Skip to main content

Singapura

Pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas dijangka sesak sempena cuti panjang Hari Kebangsaan

Trafik yang amat sesak dijangka berlaku di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sempena cuti hujung minggu panjang Hari Kebangsaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas dijangka sesak sempena cuti panjang Hari Kebangsaan

Koswe yang menghubungkan Johor Bahru dengan pusat pemeriksaan Woodlands di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 01:31PM
SINGAPURA: Trafik yang amat sesak dijangka berlaku di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sempena cuti hujung minggu panjang Hari Kebangsaan.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Isnin (3 Ogos) mengeluarkan nasihat perjalanan berhubung jangkaan "trafik yang sangat sesak" dari 7 hingga 10 Ogos.

"Para pelawat dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan lebih awal dan mempertimbangkan untuk melakukan perjalanan pada waktu tidak sibuk seperti awal pagi atau lewat malam," menurut ICA.

"Mereka juga perlu menyemak keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan."

Para pelawat juga perlu bersedia menghadapi tempoh menunggu yang lebih lama pada waktu sibuk memandangkan ICA memperketatkan pemeriksaan keselamatan di semua pusat pemeriksaan sejak 28 Februari berikutan "persekitaran keselamatan global yang semakin mencabar, khususnya melibatkan perkembangan terkini di Timur Tengah".

Sepanjang hujung minggu Hari Raya Haji, Hari Vesak serta cuti sekolah Jun dari 26 Mei hingga 28 Jun, lebih 18 juta pelawat melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Jumlah pelawat memuncak pada 19 Jun, dengan lebih 598,000 pergerakan keluar masuk melepasi pemeriksaan imigresen di pusat pemeriksaan darat dalam tempoh sehari, sekali gus mencatat rekod baharu, mengatasi rekod sebelumnya iaitu hampir 589,000 pergerakan pada 19 Disember 2025.

Pada waktu sibuk, para pelawat yang menaiki kereta terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi pemeriksaan imigresen akibat kesesakan lalu lintas yang berpunca dari Malaysia.

Dalam tempoh yang sama, 52 pemandu ditahan kerana melakukan kesalahan lalu lintas dan memandu secara berbahaya.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk merujuk para pemandu kepada polis trafik untuk siasatan dan pendakwaan, mengarahkan mereka membuat pusingan U dan beratur semula di bahagian belakang, serta melarang mereka daripada memasuki Singapura.

ICA mengingatkan para pemandu supaya memberi kerjasama kepada pegawainya, mematuhi disiplin lorong dan mematuhi peraturan lalu lintas.

"ICA akan mengambil tindakan tegas terhadap para pelawat yang tidak mematuhi arahan para pegawai kami atau melakukan kesalahan lalu lintas di pusat pemeriksaan," menurutnya.

"Mereka yang didapati memotong barisan akan diarahkan untuk membuat pusingan U dan menyertai semula barisan dari bahagian belakang."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita