Skip to main content

Singapura

Pusat Makanan Laut East Coast bakal dibangunkan semula; penjaja dimaklum pindah tahun ini: NParks

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Makanan Laut East Coast bakal dibangunkan semula; penjaja dimaklum pindah tahun ini: NParks

Restoran utama Jumbo di Pusat Makanan Laut East Coast. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 30 May 2026 11:06PM

SINGAPURA: Pusat Makanan Laut East Coast akan dibangunkan semula sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyuntik kesegaran pada kawasan tersebut dan persekitarannya. Susulan itu, para penyewa diminta untuk mengosongkan premis berkenaan pada tahun 2026.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan pada Sabtu (30 Mei) bahawa pembangunan semula ini adalah sebahagian daripada rancangan untuk "meningkatkan pengalaman" para pengunjung ke East Coast Park.

NParks memaklumkan bahawa mereka sudah memberitahu para penyewa lebih awal tentang keperluan untuk berpindah pada tahun 2026. Ini bagi memberikan mereka "masa yang mencukupi untuk membuat rancangan alternatif". NParks juga menawarkan tempoh sewa yang fleksibel untuk membantu proses peralihan mereka.

Rangkaian restoran makanan laut Jumbo Group mengumumkan dalam satu pemfailan rasmi pada hari Jumaat bahawa mereka akan menutup restoran utamanya di Pusat Makanan Laut East Coast apabila tempoh sewanya tamat pada 30 September 2026.

Penutupan itu bakal mengakhiri operasi restoran berkenaan yang menjangkau hampir 40 tahun di tapak tersebut, sejak ia mula dibuka pada tahun 1987.

Jumbo kini mempunyai tujuh cawangan di seluruh Singapura. Dalam satu catatan di Facebook pada hari Sabtu, kumpulan itu menyatakan bahawa mereka "sedang aktif mencari" lokasi baharu untuk terus melayani para pelanggan.

NParks menarik perhatian bahawa Pusat Makanan Laut East Coast menjadi tempat makan yang popular sejak ia ditubuhkan pada tahun 1980-an.

Pusat itu juga menempatkan cawangan UDMC bagi Restoran Makanan Laut Long Beach. Pihak Mediacorp sudah menghubungi Jumbo dan Long Beach untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rancangan masa depan mereka.

Kedua-dua pengusaha ini merupakan antara rangkaian restoran makanan laut paling terkenal di Singapura, dan sangat dikenali dengan hidangan seperti ketam cili dan ketam lada hitam.

NParks menambah bahawa mereka sedang meneliti pembangunan semula pusat tersebut selaras dengan rancangan jangka panjang untuk East Coast Park, dan akan berkongsi butiran lanjut apabila semuanya sudah bersedia.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita