Pusat Memandu Bukit Batok akan ditutup jelang akhir 2030, digantikan dengan kemudahan latihan canggih
Pusat Memandu Bukit Batok akan ditutup menjelang Disember 2030 dan ia akan digantikan dengan "pusat memandu generasi seterusnya" yang bertingkat, menurut pihak berkuasa.
Pusat Memandu Bukit Batok. (Imej: Google Street View)
Pusat sedia ada akan dihentikan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada pelan untuk membangunkan semula kawasan tersebut bagi pembangunan kediaman baharu, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya pada Rabu (8 Okt).
Tender awam bagi tapak seluas 12,889 meter persegi yang terletak di Lorong Bistari dilancarkan pada Rabu bagi pembangunan pusat baharu itu, yang akan memenuhi keperluan untuk mempelajari kemahiran memandu kenderaan dari semua kelas.
Lorong Bistari kini adalah laluan pintas di pinggir barat Chua Chu Kang dan akan disusun semula oleh pembida yang berjaya bagi membangunkan pusat memandu baharu itu.
Pusat memandu baharu itu akan dibangunkan berhampiran stesen MRT Yew Tee dan pusat perhentian bas.
Ia akan menampilkan teknologi dan kemudahan latihan yang canggih bagi latihan dan ujian memandu, menurut URA dan polis.
Ini termasuk teknologi simulator, litar berasingan untuk latihan dan ujian, serta litar memandu pintar yang menggunakan teknologi sensor canggih dan sistem pemantauan masa nyata untuk menilai kemahiran pelajar.
Akan ada sekurang-kurangnya dua litar memandu pintar untuk membolehkan penilaian litar bagi semua kelas lesen memandu dan sekurang-kurangnya dua litar latihan untuk memenuhi keperluan bagi mereka yang sedang belajar untuk memandu kereta dan menunggang motosikal.
Pusat baharu itu juga akan mempunyai keupayaan ujian dan latihan Kelas 4 dan Kelas 5 bagi melengkapi Pusat Memandu Keselamatan Singapura (SSDC).
SSDC buat masa ini, adalah satu-satunya kemudahan latihan bagi lesen kenderaan berat.
Kawasan tanah di Lorong Bistari boleh dibangunkan bagi keluasan lantai kasar maksimum yang dibenarkan seluas 72,500 meter persegi untuk litar memandu dan kemudahan berkaitan yang lain, kata pihak berkuasa.
Tapak tersebut akan mempunyai tempoh pajakan selama 30 tahun.
Tender akan ditutup pada pukul 12.00 tengah hari pada 15 Jan 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.