Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Pemeriksaan Woodlands, Tuas dijangka sesak semasa cuti sekolah bulan Sep

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kesesakan trafik dijangkakan di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti sekolah dari 2 hingga 11 September, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (31 Ogos).

Para pelawat harus menjangkakan kelengahan dan mereka dinasihatkan supaya menyesuaikan rancangan perjalanan mereka, selagi boleh, bagi mengelak daripada terkandas dalam kesesakan lalu lintas, tambah ICA.

"Kami memohon pemahaman dan kerjasama para pelawat untuk bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga disiplin lorong dan bekerjasama dengan para pegawai ICA semasa menggunakan pusat pemeriksaan darat."

Pada kemuncak cuti sekolah bulan September 2019, para pelawat yang bertolak dari Singapura dan tiba di sini dengan menaiki kereta melalui pusat pemeriksaan darat terpaksa menunggu sehingga satu setengah jam sebelum selesai menjalani pelepasan imigresen, menurut ICA.

ICA turut menyatakan bahawa aliran trafik melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas secara bertahap-tahap kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19 "dengan lebih 313,000 pelawat melalui kedua-dua pusat pemeriksaan setiap hari pada hujung minggu baru-baru ini".

Jumlah itu melepasi jumlah perjalanan hujung minggu tertinggi terakhir semasa cuti Hari Kebangsaan di mana 302,000 pelawat melepasi pusat pemeriksaan dalam tempoh sehari, menurut ICA.

Penguasa itu juga menasihatkan para pelawat supaya mengambil kira masa tambahan bagi pelepasan imigresen dan mengelakkan waktu sesak semasa tempoh cuti sekolah berikut:

Bertolak dari Singapura:

Jumaat (2,9 Sep) dan Ahad (4,11 Sep): 6.00 petang hingga 11.59 malam

Isnin (5 Sep): 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari

Sabtu (3,10 Sep): 6.00 pagi hingga 9.00 pagi, 6.00 petang hingga 11.59 malam

Tiba di Singapura:

Sabtu (3,10 Sep) dan hari biasa: 10.00 malam hingga 11.59 malam

Ahad (4,11 Sep): 6.00 petang hingga 11.59 malam

ICA turut mendedahkan bahawa ia akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memudahkan pelepasan imigresen tanpa menjejaskan keselamatan sambil menambah bahawa para pegawai pusat pemeriksaan akan memantau keadaan lalu lintas dalam masa nyata untuk memastikan penggunaan sumber yang optimum.

Para pelawat yang menggunakan Pusat Pemeriksaan Woodlands juga perlu mengambil perhatian mengenai kerja-kerja naik taraf yang sedang dijalankan apabila tiba di kios pelepasan imigresen bagi kereta di Bangunan Sultan Iskandar sejak 6 Jun lalu.

Oleh itu, sesetengah kios yang sedang menjalani kerja-kerja naik taraf mungkin tidak beroperasi sepanjang tempoh tersebut

ICA menasihatkan para pemandu supaya memantau keadaan trafik di pusat-pusat pemeriksaan darat melalui laman web One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau melalui Sistem Pengawasan dan Maklumat Ekspreswe (EMAS) yang dipasang di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Para pemandu juga boleh mendapatkan kemas kini mengenai keadaan trafik melalui laman Facebook dan akaun Twitter ICA.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan