Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat makanan Malaysia Chiak! di Northpoint City digantung ekoran kes infestasi

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat makanan Malaysia Chiak! di Northpoint City digantung ekoran kes infestasi

Logo Malaysia Chiak! dan Northpoint City. (Gambar: Malaysia Chiak, Northpoint City/Facebook)

SINGAPURA: Lesen pusat makanan Malaysia Chiak! yang terletak di Northpoint City, digantung selama dua minggu sejak Rabu (21 Sep) ekoran infestasi.

Demikian menurut Agensi Makanan Singapura (SFA).

Pemegang lesen berkenaan juga dikenakan denda sebanyak S$800 selepas diberikan jumlah 12 mata demerit dalam tempoh setahun. Ia diberi enam mata demerit bagi setiap dua kesalahan kerana gagal memastikan premis pusat makanan tersebut bebas daripada dilanda infestasi.

SFA bagaimanapun tidak menyatakan jenis infestasi yang menjejas pusat makanan tersebut.

Menurut SFA, lesen boleh ditarik balik sepanjang tempoh dua atau empat minggu, ataupun dibatalkan sama sekali jika pemegang lesen dikenakan 12 mata demerit atau lebih dalam tempoh setahun.

Bagi pusat makanan di Yishun itu, lesennya digantung dari Rabu (21 Sep) hingga 4 Oktober.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Northpoint City menyatakan bahawa pihaknya maklum tentang penggantungan operasi perniagaan pusat makanan tersebut.

"Kesihatan dan keselamatan kakitangan, penyewa dan pembeli-belah penting bagi kami dan kami sudah mengingati kesemua penyewa F&B kami untuk memastikan tahap kebersihan yang ketat setiap masa," tambah jurucakap tersebut.

Mediacorp juga sudahpun menghubungi pihak Malaysia Chiak! dan SFA untuk perincian lanjut.

Semua pengendali makanan yang bekerja di premis tersebut, yang operasinya sudah digantung, mesti menghadiri semula Kursus Keselamatan Makanan Tahap 1 serta lulus dalam kursus tersebut sebelum dibolehkan untuk kembali bertugas.

Jika ada pegawai keselamatan makanan yang bertugas di premis tersebut, mereka perlu menghadiri semula dan lulus kursus Tahap 3.

SFA memandang serius terhadap kesalahan-kesalahan sebegini dan mengingatkan para pengendali makanan untuk mematuhi amalan kebersihan makanan dan peribadi yang baik pada setiap masa.

Mereka juga diingatkan supaya hanya menggajikan para pengendali makanan yang berdaftar.

Ia menyatakan bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang didapati melanggar Akta Kesihatan Awam Persekitaran.

Agensi tersebut turut menasihati orang ramai untuk tidak melanggani mana-mana pusat atau kedai makanan yang didapati mempunyai amalan kebersihan yang kurang baik.

Ia juga meminta orang ramai untuk memberi maklum balas kepada SFA berhubung hal demikian.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan