Skip to main content

Singapura

Pusat Pemeriksaan Woodlands bakal diperluaskan 5 kali ganda untuk tangani kesesakan

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Pemeriksaan Woodlands bakal diperluaskan 5 kali ganda untuk tangani kesesakan

(Gambar: UKK BSI/Facebook)

Diterbitkan : 29 Jan 2024 05:15PM
SINGAPURA: Pusat Pemeriksaan Woodlands bakal diperluaskan lima kali ganda berbanding saiznya sekarang.

Demikian kemas kini terbaharu pihak berkuasa yang menambah bahawa kawasan yang dibangunkan semula itu akan mula beroperasi secara progresif pada 2028 nanti.

Langkah itu diambil bagi mengatasi kesesakan di pintu sempadan.

Dianggarkan sekitar 400,000 orang akan keluar masuk sempadan Woodlands setiap hari menjelang 2050.

Ini antara sempadan paling sibuk di dunia, dan apabila tiba musim cuti, seperti Tahun Baru Cina, ia akan lebih sesak lagi.

Buat masa ini, kira-kira 300,000 orang menggunakan laluan tersebut setiap hari, iaitu 70,000 lebih ramai berbanding pada tahun 2000.

"Walaupun pelbagai langkah diambil untuk mengurangkan kesesakan trafik, kami masih terhad dan dikekang oleh ruang dan infrastruktur sedia ada. Oleh itu, ada keperluan untuk membangunkan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands dan kami ingin melakukannya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang secara berperingkat-peringkat," kata Komander Jackson Tan.

Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan tahun depan, bermula dengan tapak tanah kosong, yang pernah menempatkan Pusat Bandar Woodlands dahulu.

Di bawah fasa pertama, 78 lorong kereta akan dibina sekali gus meningkatkan kapasiti pelepasan dengan sebanyak 95 peratus.

Lorong itu boleh diubah menjadi lebih 150 lorong motosikal pada waktu sibuk.

21 lorong kargo pula akan meningkatkan kapasiti dengan sebanyak 30 peratus.

Ekspreswe Bukit Timah juga akan diperluaskan di bawah fasa pertama tersebut.

Kenderaan yang keluar dari pusat pemeriksaan pula boleh terus ke ekspreswe.

Ini akan mengurangkan kesesakan di jalan raya, terutamanya pada waktu sibuk.

"Kami juga akan menyediakan rancangan untuk memastikan operasi di pusat pemeriksaan tidak terjejas semasa pembinaan. ICA akan terus memudahkan perjalanan merentas sempadan sambil menjaga sempadan kami," tambah Komander Tan.

Fasa-fasa seterusnya pembangunan itu termasuklah pembinaan lebih banyak kemudahan pelepasan.

Lebih banyak butiran akan dikeluarkan setelah kajian lanjut dijalankan.
Sumber : CNA/AT/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita