Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Pemeriksaan S'pura-M'sia dijangka sesak sempena cuti Aidiladha

Kesesakan trafik di pusat-pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas dijangkakan pada hujung minggu Hari Raya Haji.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Pemeriksaan S'pura-M'sia dijangka sesak sempena cuti Aidiladha

Keadaan lalu lintas kenderaan dari pusat pemeriksaan Johor Bahru ke Singapura. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Kesesakan trafik di pusat-pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas dijangkakan pada hujung minggu Hari Raya Haji, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam maklumannya pada Rabu (6 Jul).

Tanggal 11 Jul, iaitu hari Isnin, adalah hari cuti umum.

"Para pelawat harus menjangkakan kelengahan dari 8 Jul hingga 11 Jul dan dinasihatkan supaya menyesuaikan rancangan perjalanan mereka, seberapa mungkin, bagi mengelak kesesakan lalu lintas," menurut ICA.

Agensi itu turut menarik perhatian aliran trafik melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas "meningkat secara bertahap-tahap" sejak pembukaan sempadan pada 1 April.

Jumlah pelawat pada hujung minggu pertama bulan ini, dari 1 hingga 3 Jul, mencecah paras rekod dengan lebih 282,000 sehari. Ini melebihi 278,000 pelawat sehari pada hujung minggu sebelum itu yang dicatatkan semasa musim cuti sekolah bulan Jun.

Seramai 224,000 pelawat dicatatkan sehari semasa hujung minggu Hari Vesak dan 149,000 pelawat sehari semasa hujung minggu Good Friday.

ICA menasihatkan para pelawat supaya mengambil kira waktu tambahan bagi pelepasan imigresen dan mengelak waktu-waktu sibuk berikut semasa hujung minggu Hari Raya Haji:

Bertolak dari Singapura

Jumaat (8 Jul) - 3.00 petang hingga 11.59 malam

Sabtu (9 Jul) - 6.00 pagi hingga 10.00 pagi, 4.00 petang hingga 9.00 malam

Tiba di Singapura

Isnin (11 Jul) - 6.00 petang hingga 11.59 malam

Selain itu, para pelawat yang keluar dari Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands harus sedia maklum bahawa kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan di Bangunan Sultan Iskandar Malaysia sejak 6 Jun. Sepanjang tempoh ini, kaunter-kaunter yang sedang menjalani naik taraf tidak akan beroperasi.

ICA juga mengingatkan para pemandu supaya memeriksa keadaan trafik di pusat-pusat pemeriksaan darat melalui laman One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau melalui Sistem Pengawasan dan Maklumat Ekspreswe (EMAS) yang dipasang di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Para pemandu juga boleh mendapatkan kemas kini mengenai situasi trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan darat melalui akaun Facebook dan Twitter ICA.

"Bagi mengelak kesesakan trafik di pusat-pusat pemeriksaan darat, para pelawat boleh mengambil khidmat bas rentas sempadan yang disediakan para pengendali bas awam atau khidmat kereta api melalui Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands, berbanding memandu masuk menaiki kenderaan persendirian," tambah ICA.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan