Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Pemeriksaan Woodlands & Tuas dijangka sesak sempena cuti Hari Vesak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mereka yang ingin melakukan perjalanan ke Malaysia sewaktu cuti hujung minggu panjang sempena Hari Vesak dinasihatkan supaya menjangkakan kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.

Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Khamis (12 Mei).

Dalam kenyataan medianya, ICA menyatakan bahawa trafik yang berlepas dari Singapura dijangka sesak mulai Jumaat hingga Sabtu, manakala trafik menghala ke Singapura dijangka sesak dari Ahad hingga Isnin.

Memandangkan Hari Vesak tahun ini jatuh pada Ahad, maka Isnin adalah cuti umum.

"Pelawat yang melalui pusat pemeriksaan darat semasa tempoh ini boleh menjangkakan kelengahan dan dinasihatkan supaya membuat penyesuaian pada perjalanan mereka untuk mengelak daripada terkandas dalam kesesakan lalu lintas ," menurut agensi tersebut.

ICA menarik perhatian bahawa pada kemuncak hujung minggu Hari Vesak pada 2019 - yang juga merupakan hujung minggu panjang - para pelawat yang berangkat dari Singapura melalui pusat pemeriksaan darat terpaksa menunggu selama hampir tiga jam.

"Maka itu, untuk cuti hujung minggu panjang akan datang ini, para pelawat dinasihatkan supaya mengambil kira masa tambahan untuk pelepasan imigresen dan memeriksa keadaan lalu lintas sebelum memulakan perjalanan mereka," menurut ICA.

ICA juga menasihatkan orang ramai supaya membuat perancangan awal dan elak berangkat dari Singapura antara pukul 3.00 petang hingga 11.59 malam pada Jumaat (13 Mei).

Bagi pelawat yang mahu berlepas dari Singapura pada Sabtu pula, mereka dinasihatkan supaya elak membuat perjalanan antara jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi serta antara 4.00 petang hingga 9.00 malam.

Sementara itu, mereka yang ingin memasuki Singapura pula harus elak daripada membuat perjalanan pada waktu sibuk antara pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam pada Ahad (15 Mei) serta antara 1.00 tengah hari hingga 11.59 malam pada Isnin (16 Mei).

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya memeriksa keadaan lalu lintas di pusat pemeriksaan darat melalui lelaman One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) ataupun menerusi sistem EMAS yang dipasang di BKE dan AYE.

"Para pengguna jalan raya juga boleh memeriksa akaun-akaun Twitter dan Facebook ICA bagi maklumat terkini mengenai keadaan lalu lintas di kedua-dua pusat pemeriksaan darat," menurut ICA.

Ia juga menasihatkan pelawat supaya menggunakan khidmat bas rentas sempadan dan tidak menaiki kenderaan peribadi untuk memasuki Malaysia bagi mengelak daripada terkandas dalam kesesakan lalu lintas.

Untuk memastikan "pelepasan imigresen yang lancar dan mengelakkan sebarang kelengahan", ICA menasihatkan pelawat supaya memastikan pasport mereka masih sah bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Penduduk Tetap Singapura yang sudah memperbaharui pasport mereka juga perlu memindahkan permit kemasukan semula (REP) ke pasport baru mereka manakala pemegang pas jangka panjang pula harus memaklumkan ICA atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sekiranya terdapat sebarang perubahan pada butiran pasport mereka.

Agensi tersebut juga mengingatkan para pelawat supaya jangan membawa masuk barangan yang dilarang dan menasihatkan pemandu kereta berdaftar di Singapura supaya memastikan tangki minyak mereka diisi sekurang-kurangnya tiga suku.

ICA menyatakan ia akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk "mempermudahkan pelepasan imigresen tanpa berkompromi soal keselamatan".

"Para pegawai pusat pemeriksaan kami memantau keadaan semasa lalu lintas untuk memastikan pengerahan sumber-sumber yang optimum. Kami juga akan bekerjasama dengan Polis Trafik untuk menjaga disiplin jalan raya di persimpangan utama menghala ke pusat-pusat imigresen darat," tegas ICA.

"Kami memohon pemahaman dan kerjasama pelawat untuk mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga disiplin di laluan jalan raya serta bekerjasama dengan para pegawai di lokasi semasa menggunakan pusat pemeriksaan darat."

Sumber : CNA/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan