keadaan lalu lintas di pusat pemeriksaan darat melalui laman One Motoring LTA atau menerusi sistem EMAS yang dipasang di BKE dan AYE.

Orang ramai juga boleh memantau akaun Facebook dan Twitter ICA untuk mendapatkan kemas kini keadaan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan darat itu.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita