Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Pemeriksaan Woodlands sesak, orang ramai rentas Koswe untuk sambut Tahun Baru Cina di M'sia

Orang ramai membanjiri Koswe pada Jumaat (20 Jan) untuk membuat perjalanan ke Malaysia sempena Tahun Baru Cina.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai membanjiri Koswe pada Jumaat (20 Jan) untuk membuat perjalanan ke Malaysia sempena Tahun Baru Cina.

Pada kira-kira pukul 2.00 petang, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menyatakan terdapat kesesakan lalu lintas di Pusat Pemeriksaan Woodlands disebabkan oleh banyaknya kenderaan di kastam Malaysia.

"Kelengahan dijangkakan dan pelawat dinasihatkan supaya memeriksa keadaan lalu lintas sebelum memulakan perjalanan mereka," menurut agensi kawalan sempadan itu dalam catatan Facebook.

Menjelang lewat petang Jumaat, waktu menunggu yang dianggarkan bagi kenderaan dari Singapura untuk sampai ke kastam Malaysia menjangkau lebih tiga jam - serupa dengan  kemuncak perayaan Tahun Baru Cina pada 2019.

Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri Malaysia berkata warga Singapura yang memasuki Johor melalui kedua-dua sempadan darat kini boleh menggunakan kemudahan laluan gerbang elektronik.

Apabila Mediacorp mengunjungi Pusat Pemeriksaan Woodlands pada lewat petang tadi, semua bas yang tiba di perhentian bas di luar pusat pemeriksaan kereta api penuh sesak.

Terdapat juga barisan panjang kereta yang menunggu giliran untuk menurunkan penumpang.

Pada pukul 5.15 petang, aplikasi mudah alih Checkpoint.sg menganggarkan masa menunggu bagi kenderaan dari Singapura untuk sampai ke kastam Malaysia  mengambil masa antara 115 hingga 170 minit.

Pada pukul 6.00 petang, hujan mula turun dan anggaran masa meningkat kepada 120 hingga 180 minit.

Hujan mula berhenti sekitar 30 minit kemudian. Meskipun begitu pada pukul 7.00 malam, waktu anggaran untuk ke kastam Malaysia dari Singapura ditambah kepada 125 hingga 190 minit.

Pasangan suami isteri Encik Brandon Tan dan Cik Lynn Tan tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan menaiki bas pada sekitar pukul 5.10 petang. Mereka dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk menziarahi ibu bapa masing-masing yang tinggal di sana.

Apabila ditanya berapa lama agaknya mereka perlu tunggu untuk sampai di Malaysia, Cik Tan tertawa sambil katakan beliau tidak tahu.

"Saya baru habis kerja, jadi kita (hanya dapat) pergi sekarang," kata suaminya.

Ini merupakan kali kedua mereka pulang ke Johor Bahru sempena Tahun Baru Cina, sejak pandemik COVID-19 melanda.

ATASI KESIBUKAN LALU LINTAS

Bagi sesetengah individu di Singapura, mereka mengambil langkah untuk mengelakkan kesesakan di Koswe semasa cuti Tahun Baru Cina.

Rakyat Singapura Tian Yufan memandu ke Johor Bahru bersama ibu bapa dan saudara lelakinya pada sekitar pukul 1.00 pagi pada Khamis demi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

" Pada pukul 1.00 pagi, keadaan juga agak teruk. Kami perlu tunggu selama 30 minit (untuk merentasi sempadan)," katanya kepada Mediacorp.

"Masa itu agak lama, kerana selalunya pada pukul 1.00 pagi kita tidak perlu tunggu. Saya fikir ia hanya akan bertambah buruk sepanjang beberapa hari akan datang."

Keluarga itu kemudian menaiki penerbangan ke Kuching pada Jumaat, yang ditempah pada harga RM400 (S$123) sebaik sahaja Malaysia mengumumkan pembukaan semula sempadan pada tahun lalu.

"Jika kami pergi sehari lebih awal, sekurang-kurangnya beberapa kedai masih dibuka dan kami boleh buat sebarang pembelian saat-saat akhir, atau makan di luar kerana kebanyakan kedai tutup semasa Tahun Baru Cina," kata Encik Tian.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan