Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Pemeriksaan Woodlands, Tuas dijangka sesak sehingga cuti sekolah Jun berakhir

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mereka yang ingin melakukan perjalanan ke Malaysia harus menjangkakan kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sehingga penggal baru sekolah bermula pada 27 Jun nanti. 

Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (8 Jun). 

Jumlah orang yang melalui pusat-pusat pemeriksaan darat semakin meningkat, dengan terdapat kesesakan yang berlaku sejak tempoh cuti sekolah Jun bermula. 

Hujung minggu pertama Jun menyaksikan jumlah tertinggi pelawat yang merentasi sempadan pusat-pusat pemeriksaan darat sejak sempadan darat dibuka semula pada 1 April, menurut ICA. 

Cuti hujung minggu Good Friday menyaksikan purata harian sekitar 149,000 pelawat. Jumlah itu kemudian meningkat kepada kira-kira 224,000 pelawat setiap hari sewaktu cuti hujung minggu Hari Vesak dan sekitar 262,000 pelawat setiap hari antara 3 dengan 5 Jun, iaitu hujung minggu pertama cuti sekolah Jun. 

"Justeru, para pelawat yang melalui pusat pemeriksaan darat pada tempoh ini boleh menjangkakan kelengahan dan dinasihatkan supaya membuat penyesuaian kepada perjalanan mereka, jika boleh, agar tidak terkandas dalam kesesakan lalu lintas," menurut agensi tersebut. 

Para pelawat yang melalui pusat pemeriksaan darat juga dinasihatkan mengambil kira masa tambahan bagi pelepasan imigresen - pada 2019, semasa kemuncak cuti sekolah Jun, para pelawat terpaksa menunggu sekitar dua setengah jam. 

Para pelawat juga dinasihatkan supaya mengelak waktu-waktu sibuk berikut: 

BERANGKAT DARI SINGAPURA 

Jumaat (10, 17 & 24 Jun) antara pukul dengan 6.00 petang hingga 11.59 malam

Sabtu (11, 18 & 25 Jun) antara pukul 6.00 dengan 9.00 pagi & pukul 9.00 hingga 11.59 malam

Ahad (12, 19 & 26 Jun) antara pukul 6.00 dengan 9.00 pagi 

TIBA DI SINGAPURA

Hari biasa sehingga 24 Jun antara pukul 10.00 dengan 11.59 malam

Sabtu (11, 18 & 25 Jun) antara pukul 9.00 dengan 11.59 malam

Ahad (12, 19 & 26 Jun) antara pukul 6.00 dengan 11.59 malam 

Jabatan imigresen Malaysia sudah memulakan kerja-kerja naik taraf di kiosk-kiosk imigresen kereta di Bangunan Sultan Iskandar di Pusat Pemeriksaan Woodlands sejak 6 Jun, catat ICA. 

Agensi tersebut mengingatkan pelawat yang berlepas dari pusat pemeriksaan tersebut bahawa kiosk-kiosk imigresen tidak akan beroperasi sepanjang tempoh kerja naik taraf. 

Sebelum berangkat, para pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memeriksa keadaan lalu lintas di pusat pemeriksaan darat melalui laman One Motoring LTA atau menerusi sistem EMAS yang dipasang di BKE dan AYE. 

Mereka juga boleh melihat akaun Facebook dan Twitter bagi kemas kini keadaan trafik semasa di kedua-dua pusat pemeriksaan darat. 

Untuk mengelak terkandas dalam kesesakan lalu lintas, para pelawat boleh menggunakan khidmat bas rentas sempadan yang disediakan para pengendali bas awam dan tidak perlu memandu masuk ke Malaysia menggunakan kereta privet. 

ICA menyatakan ia akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memudahkan proses pelepasan imigresen tanpa berkompromi soal keselamatan. 

"Para pegawai pusat pemeriksaan kami memantau keadaan semasa lalu lintas untuk memastikan pengerahan optimum sumber-sumber," tegas ICA. 

"Kami juga bekerjasama dengan Polis Trafik untuk memastikan disiplin di laluan jalan raya di simpang-simpang utama menghala ke pusat pemeriksaan darat. 

"Kami memohon pemahaman dan kerjasama pelawat untuk mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga disiplin di jalan raya serta bekerjasama dengan para pegawai di lokasi semasa menggunakan pusat pemeriksaan darat." 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan