Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Pemeriksaan Woodlands bakal diperluas; 9 blok HDB akan dibangun semula

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 May 2022 02:12PM Dikemas Kini : 27 May 2022 12:37AM
SINGAPURA: Pusat Pemeriksaan Woodlands akan diperluas untuk merangkumi kawasan menjangkaui Pusat Bandar Woodlands Lama seperti yang dirancangkan sebelumnya. Ini akan melibatkan pemerolehan sembilan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ketika mengumumkan perkara tersebut pada Khamis (26 Mei), pihak berkuasa menyatakan jumlah lalu lintas di Pusat Pemeriksaan Woodlands akan meningkat hampir 40 peratus menjelang 2050. Ini bermakna purata harian 400,000 pelawat akan merentas pusat pemeriksaan itu berbanding tahap sebelum pandemik.

"Jika kapasiti pelepasan keseluruhan tidak dinaikkan, masa perjalanan untuk lalu lintas kenderaan boleh meningkat lebih 60 peratus hingga 70 peratus semasa tempoh waktu sibuk menjelang 2050," menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan HDB dalam satu kenyataan media.

Untuk memperluaskan Pusat Pemeriksaan Woodlands, blok-blok 212 hingga 218 Marsiling Crescent/Lane - yang merupakan flat-flat dijual - akan diperoleh dan para pemilik akan diberi pampasan berdasarkan nilai pasaran unit masing-masing pada tarikh pemerolehan.

Pemilik juga diberikan pilihan untuk membeli flat baru dengan tempoh pajakan baru selama 99 tahun pada harga bersubsidi.

Para penyewa di blok-blok 210 dan 211 - yang terdiri daripada flat-flat sewa, kiosk sewa, kedai sewa dan kedai makan sewa - juga akan menerima faedah perumahan semula serta faedah pelepasan.

Penduduk dan penyewa harus berpindah keluar dari unit mereka selewat-lewatnya pada suku kedua 2028, kata pengarah projek dan pembangunan HDB, Ng Hwee Yian, kepada wartawan pada Khamis.

Mereka juga akan mendapat keutamaan bagi kira-kira 1,100 flat penggantian yang baru di Woodlands Street 13. Kerja pembinaan flat-flat tersebut akan bermula pada suku ketiga 2023 dan dianggarkan siap pada suku keempat 2027.

Pemilik bagi flat yang dijual di blok-blok 212 hingga 218 Marsiling Crescent/Lane akan ditawarkan faedah perumahan semula sama seperti yang ditawarkan di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS), menurut agensi-agensi itu.

PELUASAN UNTUK TANGANI KESESAKAN TRAFIK

Tujuan memperluaskan Pusat Pemeriksaan Woodlands adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan lebih baik dan "sebagai persiapan hari muka" bagi menangani jumlah lalu lintas yang diunjurkan meningkat, menurut ICA, SLA dan HDB.

Peluasan itu termasuk menambah laluan berbilang guna yang membolehkan pelepasan bagi kedua-dua kereta dan motosikal, lantas mengurangkan masa perjalanan sebanyak empat kali ganda, menurut agensi-agensi itu. Ini bermakna waktu pelepasan akan memakan masa 15 minit, lebih singkat berbanding 60 minit sekarang sewaktu tempoh waktu sibuk.

Beberapa perancangan lain termasuk:

- Mempertingkatkan pelepasan untuk semua jenis lalu lintas kenderaan, melangkaui penambahbaikan dirancang yang lebih mudah kepada kapasiti pelepasan bagi kenderaan muatan dan motosikal;

- Menyediakan kawasan menunggu untuk mengawal trafik di pekarangan pusat pemeriksaan bagi mengurangkan kesesakan di jalan-jalan raya sekitar pusat pemeriksaan;

- Menjalankan pemeriksaan keselamatan di kawasan khusus jauh dari bahagian utama pusat pemeriksaan untuk mengurangkan risiko keselamatan serta kerosakan berpotensi pada pembangunan berdekatan, sekiranya berlaku kejadian letupan buatan sendiri melibatkan kenderaan.

Peluasan awal Pusat Pemeriksaan Woodlands pertama kali diumumkan pada 2017, dengan pemerolehan dua lot tanah privet di Pusat Bandar Woodlands Lama.

Menurut agensi-agensi itu pada Khamis, satu kajian berterusan sedang dijalankan untuk menentukan reka bentuk optimum bagi perluasan tersebut untuk pelepasan kenderaan barangan berat dan motosikal.

Pemerolehan flat serta pembangunan semula seterusnya ke atas Pusat Pemeriksaan Woodlands akan dijalankan secara bertahap-tahap dan agensi-agensi berkenaan akan berusaha untuk mengurangkan gangguan kepada para penduduk, tambahnya.

Timbalan Pesuruhjaya Operasi ICA, Hsu Sin Yun berkata garis masa belum lagi ditentukan untuk projek "utama" tetapi menganggarkan ia akan mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun.


GERAN SERS, FAEDAH PERUMAHAN SEMULA

Menurut HDB, SLA dan ICA, flat-flat baru itu terletak berdekatan dengan stesen MRT Marsiling iaitu kira-kira sepuluh minit perjalanan kaki.

Ia menambah terdapat juga kedai dan kedai makan sedia ada yang terletak berhampiran selain pusat beli-belah Marsiling Mall serta Causeway Point yang juga "mudah diakses" dengan menaiki bas.

Pemilik flat yang layak boleh menerima geran SERS sehingga S$30,000 dan mengambil pinjaman perumahan daripada HDB untuk membeli flat baru mereka.

Sementara itu, penyewa flat sewa yang layak juga akan diberi faedah perumahan semula seperti elaun perumahan semula sebanyak S$2,500 dan peruntukan keutamaan bagi flat yang dijual di bawah tawaran Bina Ikut Tempahan (BTO) atau Jualan Baki Flat (SBF) serta di kawasan yang ditawarkan di Woodlands Street 13.

Agensi-agensi itu menyatakan ia akan bekerjasama rapat dengan para pemilik dan penyewa serta membantu mereka dalam proses tersebut.
 
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan