Pusat Latihan Memandu ComfortDelGro bakal tambah kenderaan elektrik

(Gambar: ComfortDelGro)
SINGAPURA: Tidak lama lagi para pemandu di Pusat Latihan Memandu ComfortDelGro boleh memilih kenderaan elektrik (EV) bagi Kursus Lesen Kelas 3A.
Mulai 1 Jun, pusat itu akan menambah sebanyak lima kereta elektrik, menurut ComfortDelGro pada Selasa (24 Mei).
Syarikat tersebut menyasarkan untuk memiliki 100 kereta elektrik menjelang 2030, sekali gus merangkumi lebih 50 peratus kenderaan latihan yang sedia ada.
Pemandu akan menggunakan kereta Hyundai Kona Elektrik (jenis standard), yang mempunyai radius pusingan kecil dan sesuai bagi litar memandu di pusat itu, menurut ComfortDelGro.
Lima stesen pengecas juga sudahpun dipasang di pekarangan pusat itu untuk mengecas EV, yang biasanya mengambil masa sekitar enam jam untuk dicas sepenuhnya.
"EV tersebut akan disediakan kepada pelajar-pelajar korporat bagi kursus penyesuaian dan pertahanan memandu, dan juga kepada pelajar-pelajar Pasukan Elit untuk membuat tempahan menerusi aplikasi MyCDC," menurut ComfortDelGro lagi.
"Pelajar-pelajar yang menjalani latihan EV boleh menjangkakan sedikit perbezaan dari segi tahap sensitif pemecut, bunyi enjin, brek enjin, radius pusingan dan penyenggaraan.
"Latihan EV juga akan membenarkan pelajar untuk memahami dengan lebih baik lagi butang-butang kawalan elektrik yang sedia ada dalam kenderaan tersebut."
ComfortDelGro menyatakan bahawa pusat itu juga akan menambah dua motosikal Alrendo TS Bravo (Kelas 2A) bagi kursus latihan korporat tanpa pelesenan menjelang hujung tahun ini.
"Dengan lebih banyak kesederaan tentang kemampanan, waktunya tepat untuk kami mula melancarkan EV supaya pelajar-pelajar lebih terbiasa dengan kenderaan sedemikian," kata Encik Vincent Tan, CEO Pusat Latihan ComfortDelGro.
"Ini juga akan bantu meningkatkan penerimaan EV pada masa akan datang. Jika permintaan bagi latihan EV semakin naik, kami jangkakan untuk menambah kenderaan sedemikian."
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan jejak karbon, pusat latihan tersebut juga sudah memasang sebanyak 290 panel suria di bumbungnya, menurut ComfortDelGro. Langkah itu akan membantu pusat latihan tersebut mengurangkan bil elektrik mereka sebanyak 30 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.